[Nota Komsas] Analisis Sajak Gelanggang; Antologi Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Cikgu Muzz
oleh -
0


MAKSUD SAJAK SANG GELANGGANG
Rangkap 1
Malaysia ditubuhkan oleh para pemimpin generasi terdahulu kira-kira 50 tahun yang lalu. Negara yang merdeka ini terhasil daripada persepakatan dan perpaduan setiap kaum terdahulu yang akan diwariskan kepada generasi yang seterusnya.

Rangkap 2
Rakyat atau generasi merdeka hari ini merupakan pewaris negara yang lahir daripada pengorbanan dan jerih payah generasi terdahulu. Dengan tertubuhnya Malaysia, kemakmuran tanah air dapat dinikmati bersama-sama. Kita perlu menjaga keharmonian dan kedaulatan negara ini daripada sebarang bentuk ancaman luar dengan penuh tanggungjawab. Hal ini dikatakan demikian kerana telah terbukti bahawa cara ini mampu mewujudkan kesepaduan rakyat yang pelbagai kaum.

Rangkap 3
Para pemimpin generasi kini perlu berani untuk bangkit melawan tuduhan melulu dan propaganda pihak luar untuk mempertahankan kedaulatan negara yang agung ini. Kata-kata nista yang berbaur hasutan untuk menjatuhkan Malaysia perlu kita tentang tanpa tolak ansur. Pihak-pihak tersebut tidak harus mencabar Malaysia kerana tindakan itu hanya akan menyusahkan diri mereka nanti.

Rangkap 4
Penyajak menyeru agar semua warganegara yang taat setia akan negara ini saling mengeratkan tali persaudaraan dengan menghindari persengketaan yang dapat mencetuskan perbalahan antara kaum.

Rangkap 5
Sebagai generasi pelapis, kita bertanggungjawab untuk memikul amanah bagi memastikan negara kita kekal cemerlang pada peringkat dunia demi maruah negara dan jati diri rakyatnya. Kita harus meneruskan kesinambungan Malaysia sebagai negara yang aman dan disanjungi oleh semua pihak. Oleh itu, kita mestilah menghargai dan menanamkan kesetiaan serta perasaan cinta akan negara Malaysia untuk selama-lamanya.

TEMA SAJAK GELANGGANG
Sajak ini bertemakan kepentingan mempertahankan keharmonian dan kedaulatan tanah air melalui sikap toleransi dan perpaduan antara kaum.

PERSOALAN SAJAK GELANGGANG
  1. Kepentingan perpaduan dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum.
  2. Semangat cinta akan negara yang kental dan tidak berbelah bahagi.
  3. Kesepakatan dalam kalangan rakyat.
GAYA BAHASA SAJAK GELANGGANG
  1. Anafora. Contohnya, kita pelihara, kita mempertahankan (rangkap 2 baris 5 dan 6).
  2. Perlambangan atau imejan. Contohnya, pewaris gelanggang.
  3. Perulangan kata. Contohnya, kata gelanggang disebut sebanyak enam kali dalam sajak ini.
KEINDAHAN BUNYI SAJAK GELANGGANG
  1. Asonansi. (perulangan bunyi vokal a). Contohnya, kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah.
  2. Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan s). Contohnya,elakkan pertelingkahan sesama sendiri.
NADA SAJAK SAJAK GELANGGANG
Sajak ini bernada patriotik.

NILAI MURNI SAJAK GELANGGANG
  1. Tanggungjawab.
  2. Kesyukuran.
  3. Ketaatan.
PENGAJARAN SAJAK GELANGGANG
  1. Kita hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman pihak luar.
  2. Kita mestilah berani menangkis segala bentuk propaganda dan tuduhan melulu daripada pihak luar yang cuba mengganggu-gugat kedaulatan negara.
  3. Kita perlulah menghargai pengorbanan dan jasa yang dicurahkan oleh generasi dan para pemimpin terdahulu yang berusaha untuk memerdekakan tanah air daripada penjajah.
Kredit: Sasbadi

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)