Sesi persekolahan bagi kalender akademik 2025 akan bermula pada 16 Februari 2025 bagi sekolah-sekolah negeri Kumpulan A, manakala sekolah-sekolah bagi negeri Kumpulan B akan memulakan persekolahan pada 17 Februari 2025. Seperti tahun sebelumnya, minggu pertama sesi persekolahan belum lagi bermula PdPC sebaliknya disisipkan dengan pelbagai aktiviti menarik bagi mengukuhkan minat dan menyuntik kembali emosi positif murid untuk kembali ke sekolah selepas bercuti selama satu bulan.
Minggu pertama sesi persekolahan
tanpa akademik adalah selari dengan Pekeliling Bilangan 5 Tahun 2023
(pengurusan minggu pertama persekolahan). Enam konsep pengisian minggu pertama
sesi persekolahan ialah mewujudkan suasana ceria, selamat, bermakna dan terancang;
mempunyai nilai pendidikan dan berinformatif; merupakan sebahagian pendekatan
pengajaran dan pembelajaran yang dapat memupuk nilai; melibatkan pelibatan
murid, guru, ibu bapa atau penjaga dan komuniti sekolah; memupuk kerjasama dan
komunikasi yang berkesan; dan memupuk perpaduan dalam kalangan murid pelbagai
kaum dan latar belakang sosioekonomi.
REKA TANDA NAMA
Guru boleh meminta murid mereka tanda nama masing-masing secara kreatif menggunakan kad yang boleh di klip pada baju; cadangan ialah nama panggilan supaya dapat mewujudkan suasana yang lebih harmonis antara rakan-rakan di dalam kelas untuk saling mengenal.
JEJAK PETA SEKOLAH
Guru boleh memimpin murid menjelajah seluruh kawasan sekolah, sesuai untuk murid baharu seperti Tahun 1 atau Tingkatan 1.
TEMU DUGA KERJA
Bagi murid menengah atas pula, guru boleh mengadakan aktiviti simulasi temu duga kerja sebagai pendedahan awal menempuh alam pekerjaan.
KONTRAK AKU JANJI KELAS
Setiap kelas perlu ada peraturannya sendiri. Apa yang perlu dan boleh dibuat oleh murid. Apa pula perkara-perkara yang tak sepatutnya dilakukan oleh murid. Jadi inilah masanya untuk guru menetapkan peraturan kelas bersama-sama murid.
PERCUTIAN IDAMAN
Murid boleh diminta untuk bercerita tentang destinasi percutian idaman. Cungkil kemahiran komunikasi murid dengan sesi soal jawab bersama-sama rakan sekelas yang lain.
KAD NAWAITU RAMADAN
Bulan Ramadan bakal menjelang 2 minggu sahaja lagi. Bagi murid Muslim aktiviti mencipta kad doa ketika bersahur dan doa waktu berbuka puasa sesuai dicipta bersama-sama murid di dalam kelas untuk digunakan sepanjang sebulan berpuasa pada Mac ini.
MEWARNA POSTER
Pelbagai poster bertema seperti antirokok, antidadah, antibuli, antivandalisme dan lain-lain boleh disediakan oleh guru untuk diwarnakan oleh murid. Sambil mewarna sambil diterapkan ehwal disiplin di sekolah.
MELUKIS DOODLE
Sesetengah murid sangat suka akan doodle. Jadi inilah masanya guru tetapkan tema dan biarkan murid bereksplorasi dengan kreativiti masing-masing.
MENARA IMPIAN
Murid boleh membina menara menggunakan kotak terpakai dan pada puncaknya diletakkan nota tentang impian tertinggi yang mahu dicapai dalam kehidupan.
JIKA AKU ADALAH DIA
Murid boleh melukis gambar atau menulis nama seseorang yang dia ingin jadi sepertinya. Seterusnya murid berkongsi tentang sebab-sebabnya.
SILANG UJI MINDA
Aktiviti teka silang kata, cari benda tersembunyi, cari dan suai padan perkataan dan lain-lain sama ada dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau tulisan jawi boleh dilakukan.
GURU IDOLA
Murid melukis potret guru idola di sekolah mereka. Seterusnya, murid membentangkan sebab-sebab guru tersebut menjadi pilihan.
MASA ITU EMAS
Guru boleh menekankan kepentingan masa kepada murid dan membimbing murid membina jadual waktu kendiri untuk kehidupan sehari-harian mengikut keperluan dan kesesuaian murid.
KOTAK MISTERI
Guru menyediakan sebuah kotak yang mengandungi alat tulis seperti pemadam, pensel, pen, dan lain-lain. Murid perlu memasukkan tangan dan mengambil peralatan tersebut, seterusnya meneka apakah peralatan itu. Seterusnya, guru boleh meminta murid mengulas tentang alat tulis berkenaan, misalnya sejauh mana alat tulis tersebut membantu ketika di alam persekolahan.
GORENG PISANG
Nyanyian kumpulan demi kumpulan menggunakan perkataan terakhir, bergantung kepada kumpulan yang ditujukan lawan. “Goreng pisang, goreng pisang, goreng pisang sekarang, pisang apa, pisang apa, pisang apa sekarang”. Kumpulan yang dituju akan membalas “Pisang tanduk, pisang tanduk, pisang tanduk sekarang, tanduk apa, tanduk apa, tanduk apa sekarang”. Kumpulan yang gagal menyambung dalam tempoh seminit dianggap gagal, begitulah seterusnya sehingga ada kumpulan pemenang.
MENARA CAWAN
Murid disuruh menyusun cawan kertas mengikut strategi masing-masing. Paling tinggi dianggap pemenang.
SURAT UNTUK AKU
Murid diminta menulis surat untuk diri sendiri. Tujuan untuk melatih murid belajar untuk meluahkan emosi dan tidak memendam perasaan seorang diri.
CERMIN AJAIB
Murid diberikan cermin kecil dan melihat wajah masing-masing sambil menyebutkan 3 perkara positif tentang diri mereka.
SENAMROBIK
Aktiviti senaman untuk mencergaskan tubuh badan.
SIHAT ITU ANUGERAH
Ceramah penjagaan kesihatan juga boleh diadakan pada minggu pertama persekolahan misalnya dengan pendedahan amalan pemakanan sihat.
SELAMAT DI JALAN RAYA
Pendidikan keselamatan jalan raya, cara lintas jalan raya yang betul, kaedah menggunakan jalan raya bagi penunggang basikal, aspek keselamatan bagi penunggang motosikal dan lain-lain berkaitan keselamatan jalan raya boleh didedahkan kepada murid.
BERSIH AMALAN MULIA
Aktiviti gotong-royong membersihkan kelas dan kawasan persekitaran sekolah juga sesuai dilakukan dengan melibatkan ibu bapa dan komuniti sekolah.
SUARA HATI KANTIN
Guru boleh menyediakan peti cadangan khusus untuk murid memasukkan tulisan mereka tentang komen makanan di kantin, dan persekitaran kantin sekolah. Tujuannya adalah untuk pengusaha kantin boleh membuat penambahbaikan.
JOM BALUT BUKU
Bagi memelihara buku-buku yang ditawarkan menerusi SPBT, aktiviti membalut buku juga sesuai dijalankan pada minggu pertama persekolahan terutamnya bagi murid yang matang.
MALAYSIA TANAH AIRKU
Soalan kuiz tentang sejarah Malaysia dan negeri-negeri di Malaysia.