Pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama-sama ahli
keluarga untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Jelaskan aktiviti-aktiviti
tersebut. (SPM ULANGAN 2019)
CONTOH PENDAHULUAN KATEGORI CEMERLANG
Keluarga merupakan anugerah terindah kurniaan Tuhan.
Kenyataannya bukan semua insan dikurniakan kesempatan untuk memiliki keluarga.
Justeru, apabila kita mempunyai keluarga, sewajarnya kita hendaklah menghargai
nikmat tersebut. Nabi Muhammad S.A.W sebagai insan contoh bagi umat Islam
sendiri menunjukkan contoh terbaik apabila baginda menghargai orang di
sekeliling baginda dengan mengungkapkan kata-kata persis ‘sahabatku umpama
bintang-bintang’ yang menunjukkan baginda mengangkat tinggi darjat sahabat baginda.
Oleh itu, jelaslah kepentingan buat kita untuk menghargai individu yang hampir
dengan kehidupan kita, apatah lagi seandainya individu tersebut merupakan ahli
keluarga sendiri. Namun, peredaran dunia sains dan teknologi seakan-akan
menjadi musuh dalam selimut yang semakin menghakis dan mengikis tali
silaturahim dalam kalangan ahli keluarga. Maka, timbullah persoalan apakah
langkah yang sewajarnya dipraktikkan dalam usaha merapatkan hubungan
kekeluargaan? Sejujurnya, terdapat banyak perkongsian sama ada menerusi media
cetak mahupun media elektronik yang memaparkan aktiviti-aktiviti yang boleh
dilakukan secara bersama-sama dalam kalangan ahli keluarga sebagai langkah
menyemarakkan keluarga sakinah. Ringkasnya dalam penulisan ini akan saya
bincangkan empat aktiviti yang boleh diamalkan oleh individu dan masyarakat
dalam membina keluarga yang harmoni dan dilimpahi kasih sayang.
CONTOH PERENGGAN PENDAHULUAN KATEGORI
BAIK
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama-sama ahli
keluarga untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Namun pada era hari ini,
istilah ‘Rumahku Syurgaku’ kian terhakis dalam pemikiran masyarakat. Istilah
itu seolah-olah telah hanyut ditelan zaman kerana masyarakat hari ini lebih
menumpukan kepada kerjaya dan berlumba-lumba mengejar kemewahan hidup. Kesan
daripada itu institusi keluarga kian rapuh dan berlaku pelbagai pergaduhan
dalam keluarga. Untuk mengembalikan kegemilangan keluarga, ibu bapa perlu melaksanakan
tanggungjawab dengan bijak menguruskan masa agar hubungan kekeluargaan dapat
diperkukuh dan dipertautkan kembali. Lantas marilah kita membincangkan aktiviti
yang boleh dilakukan bersama-sama ahli keluarga untuk merapatkan hubungan
kekeluargaan supaya mampu mewujudkan keluarga yang bahagia dan sejahtera.
CONTOH PENDAHULUAN KATEGORI SEDERHANA
Keluarga
bahagia ialah keluarga yang sentiasa menjadi dambaan semua individu. Namun,
kesibukan bekerja dan pelbagai urusan harian kehidupan menjadikan hubungan ahli
keluarga menjadi semakin renggang. Seharusnya, ibu bapa perlu memainkan peranan
penting dalam mewujudkan hubungan yang erat dalam kalangan ahli keluarga.
Persoalannya, apakah aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan dalam mengeratkan
hubungan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga?

