KARANGAN KEPERIHALAN / GAMBARAN / CEREKA / CERITA
PENGALAMAN MENYAMBUT BULAN KEBANGSAAN
Bulan Ogos merupakan bulan yang sinonim dengan erti kemerdekaan. Ya, 31 Ogos merupakan tarikh kebangsaan buat negaraku yang tercinta, iaitu Malaysia. Pada tahun ini aku cukup bertuah kerana dapat meraikan sambutan bulan kebangsaan yang diadakan pada peringkat sekolah. Sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini diadakan pada 15 Ogos 2025, sebagai simbolik pelancaran. Pada pagi itu aku sungguh bersemangat ke sekolah.
Pada pukul 7.30 pagi, aku dan murid-murid lain beratur mengikut kelas di Dewan Perdana. Dewan Perdana merupakan dewan terbuka di sekolahku. Kami selalu berhimpun di sini untuk apa-apa acara yang besar yang melibatkan semua murid sementelahan sekolahku tidak mempunyai dewan tertutup. Aku berdoa di dalam hati agar cuaca elok sepanjang majlis berlangsung kerana jika hujan pastinya tempias air hujan akan merencatkan sedikit perjalanan majlis.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk barisan pentadbir dan guru-guru sekolahku. Mereka diiringi oleh barisan kepimpinan murid yang sungguh bersemangat memalu kompang. Pada barisan hadapan sekali dua orang murid perempuan membawa bunga manggar manakala pada barisan akhir pula seramai tiga orang pengawas lelaki mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh gagah. Kami yang melihat perarakan masuk itu memberikan tepukan yang gemuruh, apatah lagi melihat warga pendidik mengenakan pakaian kebangsaan dan aksesori yang bertemakan warna bendera Malaysia.
Seperti majlis yang lain, sambutan bulan kebangsaan juga dimulakan dengan ucapan-ucapan daripada wakil murid dan pentadbir sekolah. Aku mendengar butir ucapan mereka dan mencatatkan maklumat penting di dalam buku nota kecil. Sudah menjadi kebiasaan bagiku untuk mencatatkan maklumat penting supaya tidak lupa akan pesanan para guru. Usai ucapan, majlis diteruskan dengan nyanyian lagu patriotik oleh wakil murid. Lagu yang didendangkan sungguh menusuk jiwa dengan suara yang merdu menangkap halwa telinga.
Berikutnya, kami dihidangkan pula dengan persembahan lakonan oleh gabungan murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4. Aku tidak sabar menyaksikan persembahan ini. Kata guru Sejarahku lakonan ini mempunyai kaitan dengan Bab 10 dalam buku teks Sejarah Tingkatan 2. Apabila lakonan bermula, seisi dewan diam menumpukan perhatian dan menghayati momen lakonan yang dipertontonkan. Aku cukup teruja melihat lakonan mereka, sangat realistik dan begitu berbakat sekali.
Pada penghujung majlis semua guru dijemput oleh pengacara majlis untuk naik ke atas pentas. Para murid pula diedarkan dengan Jalur Gemilang bersaiz kecil oleh pengawas sekolah. Kami semua berdiri. Sebanyak 3 buah lagu patriotik kami nyanyikan bersama-sama. Gamat dan meriah sekali suasana pada ketika itu. Kemuncak majlisnya ialah guru disiplin sekolahku, iaitu Encik Rosli Bashir melaungkan ‘Merdeka!’ sebanyak 7 kali sambil disahut oleh semua hadirin. Sesungguhnya, sambutan bulan kebangsaan pada peringkat sekolah pada tahun ini amat bermakna bagiku.