Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan
petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan pengurusan
masa dalam kalangan pelajar. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak
melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri
tanpa mengubah maksud asal petikan.
Menyedari
bahawa masa pasti tidak akan menunggu kita, kita sebagai golongan pelajar harus
bijak mengurus masa dengan sebaik mungkin. Hal ini supaya kita tidak kerugian
dan menyesal sebagai akibat gagal dalam pelajaran. Terdapat beberapa
kepentingan bagi kita jika kita mengurus masa dengan baik.
Kepentingan
utama pengurusan masa yang baik adalah untuk membolehkan kita mengoptimumkan
setiap detik yang ada dengan perkara-perkara yang berfaedah. Dengan bersikap
hati-hati menggunakan masa, kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi leka
atau lalai terhadap sesuatu hal yang tidak berfaedah. Di samping itu, orang
yang mengurus masa dengan baik akan mempunyai ciri-ciri seperti berdisiplin,
kreatif, cekap bekerja, dan mempunyai matlamat atau berwawasan. Sesungguhnya,
mengurus masa bukanlah suatu perkara yang mudah. Maka, apabila seseorang itu
mampu mengurus masanya, bermakna bahawa dia memiliki beberapa nilai positif
yang lain, terutamanya berdisiplin.
Selain
itu, seseorang yang tahu mengurus masa dengan baik juga tahu membuat
perancangan demi mencapai matlamatnya. Misalnya, pelajar yang ingin mencapai
cita-citanya akan menyusun masanya untuk diagih-agihkan kepada perkara-perkara
yang mengarah cita-citanya itu. Masanya akan dihabiskan untuk menyiapkan
kerja-kerja sekolah, mengulang kaji pelajaran, berbincang tentang topik-topik
pelajaran,membaca untuk meluaskan minda, serta mendapatkan rehat yang cukup
agar badannya senantiasa cergas. Di samping itu, pengurusan masa yang baik akan
menghasilkan kesempurnaan dalam kerja juga. Pelajar sebegini akan dapat
menyusun dan menulis nota-nota ringkas kerana menjelang peperiksaan, pelajar
tidak berkesempatan lagi untuk membuat rujukan daripada buku-buku teks. Kualiti
kerja pelajar sebegini juga lazimnya lebih baik daripada pelajar yang membuat
kerja pada saat-saat akhir.
Akhir
sekali, pengurus masa yang baik dapat melalui kehidupan hariannya dengan
tenang. Hal ini demikian kerana segala aktiviti hariannya telah disusun
berdasarkan perancangan yang telah dibuat. Hal ini membolehkannya melakukan
kerja-kerjanya satu persatu dengan tenang dan sempurna. Dia tahu untuk
mendahulukan kerja-kerja yang penting dan disusuli dengan kerja-kerja yang
lain. Sesungguhnya mereka yang tahu mengurus masa akan dapat mengatur hidupnya
dengan sempurna dan tentunya akan menjamin kejayaan yang cemerlang pada masa
hadapan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Pengurusan Masa,
Fokus SPM, Julai)
>>>
Jawapan