Menulis perenggan kesimpulan merupakan suatu kewajipan apabila menulis
karangan. Sama ada pada peringkat PT3 atau SPM dalam mana-mana karangan yang
ditulis, perenggan kesimpulan adalan suatu kemestian dalam memastikan penulisan
mencapai standard matang.
Namun, kebanyakan murid akan menghadapi masalah untuk menulis perenggan
kesimpulan. Sama ada murid cemerlang atau murid lemah, sama-sama boleh
menghadapi masalah semasa menulis perenggan kesimpulan.
Murid cemerlang akan berusaha menulis dengan panjang seawal perenggan
pendahuluan dan perenggan-perenggan isi. Sekiranya masa tidak dirancang dengan
baik, maka perenggan kesimpulan akan menjadi mangsa, lalu perenggan kesimpulan
ini ditulis ala kadar sekadar memenuhi keperluan. Hakikatnya, pemerengganan
yang tidak seimbang dan perenggan kesimpulan yang kurang matang boleh
menjejaskan keseluruhan markah bagi karangan tersebut.
Sementara itu, bagi murid lemah pula perenggan kesimpulan biasanya akan ‘digoreng’
daripada penyataan dalam arahan soalan. Satu lagi pilihan ialah, murid lemah
akan membuat penegasan dengan menyatakan kembali isi-isi yang telah ditulis
dalam perenggan sebelumnya.
Terdapat empat jenis ayat yang boleh ditulis dalam perenggan kesimpulan
seperti berikut:
- Ayat Pandangan (P)
- Ayat Cadangan (C)
- Ayat Bahasa Indah (Bi)
- Ayat Harapan (H)
Setiap ayat tersebut
boleh ditulis dan dihuraikan mengikut kemampuan, sama ada sekadar satu ayat,
dua ayat atau lebih. Pada perkongsian akan datang, cikgu akan kongsikan teknik
menulis perenggan kesimpulan menggunakan Teknik PCBiH.