Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia menggesa dan merayu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meminda tarikh keputusan SPM 2023 ke tarikh baharu. Gesaan itu berikutan kenyataan yang dikeluarkan KPM hari ini, iaitu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikeluarkan pada 27 Mei 2024, iaitu hari Isnin.
Pihak Kongres berpandangan bahawa tarikh 27 Mei 2024
kurang sesuai dengan mengambil kira kebanyakan guru yang sudah merancang
percutian. Bahkan ada sebahagian guru telah membeli tiket kapal terbang untuk
pulang ke kampung halaman masing-masing. Tambahan pula, ada sebahagian sekolah
telah merancang aktiviti untuk guru-guru seperti LDP dan program kecemerlangan
sekolah.
Pihak Kongres berpandangan tarikh 27 Mei akan
menyusahkan pihak sekolah terutamanya guru kelas dan guru mata pelajaran SPM
untuk hadir ke sekolah pada musim cuti sekolah. Justeru, pihak Kongres merayu
kepada KPM untuk meminda tarikh keputusan SPM 2023 pada 23 Mei 2024 atau 6 Jun
2024.
Presiden Kongres, Tuan Haji Juhari bin Mohamad Noor berharap agar KPM membuat pertimbangan yang rasional berhubung isu ini.