Tiga Contoh Isi Karangan Aktiviti Merapatkan Hubungan Kekeluargaan (Cemerlang / Sederhana / Lemah)

Cikgu Muzz
By -
0


Pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama-sama ahli keluarga untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Jelaskan aktiviti-aktiviti tersebut. (SPM ULANGAN 2019)

CONTOH PERENGGAN ISI KATEGORI CEMERLANG

Salah satu aktiviti yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian sebagai wadah untuk mempererat hubungan sesama ahli keluarga ialah dengan menjalankan aktiviti riadah. Hal ini demikian kerana aktiviti riadah yang dijalankan dapat menghimpunkan lebih daripada seorang ahli keluarga pada satu-satu masa dalam melakukan aktiviti yang digemari. Aktiviti riadah boleh dilakukan di kawasan kediaman sendiri dan boleh juga dilakukan jauh dari rumah. Bagi individu yang berkemampuan, aktiviti riadah seperti mendaki bukit dan memanjat gunung merupakan antara aktiviti yang cukup menarik. Biarpun memerlukan perbelanjaan tambahan namun impak aktiviti ini kepada keluarga cukup besar. Selain menguji ketahanan fizikal dan mental, aktiviti mendaki bukit dan memanjat gunung ini boleh mengukuhkan nilai murni dalam kalangan ahli keluarga. Misalnya, nilai positif seperti bantu-membantu, kerjasama, dan tolak ansur dapat disemai dalam kalangan ahli keluarga menerusi aktiviti ini. Seandainya faktor kewangan menjadi halangan untuk melakukan aktiviti riadah di luar kawasan, maka persekitaran rumah juga boleh dijadikan landasan untuk melakukan aktiviti riadah bersama ahli keluarga. Sebagai contoh, permainan tradisional seperti permainan gasing, guli, layang-layang dan batu seremban boleh dijadikan sebagai aktiviti riadah yang boleh dilakukan bersama-sama ahli keluarga pada waktu senggang. Oleh itu, jelaslah bahawa di mana ada kemahuan, di situ akan ada jalan dalam melakukan aktiviti riadah sebaga medium mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Justeru, jelaslah melakukan aktiviti riadah merupakan salah satu pilihan terbaik.


CONTOH PERENGGAN ISI KATEGORI SEDERHANA

Salah satu aktiviti yang boleh diamalkan untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga ialah dengan menjalankan aktiviti riadah. Hal ini demikian kerana aktiviti riadah boleh melibatkan ahli keluarga bersama-sama dalam melakukan akitiviti yang digemari. Sebagai contoh, antara aktiviti riadah yang boleh dilakukan bersama-sama ahli keluarga ialah memancing dan bersukan. Hasilnya hubungan antara ahli keluarga dapat dipererat. Jelaslah aktiviti riadah yang dilakukan dari masa ke masa boleh menjadikan hubungan antara ahli kelurga seperti isi dengan kuku. Ringkasnya, aktiviti riadah boleh menjadi satu aktiviti pilihan dalam mempraktikkan keluarga yang harmoni.

CONTOH PERENGGAN ISI KATEGORI LEMAH

Aktiviti riadah boleh dilakukan sebagai cara mengeratkan hubungan ahli keluarga. Aktiviti riadah boleh dilakukan pada hujung minggu atau waktu lapang. Antara aktiviti riadah yang boleh dilakukan ialah bermain badminton, bermain bola sepak dan bermain sepak takraw. Ringkasnya, aktiviti riadah boleh diamalkan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!