[Nota Komsas] Analisis Prosa Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan; Antologi Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Cikgu Muzz
oleh -
0


SINOPSIS PROSA TRADISIONAL KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
Cerita ini bermula dengan peristiwa Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada mendapat khabar sedih tentang kematian tujuh orang penjuritnya yang telah dibunuh oleh Laksamana di Melaka. Orang suruhan Patih Gajah Mada telah menemui Kertala Sari untuk menjemputnya ke kediaman Patih Gajah Mada. Patih Gajah Mada telah membawa Kertala Sari berjumpa dengan Seri Betara  di Istana Seri Betara, Majapahit. Seri Betara akan melantik Kertala Sari sebagai penggawa agung. Mereka berbincang cara-cara untuk membunuh Laksamana dan Raja Melaka sekali gus menumpaskan kerajaan Melaka. Seri Betara mengarahkan Kertala Sari ke Melaka untuk menuntut bela atas kematian tujuh orang penjuritnya dengan cuba membunuh Ratu Melaka dan Laksamana. Kertala Sari bersemangat waja dan bersedia untuk menjunjung perintah Seri Betara. Kertala Sari telah belayar ke Melaka bersama-sama sepuluh orang pengikutnya.  Kertala Sari menyamar dirinya sebagai orang Jawa untuk  bersama-sama penduduk kampung yang berketurunan Jawa di Melaka. Kertala Sari telah menyamar sebagai orang Patih Kerma Wijaya. Dia telah berjaya mengecam Laksamana yang telah membunuh bapanya. Pada suatu malam, Kertala Sari telah menceroboh rumah seorang saudagar yang kaya. Semua harta benda milik saudagar itu telah disamun dan bini saudagar itu turut dicabul. Pada malam-malam berikutnya, Kertala Sari telah menceroboh rumah saudagar dan orang kaya yang lain. Semua harta benda mereka itu disamun oleh Kertala Sari. Raja Melaka terkejut apabila dikhabarkan tentang kecurian itu. Baginda telah menitahkan Temenggung agar mengerahkan pengawal untuk berkawal bagi menjaga keselamatan rumah-rumah dan kampung.

Pada malam yang berikutnya, Kertala Sari menggunakanilmu saktinya untuk menundukkan para pengawal yang berkawal di rumah orang kaya itu. Habis harta benda orang kaya itu dicurinya dan bini orang kaya itu turut dicabul oleh Kertala Sari. Sekali lagi, Raja Melaka mengarahkan Temenggung memperkukuh barisan pertahanan bagi mengawal negeri Melaka daripada ancaman pencuri. Temenggung telah mengerahkan lima ratus orang pengawal menjaga negeri Melaka. Pada malam berikutnya, rumah Bendahara pula dimasuki pencuri. Laksamana memberitahu Raja bahawa pencuri yang sedang mengganas di Melaka mempunyai kuasa sakti dan berasal dari luar Melaka. Laksamana memohon kebenaran Raja untuk mencuba menangkap pencuri itu. Laksamana memasang lembing, tombak, dan kayu di keliling istana Raja Melaka. Laksamana mencuba mengalihkan perhatian Kertala Sari agar tidak memasuki istana Raja Melaka dengan tipu muslihat itu. Pada waktu malam, Laksamana memakai pakaian serba hitam dan dia ternampak Kertala Sari cuba memasuki istana Raja Melaka. Laksamana menyembunyikan dirinya untuk melihat perkembangan penjahat itu. Pada suatu malam, Kertala Sari cuba memasuki istana itu untuk mencuri dan mengganggu bini raja yang muda-muda itu. Ketika dia sampai di istana, dia terdengar bunyi senjata dan kayu yang dipalu dengan begitu bising. Kertala Sari tidak jadi masuk ke istana Raja Melaka.

