15 Tip & Pesanan Untuk Guru Baharu

Cikgu Muzz
oleh -
0
 

Penempatan bagi guru baharu sesi persekolahan 2025 akan bermula pada 13 Februari 2025. Tahniah diucapkan kepada semua guru baharu yang dilantik menjadi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG10. Pada ketika ini, tentu sahaja para guru baharu sudahpun menerima surat arahan penempatan. Dalam artikel kali ini, suka saya hendak berkongsi tip-tip khusus buat guru baharu yang akan melapor diri di sekolah.

BINA HUBUNGAN DENGAN KERANI SEKOLAH
Pepatah ada menyebut, ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Sudah dilantik menjadi pegawai berpangkat DG bukanlah satu tiket untuk berlagak dan bersikap sombong. Guru secara amnya apatah lagi guru baharu perlu mempunyai hubungan yang baik dengan kerani. Kerani di pejabat sekolah melakukan pelbagai urusan berkenaan dengan perkhidmatan guru di sekolah. Bermula daripada urusan surat-menyurat, kenaikan gaji, pergerakan gaji, kenaikan pangkat, cuti sakit dan cuti rehat khas dalam portal hrmis dan macam-macam lagi akan guru lakukan melalui perantara kerani. Oleh itu, bina hubungan yang baik dengan kerani sekolah. Senyum dan ramahlah dengan mereka. Membina hubungan dengan kerani sekolah ini bukan semata-mata untuk kepentingan perkhidmatan semat-mata, sebaliknya membina dan menjalinkan tali silaturahim agar kehidupan bermasyarakat dalam sebuah komuniti itu terjalin mesra.

BINA HUBUNGAN BAIK DENGAN GURU SENIOR
Bekerja di sekolah ini kita tak boleh gerak berseorangan. Bukan tak ada kisah guru yang bergerak sendiri, tetapi percayalah hidup menongkah arus ini bukan mudah. Di sekolah ada seribu satu kerja dan tugasan yang tidak pernah kita bayang selama empat tahun belajar di universiti atau institut pendidikan guru. Dan untuk melakukan semua kerja dan tugasan ini kita memerlukan sokongan daripada rakan-rakan sekerja. Justeru, sebagai guru baharu binalah perhubungan yang baik dengan semua guru yang ada di sekolah tanpa mengira perbezaan umur, bangsa dan agama. Tegur dan sapalah guru-guru lama. Pada awalnya pasti akan rasa kekok, lama-lama insya-Allah akan menjadi biasa. Elakkan diri duduk dalam kalangan guru-guru baharu dan seusia sahaja. Walaupun kita duduk dengan guru-guru lama sekadar jadi pendengar, atau angguk sekali dua dan tumpang gelak walaupun tak faham apa-apa; tak mengapa. Itu menunjukkan kesungguhan kita sebagai guru baharu untuk membina perhubungan dengan guru senior di sekolah kita.

JANGAN BERAT MULUT, RAJINLAH BERTANYA
Kata orang malu makan perut lapar, malu bertanya sesat jalan. Oleh itu, sebagai guru baharu rajinkan diri untuk bertanya. Tanyalah sesiapapun, rakan guru dalam bilik guru, ketua panita, guru kanan, pentadbir dan kerani di pejabat, hatta pekerja kebersihan, pekerja keselamatan dan pekerja di kantin sekolah. Tanya sahaja apa-apa pada mereka sekiranya anda punya soalan yang berkaitan dan sesuai dirasakan dituju kepada empunya diri.

JANGAN BANYAK TEGUR; INI TAK KENA, ITU TAK BETUL
Guru baharu ini fresh sesegar embun pada waktu. Ceh! Nak pula generasi guru baharu kini sudah jauh berbeza dengan generasi X dan Y yang ada di sekolah sebagai guru senior. Jadi biasalah kalau guru baharu akan cenderung melihat dan berasakan itu tak kena dan ini tak betul. Kenapa buat benda ni macam ni, sepatutnya buat macam ni baru lebih baik blablablabla... Kita kena ingat, lain padang lain belalang. Tak semestinya apa yang kita rasa betul dan kena ikut diri kita sesuai dengan budaya di sesebuah sekolah. Jadi nasihatnya di sini, ikut dahulu arus, banyakkan melihat, proses dan simpan dahulu segala keinginan yang berkobar dalam diri tu, kita buat perlahan-lahan, bak kata Omputih, go with the flow.

