Solat Jumaat Dan Telefon Pintar; Pintarkah Kita?

Cikgu Muzz
By -
0



Telefon pintar memang pintar, tetapi adakah kita yang menggunakan telefon pintar itu pintar? Jawapan kepada persoalan ini perlu tepuk dada dan tanya minda diri sendiri. Penulisan ini bukanlah bertujuan mengaibkan sesiapa, jauh sekali hendak melabel seseorang individu itu dengan gelaran yang tidak baik. Siapa yang tidak pernah berbuat khilaf? Semua kita pernah. Sebaik-baiknya belajar daripada kesilapan dan perbaiki diri sendiri.

Berbalik kepada isu telefon pintar, adakah tuan punya telefon pintar? Kita dapat cari jawapan ini ketika berada di dalam masjid. Lama sebenarnya hendak menulis tentang isu ini. Pernah menampal did dinding Facebook, lama dulu. Ketika masuk ke dalam masjid khasnya waktu solat Jumaat. Lepas duduk selesa, ramai dalam kalangan kita kalau tak lena asyik dengan telefon pintar.

Sebentar tadi, dalam keadaan PKPP, bilangan jemaha dalam masjid dicatu, dan ramai juga yang berlalu pergi kerana kuota sudah penuh, yang sempat masuk masih asyik dengan telefon pintar. Seorang anak muda sebelum azan dan khutbah sibuk melihat barangan di Shopee, siap membelek baca komen pembeli. Nampak jelas, tak perlu menghendap. Yang baiknya, azan bermula sampai khutbah habis dan solat bermula, telefon pintarnya langsung tidak disentuh meski terbiar lepas di atas sejadah pada hadapan mata.

Seorang lagi anak muda, berseluar jeans biru, berbaju t hitam. Dari mula masuk duduk atas sejadah, sudah melihat telefon pintar. Husnuzon, mana tahu mentadabur ayat suci lewat aplikasi. Sayangnya tidak, dari sebelum khutbah, ketika khutbah, waima sesudah salam sementara belum berdoa, tangannya tidak lepas menyentuh skrin telefon pintar.

Cikgu sendiri pernah melihat bekas anak murid yang sudah masuk ke universiti tidak lekang dengan telefon pintar ketika khutbah. Hendak menegur ketika khutbah memang tidak boleh. Cikgu bukan alim, tetapi cikgu prihatin. Apabila anak-anak muda dan remaja tidak lepas dengan telefon pintar ketika solat, ini secara tidak langsung memberi refleksi kepada banyak pihak. Tentu sahaja tindakan kita itu akan terpalit kepada ibu bapa yang mengasuh dan mendidik kita sedari kecil. Begitu juga dengan ustaz dan ustazah juga para guru yang sedaya upaya cuba mencorak akhlak dan perilaku di sekolah.

Pesan cikgu, andai kata mampu kawal diri, tidak salah bawa telefon pintar ke masjid. Jika takut terbelek telefon, matikan siap-siap. Jika harapkan panggilan mustahak, masukkan dalam kocek dan jangan usik selagi telefon pintar belum  bergetar tanda panggilan masuk. Jaga diri masing-masing, apatah lagi ketika berada di khalayak ramai. Tingkah laku kita membawa aib ibu bapa kita. Apatah lagi kelakuan kita disaksikan Allah sebagai Tuhan yang menciptakan kita.

Beradabkah menghadap tuan, dalam keadaan menumpang di dalam rumah tuan, dan kita hadirkan kelakuan yang biadab dengan memalingkan wajah dari kiblat kepada telefon pintar, dan kita alihkan pendengaran dan fikiran daripada isi khutbah kepada kandungan telefon pintar yang dilayari? Fikir-fikirkan, sementelah poster tiada panggilan sepenting seruan Ilhai sekian lama sudah menghiasi dinding masjid.

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!