SINOPSIS PROSA
TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA
Kedengaran ke
benua Siam bahawa negeri Melakasebuah negeri yang besar dan tidak ditakluki oleh mana-mana empayar. Raja Siam,
iaitu Paduka Bubunnya pun menyuruh utusan
ke Melaka untuk meminta surat sembah. Sultan Melaka, iaitu Sultan Muzaffar Syah
tidak mahu menyembah raja Siam. Raja
Siam berasa amat marah lalu memerintahkan hulubalangnya, iaitu Awi Cakri untuk
menyerang Melaka. Berita Siam hendak menyerang Melaka telah didengari oleh
Sultan Muzaffar Syah. Lantas, baginda memerintahkan rakyat dihimpunkan di
Melaka. Sehubungan dengan itu, semua rakyat lelaki dibawa berhimpun di Melaka. Bagaimanapun,
Tun Perak telah menghimpunkan orang lelaki dari Kelang bersama-sama dengan
isteri dan anakanak mereka. Tujuannya adalah untuk memastikan mereka berperang dengan
sungguh-sungguh demi isteri dan anak-anak mereka.
Kebijaksanaan Tun Perak
mendapat perhatian Sultan Melaka. Selepas Melaka menang ke atas Siam, Tun Perak
diperintahkan agar menetap di Melaka dan dilantik sebagai bentara. Kemudian,
ada seorang orang Kelang mengadu kepada Sultan Melaka bahawa Tun Perak telah
menganiayai dirinya. Sultan Melaka pun memerintahkan Tun Perak supaya menghadap
baginda. Tun Perak menyatakan bahawa dia tahu akan tanggungjawabnya untuk
menjaga negeri Melaka. Tun Perak mahu dia dipecat lebih dahulu sekiranya dia
ingin dicerca disebabkan orang yang mengadu
hal tersebut. Kata-kata Tun Perak itu memikat hati Sultan Melaka. Tun Perak
dilantik sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja. Tun Perak duduk setara
dengan Seri Nara Diraja di seri balai. Sementara itu, orang Melayu pun
terbahagi kepada dua kumpulan. Sebahagiannya mengikut Paduka Raja dan sebahagian
lagi mengikut Seri Nara Diraja. Kedua-dua pembesar ini tidak bermuafakat dan
sering berselisih faham. Sultan Melaka berasa dukacita kerana sikap kedua-dua pembesar
itu akan membinasakan negeri Melaka. Baginda bercadang untuk mendamaikan Tun
Perak dengan Seri Nara Diraja. Oleh hal yang demikian, Seri Nara Diraja telah
dikahwinkan dengan Tun Kudu, iaitu anak Bendahara Seri Wak Raja yang bersaudara
pula dengan Paduka Raja. Tun Kudu ialah isteri Sultan Melaka tetapi telah
diceraikan oleh baginda. Tun Kudu dipelihara oleh Paduka Raja. Segala perbelanjaannya
ditanggung oleh Sultan Melaka.
Setelah Seri Nara Diraja berkahwin dengan Tun
Kudu, Seri Nara Diraja telah berbaik-baik dengan Paduka Raja. Malah Seri Nara
Diraja memberikan sokongannya terhadap Paduka Raja untuk dilantik sebagai
bendahara. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja setara dengan Patih Aria Gajah Mada
di Majapahit dan Orang Kaya Kanayan di Pasai. Seri Nara Diraja pula menjadi
penghulu bendahari di Melaka. Setelah beberapa lama kemudian, orang Siam, iaitu
di bawah panglima Awi Dicu mahu menyerang Melaka lagi. Sultan Melaka memerintahkan
Bendahara Paduka Raja agar bersiap sedia untuk menentang orang Siam. Seri Bija Diraja
turut diperintahkan membantu Bendahara Paduka Raja untuk mengusir orang Siam
yang telah menghampiri Batu Pahat. Bendahara Paduka Raja telah memerintah Tun Umar
supaya menaiki perahu untuk memeriksa perahu Siam. Tun Umar yang berani itu
telah melanggar beberapa buah perahu Siam sehingga mereka kalah. Tindakan Tun Umar
membuatkan orang Siam berasa sungguh hairan. Setelah hari malam, Bendahara
Paduka Raja mengarahkan agar pohon-pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api
dibakar. Tindakan tersebut telah dilihat oleh orang Siam. Hulubalangnya
berpendapat bahawa kelengkapan Melaka sungguh banyak. Dengan itu, orang Siam menjadi
takut dan tidak jadi berperang lalu kembali ke Siam. Di Melaka, Sultan Muzaffar
Syah telah meraikan tenteranya dengan memberikan persalinan yang muliamulia.
