Kerajaan telah mengenakan larangan terhadap tujuh buah buku yang dikenal pasti mengandungi kandungan yang boleh menganggu ketenteraman awam serta memudaratkan moral awam. Pengharaman atas 7 buku itu dikuatkuasakan Kemenetrian Dalam Negeri (KDN) pada 15 hingga 17 April lalu melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Bahan bacaan yang disenaraikan sebagai dilarang kerana dipercayai boleh memberikan kesan negatif kepada moral masyarakat ialah ialah Love, Theoretically, Tuan Ziyad: Forbidden Love, Darlingku Mr. Cold Mafia, Mischievous Killer, Kougar 2, dan The American Roommate Experiment. Manakala Suhuf Abraham pula diharamkan kerana dianggap boleh berpotensi mencetuskan gangguan terhadap ketenteraman awam.
Sebagaimana peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan yang disenaraikan dilarang secara mutlak di Malaysia.
Mereka yang didapati memiliki penerbitan larangan tanpa alasan munasabah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 mengikut subseksyen 8(1). Manakala, bagi pelanggaran lebih serius seperti pengedaran atau penjualan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan bawah subseksyen 8(2).
Persoalannya, berapa ramai yang telah membaca dan memiliki buku-buku ini khususnya novel-novel melayu hasil karya penulis tempatan dan diterbitkan serta diedarkan oleh syarikat tempatan? Apatah lagi novel-novel tulisan Ariaseva, Shadiah dan Bellesa itu cukup popular sehingga menjadi trending di aplikasi Tiktok dan sudah diulang cetak banyak kali. Adakah langkah KDN ini dilihat agak lewat? Apa pandangan anda?
Sejujurnya, novel-novel yang terlalu banyak memaparkan adegan yang boleh memberikan impak negatif kepada moral ini tidak patut disokong. Semasa saya sedang menuntut di UPM dan mengambil kertas kajian karya di Fakulti Pendidikan serta Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi ada sebuah novel yang disebut-sebut oleh pensyarah sebagai novel ‘terkenal’ yang pernah diharamkan, tajuknya Mona Gersang. Saya masih ingat lagi pensyarah kami ketika itu Dr. Haji Shamsudin Bin Othman mengatakan “Aku haramkan ilmu yang aku bagi kalau kau orang guna untuk tulis cerita-cerita macam ni”. Lebih kurang itulah bunyinya...
Sebenarnya, mengadun novel pop dengan laras cinta dan kasih sayang tanpa terlalu banyak adegan yang memaparkan babak terlarang bukanlah bererti pembaca tidak dapat menyelami maksud kasih sayang suami isteri yang hendak disampaikan oleh penulis. Tidak perlu diperincikan setiap satu babak-babak panas itu dengan terlalu mendalam. Tak perlu pun adegan berlari-lari dalam bilik tidur itu sampaikan berbelas-belas atau berpuluh-puluh muka surat hanya menjurus kepada perihal yang satu itu.
Apa-apapun soal 7 novel yang dilarang dan diharamkan seperti yang disebut di atas, satu-satunya yang telah saya baca hanya Tuan Ziyad: Forbidden Love. Itupun sebab kontroversi demi kontroversi yang menghimpit novel ini tetapi sambutan yang diberikan juga sangat menggalakkan menyebabkan rasa ingin tahu itu membuak. Barangkali jatuh cinta dan terlanjur dengan bakal bapa mentua yang sebelumnya pernah jadi sugar daddy kepada watak utama perempuan dalam novel ini dipercayai pihak berkuasa sebagai memberikan impak kepada gangguan moral. Wallahualam.
Sumber: Buletin TV3
Nasib baik bukan kategori buku yang aku suka baca.
BalasPadam