Resensi Novel Korban Tanah Rawa Karya Maria Kajiwa
oleh -Cikgu Muzz
Oktober 14, 2024
0
Judul: Korban Tanah Rawa Penulis: Maria Kajiwa Penerbit: Batcha Enterprise Tahun: Oktober 2024 Bilangan Halaman: 202 muka surat Ulasan: Biasanya saya selalu bermain
mata dengan garapan novel tentang kehidupan biasa. Ada pasangan lelaki dan
perempuan. Asam garam kehidupan cinta dan berumah tangga. Kadang-kadang ada
subplot tertentu yang sedikit lari di sana sini menerbitkan perbezaan. Jarang saya
memilih karya seram sebagai bahan bacaan apatah lagi yang akan menghiasi rak
buku sebagai koleksi peribadi. Namun, sebaris nama Maria Kajiwa selaku seorang
penulis prolifik seram Malaysia rasanya tidak perlu lagi diperkenalkan dalam
kalangan pencinta buku. Barangkali saya mungkin sedikit terlewat mengenali
karya-karya beliau, tetapi Korban Tanah Rawa bukanlah naskhah kepunyaan beliau
yang pertama kali saya baca. Justeru, bilamana terpandang judul ini di Shopee,
terus saya check out. Sebagai pembaca, tipulah jika
saya kata kulit hadapan tidak akan mempengaruhi kuasa beli seseorang pembeli
dan pembaca novel. Ya, saya begitu. Kulit novel akan mempengaruhi emosi saya
ketika hendak membuat pembelian dan ketika hendak mencapai dari rak dan
dijadikan bahan bacaan. Secara peribadi Korban Tanah Rawa mempunyai kulit
hadapan yang agak mistik dengan gambaran seorang lelaki tua duduk di atas badan
seekor buaya yang warna matanya merah. Cantik dan lebih lagi ada kaitan dengan
isi kandungan cerita. Ini yang perlu sebenarnya. Kulit buku mestilah
menggambarkan sedikit sebanyak tentang isi kandungan buku. Jadi, sekalung
tahniah diucapkan kepada team grafik novel ini. Berbicara secara kasar novel
Korban Tanah Rawa ini agak menarik untuk dibaca. Jadi tak hairanlah saya tidak
memerlukan masa yang lama untuk menghabiskan bacaan. Saya rasa serupa pecah
rekod, dapat bungkusan petang, buka bungkusan lewat petang. Mula baca sebelum
Maghrib, sebelum tidur malam dah selesai baca. Pantas! Agak menarik untuk
menelaah kisah dendam antara buaya dan manusia. Rupanya dendam bukan sebarang
dendam; dendam kerana jahatnya manusia kerana melanggar janji. Jahatnya manusia
juga bukan sebarang jahat, jahat bertopengkan malaikat demi harta membukit. Novel Korban Tanah Rawa masih baharu
di pasaran, justeru saya tidak mahu mendedahkan secara terperinci tentang
setiap inci novel ini. Cukuplah saya memberikan bayangan bahawa jika anda
merupakan seorang pembaca yang berimaginasi ketika menelaah setiap halaman dan
isi kandungan, pastinya anda serupa masuk dalam drama bersiri dunia khayalan dengan
petak imaginasi khususnya tentang latar tempat, kerana sebahagian besar kandungan
novel ini memperincikan latar tempat yang pelbagai dengan agak baik dalam
memberikan rencah rasa yang bernyawa ketika pembaca melayari kisah antara
manusia dan buaya. Bagi yang berminat untuk membeli
Korban Tanah Rawa, anda boleh dapatkan di SINI sementara stok masih ada.