Karangan jenis e-mel merupakan salah sebuah karangan berformat yang diperkenalkan dalam silibus sejak kurikulum KSSM diperkenalkan pada peringkat menengah atas.
Penulisan karangan e-mel ini coraknya lebih kurang menulis karangan surat kiriman tidak rasmi. Lebih mudah apabila formatnya tak perlu nak hafal, boleh tengok dan ikut seperti yang ada dalam soalan. Hal ini dikatakan demikian kerana soalan karangan e-mel ini juga akan diberikan dalam bentuk e-mel.
Karangan e-mel ini berpotensi untuk diuji dalam Bahagian A, iaitu karangan respons terhad.
Persoalannya, bagaimanakah untuk merancang penulisan karangan e-mel yang agak baik, menjawab soalan tentunya dan pada masa yang sama mempunyai suntikan elemen menarik yang dapat menarik hati pemeriksa?
Pertama sekali buat perancangan menulis. Karangan Bahagian A, cukuplah setakat empat perenggan sahaja, kerana calon terikat dengan bilangan patah perkataan.
Perenggan 1- Pendahuluan
Perenggan 2- Isi pertama
Perenggan 3 – Isi kedua
Perenggan 4 – Kesimpulan
Dalam pendahuluan, calon biasanya akan bertanya khabar dan memaklumkan khabar diri sendiri. Pada bahagian ini, calon boleh menambahkan sedikit variasi dengan bercerita tentang apa-apa perkembangan terkini diri sendiri sama ada versi suka atau duka sebelum mengemukakan tujuan menulis e-mel.
Contoh:
Apa khabar, saudara Adrian? Semoga saudara bahagia di samping keluarga tercinta di Jakarta. Saya mendoakan agar saudara dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di sana. Saya di sini baik-baik sahaja dengan rutin kerja seperti biasa. Baru-baru ini saya ditawarkan kenaikan pangkat. Sudilah kiranya saudara doakan yang baik-baik untuk saya. Pada kesempatan coretan ini, saya akan cuba menjawab pertanyaan saudara berhubung faktor-faktor generasi muda kurang berminat dalam bidang pertanian dan penternakan.
Berikutnya, isi pertama dan isi kedua ditulis seperti biasa sebagaimana karangan perbincangan. Biasanya memadai dengan ayat isi, satu ayat huraian, satu ayat contoh, satu ayat kesan dan ayat penegasan.
Kesimpulan karangan e-mel sedikit berbeza dengan kesimpulan karangan perbincangan. Perbezaannya hanyalah pada cara ayat itu diadun. Ayat cadangan dan harapan masih sesuai ditulis dalam perenggan kesimpulan karangan e-mel.
Contoh:
Cukuplah sampai di sini dahulu saya mencoret kata dalam menjawab pertanyaan kamu. Sekiranya, masih ada apa-apa persoalan berbangkit, mohon Adrian kirimkan e-mel susulan. Sampaikan salam saya kepada keluarga kamu.
Berdasarkan huraian dan contoh-contoh di atas, rasanya dapat menjawab sedikit sebanyak pertanyaan tentang perancangan dalam menulis karangan e-mel. Jika ada apa-apa persoalan boleh sahaja tinggalkan pada ruang komen di bawah.