
Sebagai persediaan
menghadapi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) cikgu kongsikan jawapan lengkap
bagi soalan berkenaan aspek nilai murni bagi novel Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan
Tingkatan 3, Zon Utara. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat khususnya
tentang cara terbaik menulis jawapan dalam kertas peperiksaan.
Berdasarkan
sebuah novel yang anda kaji, huraikan aspek nilai dalam novel tersebut.
Novel yang saya
kaji ialah novel Pelari Muda karya Ghazali Ngah Azia. Terdapat beberapa nilai
murni yang terdapat dalam novel ini. Salah satu nilai murni yang terdapat dalam
novel Pelari Muda ialah kerajinan. Buktinya, Suresh dan Kamarul rajin berlatih
membuktikan bahawa mereka layak mewakili negara. seterusnya, nilai kedua yang
terdapat dalam novel Pelari Muda ialah kesabaran. Hal ini dapat dilihat dalam
perlakuan Kamarul yang tidak mahu berlatih dengan Encik Kadir tetapi Encik
Kadir sabar melayani sikap Kamarul tersebut. Nilai terakhir yang boleh dikupas
daripada novel Pelari Muda ialah nilai keinsafan. Sebagai bukti, nilai
keinsafan ini dapat dilihat pada peristiwa Kamarul yang menyedari kesalahannya
terhadap semua orang ketika terlantar di hospital dan mula berasa insaf.
Begitulah tiga nilai murni yang dapat dikupas daripada novel yang saya kaji di
Tingkatan 1, iaitu novel Pelari Muda.
Novel yang saja
kaji di Tingkatan 2 ialah novel Jalan ke Puncak karya Juri Durabi. Dalam
naskhah ini terdapat beberapa nilai murni yang dapat dikupas. Salah satunya
ialah nilai ketekunan. Hal ini dapat dilihat pada watak utamanya, iaitu Laiman
yang berusaha keras mencapai kejayaan dalam bidang pertanian dan penternakan
walaupun menghadapi pelbagai halangan. Seterusnya, nilai kedua ialah nilai tanggungjawab. Contohnya, Sukri telah menyelia
pekerjaan Laiman dengan teliti semasa Laiman menjalani latihan praktikal di
syarikat minyak. Akhir sekali ialah nilai keberanian. Nilai ini dapat dilihat
pada diri Laiman yang berani mengambil risiko melibatkan diri dalam bidang
pertanian meskipun mendapat tentangan daripada bapanya sendiri. Begitulah tiga
nilai murni yang dapat dikupas daripada novel yang saya kaji di Tingkatan 2,
iaitu novel Jalan ke Puncak.
Novel yang saya
kaji di Tingkatan 3 ialah novel Justeru Impian Dijaring karya Zaid Akhtar. Dalam
karya ini terdapat beberapa nilai murni yang boleh diteliti. Salah satu nilai
murni tersebut ialah nilai ketaatan. Hal ini dapat dilihat pada awatak utamanya,
iaitu Syahir Ramzai yang taat akan perintah Tuhan dengan memakai pakaian yang
menutup aurat ketika menjalani latihan badminton serta ketika menyertai
perlawanan badminton. Berikutnya, nilai yang kedua ialah nilai ketabahan. Watak
utama dalam novel ini, iaitu Sahir Ramzi sangat tabah akan dugaan ketidakadilan
yang menimpa dirinya apabila seorang lagi pemain badminton, iaitu Syed Amiri
sering dilebih-lebihkan oleh pengurus pasukan, iaitu Engku Aiman. Sikap pilih
kasih yang ditunjukkan oleh Engku Aiman walau bagaimanapun tidak mematahkan
semangat Syahir Ramzi kerana dia mendapat sokongan padu jurulatihnya, iaitu
Haji Marzuki. Akhir sekali, nilai kerajinan juga dapat dikupas daripada novel
Justeru Impian Dijaring. Aspek ini dapat dibuktikan apabila watak Syahir Ramzi
dipotretkan sebagai seorang pemain badminton yang rajin menjalani latihan
badminton di bawah tunjuk ajar Haji Marzuki sehingga berjaya mencapai
cita-citanya menjadi juara dunia. Begitulah tiga nilai murni yang dapat dikupas
daripada novel yang saya kaji di Tingkatan 3, iaitu novel Justeru Impian
Dijaring.