Resensi Novel Belongs To Mr Perfect Karya Rinsya Chasiani

Cikgu Muzz
oleh -
0
 

 
Judul: Belong To Mr Perfect
Penulis: Rinsya Chasiani
Penerbit: Penerbitan Rinsya Chasiani
Tahun: 2021
Bilangan Halaman: 325 muka surat
 
Ulasan:
Kalau ikutkan hati dan fikiran, macam-macam tanggapan yang muncul di persimpangan jalan ketika membaca naskhah ini. Namun, pelbagai andaian dan tanggapan itu meleset sama sekali. Rasanya, jarang-jarang mata saya terpaku dengan karya yang menyajikan kisah pasangan bercerai kemudian kembali bersatu.
 
Anak. Ada pasangan yang berkahwin mahu segera memperoleh anak. Ada pasangan yang berkahwin mahu sedikit lewat memiliki anak. Ada juga pasangan berkahwin yang tidak mahu punya anak sendiri. Ada pula pasangan belum berkahwin tetapi sudah terlanjur memiliki anak. Ada juga pasangan halal terlebih anak sehingga memberikan kepada orang lain. Tidak kurang juga yang menggugurkan kandungan dan membuang bayi yang tidak diingini. Banyak betul polemik tentang anak kan?
 
Terluka, itulah juga ceritanya dalam Belong To Mr Perfect. Lima tahun Raihanna diuji dengan tidak memiliki zuriat dalam perkahwinannya bersama Rafikk Dylan, meskipun kedua-dua mereka tidak memiliki sebarang masalah. Dalam tempoh waktu ini perasannya terdera. Kata-kata tajam umpama belati daripada Datin Aida menjadi gunting yang mencincang perasaannya. Lama-lama Raihanna hilang rasa. Bahagia yang pernah dirasakan bersama Rafiik Dylan sepertinya terbang dibawa angin. Dia betul-betul bersendirian setiap kali terpaksa berhadapan serangan Datin Aida yang senjatanya merupakan lidah yang tidak bertulang.
 
Melukai. Inilah yang terjadi. Apabila hati tidak lagi mampu bertahan. Maka jiwa mendesak untuk membawa diri. Lalu Raihanna bertegas dengan perpisahan. Bercerai adalah langkah yang dirasakan bijak untuk mencari bahagian sendiri. Sangka Raihanna, lelaki sehebat Rafiik Dylan tidak sukar untuk mencari pengganti. Lelaki itu akan lebih bahagia tanpa dirinya. Itulah ungkapan yang sering bermain-main dalam gawang pemikiran dan layar hati. Tanpa sedar setiap baris kata tu telah menghiris perasaan seorang lelaki yang bernama suami.
 
Suatu tragedi terjadi. Tragedi yang membongkarkan duri dalam daging yang menjadi asbab Raihanna semakin dibenci oleh mentua sendiri. Plot yang disusun untuk Raihanna mengundur diri sangat licik agar orang lain boleh menggantikan tempatkan dalam niat tersembunyi untuk mengaut dan membolot kekayaan serta perniagaan iRout. Apabila kebenaran diungkap, Raihanna berpaling. Dia kembali semula. Kali ini dia bergelar isteri buat kali kedua namun kepada lelaki yang masih sama. Cuma suasana dan situasinya berbeza...
 
Raihanna perlu bersabar. Raihanna perlu tabah. Raihanna perlu kuat.
 
Bahagia itu bukan miliknya seorang tetapi bahagia yang dikejar milik Rafiik Dylan bersama. Mampukan Raihanna menggapai bahagia? Berakhirkah kisah Raihanna dengan kehadiran zuriat yang ditunggu-tunggu? Selamilah karya Belong To Mr Perfect karya Rinsya Chasiani yang menulis takdir hidup kedua-dua insan ini.
 
Kesimpulan:
★★★★
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)