TAK MEMILIH SUBJEK
Guru baharu ni pasti akan melangkah ke sekolah dengan harapan menggunung akan diberikan subjek major atau minor untuk diajar. Kalau dapat alhamdulillah, kalau tak dapat kenalah reda. Terima dahulu subjek yang disuruh ajar. Kadang-kadang ada macam-macam isu di sekolah untuk menyusun guru dengan subjek yang diajarnya. Lama-lama nanti anda akan faham sendiri. Memang rasa rugi ilmu yang dipelajari tak dapat dicurahkan tetapi nak buat macam mana, itulah lumrah dalam dunia pendidikan di Malaysia.
 
JANGAN BERLAGAK DIVA
Seperkara lagi, janganlah berlagak diva dan tunjuk pandai dalam segala hal. Nak beri pandangan dengan memetik kata-kata tokoh ilmuan sepertimana buat tesis. Pening dik! Guru baharu ni seperti gandum yang sedang masak ranum di ladang. Jadi banyaklah ilmu dalam kitab yang sarat dalam jiwa dan minda. Segala mak nenek teori pembelajaran dan model-model pembelajaran yang dituntut di universiti mesti meluap-luap di dalam jiwa dan tidak sabar-sabar untuk dimuntahkan seperti letusan gunung berapi. Bukan tak boleh guna, boleh guna adik-adik semua. Semua dalam sesuatu urusan kita jangan berlebih-lebih tunjukkan yang kita ni tahu segala-galanya melebihi orang lain; lagi teruk rasa idea sendiri paling hebat dan diri sendiri selalu betul. Peninggggg!

ELAKKAN KEBERGANTUNGAN YANG TINGGI
Biasalah sebagai orang baharu nak pula kalau ditempatkan bertugas di tempat baharu seperti di kawasan pedalaman, kita akan mengalami sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dan keadaan. Jadi tak salah untuk meminta pertolongan dan bantuan daripada guru senior. Namun demikian, janganlah terlalu kerap bergantung dan mengharapkan bantuan daripada guru senior, takut menyusahkan mereka pula, perlu juga usahakan sendiri apa-apa langkah optional lain yang ada. Begitupun, selalunya guru-guru lama ni baik-baik belaka, ada saja yang sudi bantu, kalau tak mereka sendiri yang bantu, pasti dipermudahkan dengan cadangan lain yang memudahkan guru baharu. Jadi, jangan risau sangat, okay!

JANGAN TOLAK KERJA
Sebagai guru baharu, kita tak diberikan pilihan. Sedih kan? Tak payah nak berdrama sangat, selagi mana anda sekadar GAB, selalunya anda perlu menerima dan akur sahaja semua tugasan yang diberikan. Tak tahu buat itu biasa. Tak pernah buat tu lagi biasa. Makanya, kita belajarlah buat sikit-sikit. Buat sahaja apa yang kita mampu. Yang tak tahu tanya guru senior. Kalau perlu bimbingan cari sahaja pentadbir. Okay apa, selalu jumpa pentadbir, boleh cepat dapat APC. Hahahaha...

JANGAN JADI TUNGGUL KAYU
Tunggul kayu ni biasanya orang sepak buang rasa geram hati saja kan? Huhuhu. Pesanan untuk guru baharu, kalau ada apa-apa program dan aktiviti di sekolah, mesti kena turun padang. Kalaupun tugas kita dah selesai dan kita tak ada kena mengena dengan kerja yang sedang dibuat, duduk saja di situ. Bantulah apa yang boleh. Paling kurang duduk sembang. Situasi ini biasanya dalam persiapan majlis sekolahlah, ditakdirkan posting sekolah kebangsaan ini dia ada seribu satu majlis dengan sejuta macam tema. Hahahaha. Jadi, sebagai guru baharu sama-samalah kita merealisasikan tema-tema majlis itu di sekolah kita.

SALAH PILIH KUMPULAN
Dekat sekolah nanti akan ada geng. Geng A tak ngam dengan Geng B. Begitulah seterusnya. Itu biasa. Lagi teruk ada yang talam dua muka. Dari Geng A dia menyampai ke Geng B begitulah sebaliknya. Belum lagi kaki report. Ada saja yang dia nak menyampai dekat pentadbir. Padahal depan kita dia pun dua kali lima sama-sama mengumpat di belakang. Hahaha. Itu satu jenis geng. Ada juga geng suka merokok belakang bangunan, geng tak masuk kelas, geng masuk kelas asyik suruh budak salin kemudian dia duduk main henpon, geng tak menanda buku latihan, geng suka mengelat kerja, geng lepak kantin berjam-jam dan macam-macam lagi. Biasalah, cikgu pun manusia biasa, banyak udang banyaklah ragam. Jadi, pandai-pandailah pilih geng yang betul, ingat dik lama lagi nak kerja.