Laksamana membuat tipu helah dengan menyamar sebagai penjahat dan berbaring di tengah pasar pada suatu malam. Laksamana berjaya membunuh Kertala Sari dengan menikam dadanya. Selepas membunuh Kertala Sari, Laksamana telah mengambil keris dan memotong alat sulit Kertala Sari sebagai bukti bahawa dialah pembunuh Kertala Sari itu. Orang ramai menghadap Raja Melaka dengan membawa anggota tubuh Kertala Sari dan mengaku bahawa merekalah yang membunuh Kertala Sari. Bendahara Melaka tidak mempercayai dakwaan mereka. Laksamana masuk menghadap Raja Melaka dengan membawa bukti keris dan alat sulit milik Kertala Sari yang telah dipotongnya. Raja Melaka menganugerahinya anugerah atas keberaniannya menewaskan Kertala Sari. Raja Melaka menitahkan Bentara Tun Kasturi mengerahkan rakyat untuk mendapatkan harta yang dicuri dan disembunyikan oleh Kertala Sari di Bukit Cina semula. Raja Melaka mengagihkan segala harta yang diperoleh semula itu kepada tiga bahagian, iaitu dua bahagian diberikan kepada Laksamana dan satu bahagian diserahkan kepada pemilik asal harta yang berkenaan. Semua rakyat bersetuju dengan cadangan raja itu. Laksamana telah mengagihkan pula separuh harta yang diterimanya itu kepada tiga bahagian. Negeri Melaka kembali aman dan sentosa selepas Kertala Sari berjaya dibunuh. Sementara itu, Patih  Gajah Mada mendapat berita tentang kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh Laksamana di Melaka. Patih Gajah Mada berusaha sedaya upaya untuk mencari hulubalang yang mampu membunuh Laksamana dan menawan negeri Melaka itu.

TEMA PROSA TRADISIONAL KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
Kepahlawanan seorang Laksamana yang mempertahankan negara daripada ancaman musuh dan anasir luar.

PERSOALAN PROSA TRADISIONAL KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
  1. Persoalan kegagahan dan kehebatan pahlawan Melayu.
  2. Persoalan kebijaksanaan menggunakan strategi dan akal fikiran untuk menewaskan musuh.
  3. Persoalan taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi terhadap pemerintah
WATAK DAN PERWATAKAN PROSA TRADISIONAL KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
WATAK
PERWATAKAN
Laksamana
Beliau merupakan seorang daripada hulubalang Melaka.
Beliau berjaya menewaskan Kertala Sari dan tujuh orang penjurit termasuklah Petala Bumi.
Seorang yang bijaksana.
Seorang yang berani dan gagah.
Seorang yang digeruni oleh pihak lawan.
Kertala Sari
Seorang hulubalang kerajaan Majapahit.
Bapanya, Petala Bumi telah dibunuh oleh Laksamana.
Seorang yang berani bertindak.
Seorang yang kejam dan ganas.
Seorang yang memiliki ilmu kesaktian.
Seorang yang pendendam.
Seorang yang patuh akan perintah pemerintah.
Raja/Ratu Melaka
Baginda juga dikenal sebagai Tuanku Syah Alam.
Seorang yang adil dan saksama.
Seorang yang mementingkan keharmonian negara.
Seorang yang mengenang jasa hulubalang.
Seorang yang rasional semasa membuat tindakan.

 LATAR PROSA TRADISIONAL KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
LATAR
HURAIAN
LATAR TEMPAT
Majapahit, Rumah Petala Bumi, Bukit Cina, Istana Raja Melaka,di  tengah pasar, Melaka
LATAR MASA
Zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, waktu siang, pagi dan malam.
LATAR MASYARAKAT
Masyarakat Melayu, golongan istana, masyarakat yang ingin menuntut bela, masyarakat yang berani melawan musuh.

NILAI MURNI PROSA TRADISIONAL KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
  1. Kasih sayang
  2. Kegigihan
  3. Ketaatan
PENGAJARAN PROSA TRADISIONAL KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
  1. Kita mestilah bijak menggunakan tipu muslihat untuk menjerat musuh.
  2. Kita mestilah berani menghadapi ancaman musuh.
  3. Kita hendaklah mempunyai sikap taat dan setia terhadap pemerintah tanpa berbelah bahagi.
Kredit: Sasbadi

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)