Hujung tahun begini pastinya rakan guru sibuk dengan urusan penandaan kertas jawapan sama ada untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) atau Peperiksaan Akhir Sesi Akademik (PASA). Itu belum lagi dengan pengisian data Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum Sekolah (PAJSK). Ini belum lagi melibatkan guru-guru yang sudahpun berkhidmat sebagai pentaksir dan pengawas bagi Ujian Bertutur dan Ujian Amali Sains untuk peperiksaan SPM 2024.
Dalam meniti kesibukan yang tidak berpenghujung datang pula tugasan dengan arahan ‘mendesak’. Sebenarnya informasi tentang e-pembelajaran dalam portal Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) dah lama ada. Guru-guru akan menerima makluman dalam e-mel peribadi. Cumanya, tidak ada maklumat secara rasmi tentang keperluan dan kewajipan bagi guru-guru untuk mengakses portal tersebut menyebabkan ada yang tertanya-tanya perlu jawab atau tidak, seterusnya persoalan itu tergantung di situ, sehinggalah warga pendidik ‘dikejar’ baru-baru ini.
Tak apalah, kita tinggalkan isu ‘bangau oh bangau; setakat itu. Saya di sini terpanggil untuk menulis artikel ni sebab terkejut nama disenaraikan sebagai individu yang tidak aktifkan SiPP sedangkan dalam minggu lepas saya sudah siapkan dua kursus seperti dihebahkan dalam WhatsApp melalui SU SPLKPM di sekolah, iaitu kursus Didik Hibur dan Navigasi Pentafsiran Digital.
Alkisahnya, setiap individu perlu memperoleh dua lencana (badge) barulah diiktiraf telah mengaktifkan SiPP. Tip pertama untuk dapatkan lencana atau badge dalam SiPP ialah memilih kursus atau course.
Saya telah memilih dua kursus dalam
SiPP dan berjaya memperoleh lencana atau badge kurang 30 minit, boleh skip
penerangan dan terus kepada test; sebabnya kursus ini lebih praktikal dan boleh
bersandarkan logik akal dan pengalaman kendiri. Kalau nak dengar sampai habis
pun tak ada masalah, walaupun Bahasa Inggeris tetapi mudah difahami. Guru-guru
boleh copy soalan dan paste dalam Google Translate jika kurang faham soalan
dan pilihan jawapan. Kemudahan ChatGPT juga boleh digunakan untuk mendapatkan
jawapan.
Paling penting kedua-dua kursus atau course dalam SiPP ini hanya ada 4 soalan sahaja pada bahagian test. Keempat-empat soalan adalah soalan dengan aneka pilihan jawapan. Markah lulus 70%. Tiada had masa untuk menjawab soalan. Sekiranya gagal memperoleh 70% boleh ulang ambil test semula. Sejurus selesai dan berjaya memperoleh 70% ke atas lencana atau badge dan sijil terus diperoleh dan boleh dimuat turun untuk simpanan dan diisi dalam SPLKPM.
Berikut merupakan dua kursus atau course tersebut:
- Conveying Your Message Without Words
- Recognizing Organizational Risks
Sebenarnya portal pembelajaran sebegini bagus untuk menambah ilmu pengetahuan, cumanya dalam keadaan terkejar-kejar dan minit akhir boleh juga membuatkan seseorang menjadi stres. Makanya, saya kongsikan pengalaman sendiri menjawab dua kursus yang mudah ini dahulu. Tahun 2025 nanti guru-guru termasuk saya boleh mulakan langkah dengan e-pembelajaran dalam SiPP lebih awal lagi.