JANGAN CEPAT PERCAYA
Orang kata rambut sama hitam, hati lain-lain. Makanya, jangan cepat percaya dengan sesiapa. Tak perlu nak ceritakan segala-galanya tentang diri kita kepada sesiapa walaupun kita rasa orang itu baik dan boleh dipercayai. Silap hari bulan habis jadi radio bergerak cerita dalam kain kita. Bukanlah nak ajar jadi buruk sangka, tetapi tak salah kalai kita lebih berhati-hati dalam berkongsi. Tak kisahlah sama ada cerita suka atau cerita duka. Kadang-kadang ada orang membenci dengan gelak tawa yang kita miliki dan ada masanya ada juga manusia yang bersorak girang dengan air mata yang kita jalani.

KUTUK BELAKANG
Percayalah setiap dinding sekolah itu ada mata dan telinga. Hahaha. Nak mengata itu ini, tengok sekeliling. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.  Itu belum lagi sesi luah perasaan di media sosial, tak kisahlah Facebook, Tiktok, Instagram atau X. Hati-hati. Status luah perasaan isu di sekolah dalam media sosial ini kadang-kadang boleh menyalahi etika kakitangan awam. Lagi satu, awas; ada banyak mata memerhati. Termasuklah kaki sekerinshot lepas tu membawang dalam grup WhatsApp geng mereka, lagi parah report dekat pentadbir sekolah. Huhuhu.

JANGAN JADI KAKI BODEK
Tak perlulah ampu pentadbir lebih-lebih. Sama ada ada kepentingan atau tidak, kalau bodek terlebih nanti orang menyampah. APC itu tak payah kejar, biar APC tu kejar kita sendiri, setakat 1K imbuhan, jadi influenza cari hantu malam-malam buat live di Tiktok, dapat lebih lagi. Hahahah. Tak apalah kalau orang tak iktiraf kerja buat kita dik, Allah ada. Allah tak pernah tidur. Allah nampak semua usaha dan pengorbanan kita. Kalaupun kita tak pernah dapat APC, percayalah ada rezeki lain yang Allah dah bagi dekat kita atau akan Allah bagi dekat kita, tak di sini, nun di sama semasa kehidupan abadi nanti. Jadi, buat adik-adik guru baharu posting tak payahlah nak bodek untuk dapat apa-apa anugerah, imbuhan mahupun puji-pujian daripada pentadbir. Kita ikhlaskan diri dalam kerja, okay.

HANGAT-HANGAT TAHI AYAM
Sebagai guru baharu dan guru novis kita mestilah mempunyai keazaman yang tinggi untuk menjadi guru yang terbaik buat anak-anak murid kita. Sentiasa bersedia untuk belajar perkara baharu. Perlu selalu rajin mengambil tahu tentang pelbagai perkara yang bersangkut paut untuk meningkatkan kualiti diri kita sebagai guru baharu terutamanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Teruskan tekad untuk menjadi terbaik. Kalau ada bisik-bisik yang berbunyi, “ala macam manapun gaji tetap masuk”; hah, abaikan golongan macam ni, jangan biarkan virus dia untuk menjadi biasa-biasa itu menjangkiti kita. Ada banyak ruang dan peluang di luar sana untuk guru baharu terus meningkatkan kecemerlangan diri baik dari segi kajian, inovasi dan peluang sambung belajar.

AKUR DENGAN TAKDIR TUHAN
Manusia boleh merancang, tetapi pada akhirnya Tuhanlah yang menentukan semuanya. Bilamana ada guru baharu posting di kampung sendiri mesti akan ada cakap-cakap berbunyi kata guna kabel. Apabila posting di pedalaman yang kurang serba segi, ditakutkan pula dengan pelbagai khabar yang tak sedap didengar. Jadi ringkasnya, ambil sahaja dari sudut yang positif. Reda dengan ketentuan Allah. Banyak-banyak berdoa supaya Allah mudahkan urusan kita semua di tempat baharu dan dalam kalangan masyarakat setempat yang baharu.

Cukuplah rasanya 15 tip dan pesanan kepada guru-guru baharu yang bakal posting untuk sesi akademik 2025 ini. Guru-guru baharu pada masa hadapan pun boleh saja baca dan jadikan semua pesanan ini sebagai nasihat. Kalau rasa ada pesanan yang tak betul abaikan sahaja. Yang betul jadikan sebagai teladan, yang tak betul tinggalkan jadi sempadan.

*Rasa-rasa ada berapa peribahasa dalam artikel ni?
 
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)