
Adakah seorang guru perlu mendapatkan
kelulusan daripada ketua jabatan untuk bercuti walaupun telah memperoleh perakuan
cuti sakit daripada pegawai perubatan?
Pernah tak anda melalui situasi
begini? Anda tidak sihat dan telah berjumpa doktor serta memperoleh cuti sakit,
namun ketua jabatan tetap menyuruh anda datang bekerja atas alasan tertentu,
contohnya pada hari tersebut ada lawatan nazir dan keberadaan anda di sekolah
sangat mustahak meskipun anda kurang sihat.
Persoalannya, bolehkah ketua jabatan
berbuat demikian?
Isu ini menjadi perbualan dalam
kalangan warga maya apabila ada seorang guru meluahkan perasaan secara terbuka di
media sosial akibat cuti sakit hari terakhir tidak diluluskan oleh guru besar kerana
guru tersebut perlu menghadiri kursus. Menurut guru tersebut, tindakan guru
besar itu tidak tepat ekoran cuti sakit yang diberikan kepadanya adalah
daripada doktor dari hospital kerajaan.
Cuti-cuti atas sebab-sebab perubatan
adalah diberi oleh Ketua Jabatan atau Kuasa Tertentu bila seseorang pegawai itu
disahkan oleh seseorang pegawai perubatan atau oleh sebuah Lembaga Perubatan
(Bab F) atau oleh seorang ahli Panel Doktor sebagai tidak sihat untuk
menjalankan tugas-tugas jawatannya. Pengesahan itu hendaklah di atas sijil
sakit yang diterima seperti dalam Perintah Am 1 (xi). Ketua Jabatan boleh
menerima, mengikut budi bicaranya sendiri, sebarang sijil sakit yang
dikeluarkan oleh seseorang doktor perubatan tanpa sokongan dari seorang pegawai
perubatan, apabila sijil-sijil itu memberi cuti yang tidak melebihi dua hari
yang berturut-turut sahaja. Jumlah cuti sakit yang boleh diberi oleh Ketua
Jabatan atas sijil-sijil sedemikian tidak akan melebihi 15 hari dalam sesuatu
tahun.
Cuti-cuti atas sebab-sebab perubatan
adalah sebagai berikut:
- Cuti sakit.
- Cuti sakit lanjutan.
- Cuti pemulihan dan cuti kerantina.
- Cuti bersalin.
- Cuti kecederaan.
- Cuti tibi, kusta dan barah
Jadi, dapat disimpulkan bahawa
seorang guru memang sepatutnya memaklumkan cuti sakit yang diterima kepada guru
besar atau pengetua untuk mendapatkan kelulusan bercuti. Selalunya ketua
jabatan pun bertimbang rasa sahaja. Kalaupun diminta hadir bertugas meskipun mempunyai
cuti sakit mungkin kehadiran guru itu amat diperlukan atau sakit yang dialami
oleh guru tersebut tidaklah terlalu serius.
Apapun, dalam sebuah organisasi
bernama sekolah, komunikasi adalah suatu alat yang sangat penting. Berbincanglah
dengan pengetua atau guru besar dan pentadbir lain elok-elok. Meluahkan perasaan
di media sosial kerana terlalu beremosi tidak akan membantu meringankan masalah
bahkan selalunya berakhir dengan masalah baharu yang lain.