BENTUK-BENTUK BANTUAN YANG BOLEH DIBERIKAN KEPADA NEGARA YANG DILANDA BENCANA ALAM
Bencana alam sudah tidak asing lagi menjadi topik hangat yang sering menjadi perhatian pada dada-dada akhbar serta menjadi perbualan penting sama ada dibincangkan dalam parlimen mahupun di warung-warung kopi. Sudah terang lagi bersuluh bencana alam memberi impak yang sangat dahsyat dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Kejadian gempa bumi, tanah runtuh, banjir, tsunami dan lain-lain haruslah diambil cakna dari akar umbi oleh pelbagai pihak.
Adicita yang dinyatakan dalam usaha-usaha bantuan yang boleh diberikan oleh negara-negara lain kepada negara yang terjejas akibat bencana alam ialah kerajaan mempunyai obligasi yang sangat penting untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada negara terjejas. Hal ini disebabkan bencana alam memusnahkan tempat tinggal dan infrastruktur yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dibangunkan semula. Tamsilnya, baru-baru ini kerajaan memberikan inisiatif untuk menyumbang kira-kira RM1 juta kepada kerajaan Turkiye sebagai bantuan kecemasan kepada negara Turkiye yang terjejas akibat gempa bumi yang dahsyat pada 6 Februari 2023 sekali gus mengorbankan 40000 nyawa rakyat Turkiye. Impaknya, negara yang menjadi mangsa bencana alam mempunyai sokongan yang kuat untuk proses menyelamatkan mangsa serta membaiki kerosakan yang berlaku. Oleh itu, kerajaan memainkan peranan penting untuk memberi pertolongan kepada negara lain supaya tidak bertindak bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Lontaran idea yang kedua, peranan media massa amatlah penting supaya isu-isu semasa tentang bencana alam diambil berat oleh rakyat di negara lain. Hal ini bersangkut-paut apabila media massa haruslah mengambil berat tentang perkembangan kejadian bencana alam untuk memudahkan bantuan yang perlu disegerakan dalam misi menyelamat, bantuan makanan dan tempat perlindungan. Misalnya, media massa seperti televisyen dan radio membicarakan isu letusan gunung berapi yang pernah berlaku di Indonesia serta kejadian tsunami di Aceh, Indonesia pada tahun 2004 menjadi tumpuan besar di negara-negara Asia Tenggara untuk mengikuti perkembangan mangsa-mangsa tsunami mengenai status terkini. Impaknya, bantuan yang disalurkan dari negara lain seperti MERCY Malaysia dan negara jiran iaitu Thailand lebih cepat sekali gus mengurangkan angka kematian mangsa-mangsa yang terjejas. Secara keseluruhannya, media massa mempunyai tanggungjawab besar dalam pemberian bantuan bencana alam dari negara lain.
Seperkara lagi, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dalam merealisasikan bantuan juga tidak boleh dipandang remeh mengenai kewujudannya. Tidak dinafikan lagi bahawa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dari negara lain memberikan sumbangan besar untuk menyertai misi menyelamat serta bantuan-bantuan lain. Sebagai contoh, kewujudan Myfund Action yang merupakan antara pertubuhan NGO utama di Malaysia bekerjasama dalam misi menghulurkan bantuan makanan, perubatan serta keperluan harian kepada mangsa-mangsa gempa bumi Turkiye-Syria berjaya dilaksanakan kerana penganggotaan sukarelawan yang ramai. Secara tidak langsung, mangsa-mangsa bencana alam dapat meneruskan kehidupan baik berbekalkan bantuan yang disalurkan oleh negara-negara lain. Bahkan Pertubuhan Kanak-Kanak Sedunia (UNICEF) juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyalurkan bantuan pendidikan dan sokongan dari aspek psikologi terutamanya kepada kanak-kanak yang trauma serta terjejas dari aspek kesihatan mental akibat bencana yang menimpa mereka. Implikasinya, bantuan-bantuan seperti ini memudahkan negara yang terjejas dalam bencana alam sekali gus meningkatkan imej negara kerana sentiasa peduli tentang nasib negara lain yang perlu diselesaikan walaupun tidak pulih sepenuhnya. Jelaslah bahawa bantuan daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sangat memberi impak yang baik kepada negara yang terpaksa berdepan dengan kerosakan dan kehilangan nyawa orang tersayang.
Konklusinya, bentuk-bentuk bantuan yang diberikan sewajarnya dilaksanakan dengan cemerlang supaya tidak kelihatan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Sesungguhnya, bencana alam merupakan tragedi di luar kawalan manusia. Sudah tentunya, sifat perikemanusiaan haruslah dipupuk dengan lebih baik dan tidak memandang enteng pentingnya membantu negara-negara lain dalam menyelesaikan isu negara-negara berdaulat sama ada republik atau raja berperlembagaan, selaras dengan perkara yang dinyatakan dalam kerjasama keahlian dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).