Sebaliknya di
Siam pula, Paduka Bubunnya berasa terlalu marah. Lantas baginda sendiri ingin menyerang
Melaka. Sebaliknya, Cau Pandan, iatu anak Paduka Bubunnya mahu dia diperlengkapkan
untuk mengalahkan Melaka. Paduka Bubunnya berasa sangat gembira dan mengarahkan
anaknya itu diperlengkapkan dengan Pra Kelong lapan ratus sum dan perahu perahu
kecil yang tidak terbilang banyaknya. Khabar tentang tentera Siam yang dipimpin
oleh Cau Pandan akan menyerang telah kedengaran di Melaka. Namun begitu, Tuan Sidi
Arab yang menetap di Melaka dan pandai bermain panah lasykar telah menghalakan panahnya
ke benua Siam sambil melaungkan kata-kata bahawa Cau Pandan akan mati. Sultan
Muzaffar Syah mengatakan bahawa Tuan Sidi Arab itu benar-benar warak sekiranya
Cau Pandan betul-betul mati. Di benua Siam pula, Cau Pandan berasa dadanya seperti
terkena panah. Cau Pandan jatuh sakit dan muntah darah lalu mati. Oleh hal yang
demikian, rancangan Siam untuk menyerang Melaka tidak diteruskan. Kematian Cau Pandan
telah tersebar ke Melaka. Sultan Muzaffar Syah yang mendengar khabar tersebut
mengakui Tuan Sidi Arab seorang yang warak, lalu memberikan pujian dan anugerah
kepada beliau. Selepas 42 tahun menaiki takhta, akhirnya Sultan Muzaffar Syah
pun mangkat. Takhta Melaka telah digantikan oleh anakanda baginda, iaitu Raja
Abdullah. Baginda digelar Sultan Mansur Syah. Usia baginda sewaktu menaiki
takhta itu ialah 27 tahun. Sultan Mansur Syah seorang yang kacak, adil, dan
pemurah. Baginda telah berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam, iaitu anak Seri
Nara Diraja.
TEMA PROSA
TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA
Tema prosa tradisional “Burung Terbang Dipipiskan
Lada” ialah kebijaksanaan seorang raja dalam menyelesaikan kemelutyang berlaku
dalam kalangan pembesar negeri.
PERSOALAN
PROSA TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA
- Kebijaksanaan menggunakan akal fikiran dalam menyusun strategi untuk menyelesaikan masalah.
- Perpecahan dalam kalangan pembesar yang akan mengancam keselamatan negara.
- Kepentingan ilmu dalam kehidupan.
WATAK DAN
PERWATAKAN PROSA TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA
- Tun Perak – Pembesar Melaka yang menjaga daerah Kelang, dinaikkan pangkat daripada pembesar Kelang kepada Paduka Raja, sangat berpengaruh dan bijak dalam strategi perang.
- Sultan Muzaffar Syah – Bijaksana, prihatin, mementingkan keharmonian Melaka, tidak terburu-buru dalam bertindak, memerintah Melaka selama 42 tahun.
- Seri Nara Diraja – Penghulu bendahari di Melaka, sudah tua hinggakan bulu kening dan bulu matanya telah bercantun, berkahwin dengan Tun Kudu.
LATAR PROSA
TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA
- Latar tempat – Melaka, Muar, Batu Pahat, Kelang, Siam, Istana Siam, Seri Balai.
- Latar masa – Zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, zaman Tun Perak menjadi Bendahara Melaka.
- Latar masyarakat – Masyarakat yang mengamalkan ilmu, masyarakat yang tidak bersatu hati, masyarakat yang bijaksana.
GAYA BAHASA
PROSA TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA
- Simile. Contoh: seperti dewal orang berzikir; dadanya seperti kena panah.
- Hiperbola. Contoh: Tun Hamzah namanya, asalnya daripada Muntah Lembu;
seorang pun raja-raja di dalam alam ini tiada sepertinya pada zaman itu.
- Bahasa Melayu klasik. Contoh: terpermanai lagi; kemakanan matanya.
- Bahasa istana. Contoh: baginda;
titah; tuanku; mangkat.
- Bahasa Arab. Contoh: idah; ditalak; keramat.
NILAI PROSA
TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA
- Kebijaksanaan - Contohnya, Tun Perak bijaksana dalam menghadapi ancaman Siam ke atas negeri Melaka. Beliau mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar. Tindakan beliau ini telah menggerunkan tentera Siam sehingga menyebabkan mereka kembali ke Siam semula.
- Keikhlasan - Contohnya, Seri Nara Diraja dengan ikhlas hati menyokong pelantikan Paduka Raja sebagai Bendahara Melaka.
- Keberanian - Contohnya, Tun Perak bersama-sama dengan tentera Melaka berani menentang tentera Siam yang dipimpin oleh Awi Cakri dan Awi Dicu sehingga kedua-dua gerombolan tentera musuh dapat dikalahkan.
PENGAJARAN
PROSA TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA
- Kita mestilah berani menghadapi ancaman musuh negara.
- Kita hendaklah ikhlas semasa melakukan sesuatu tindakan.
- Kita haruslah bersatu padu untuk menikmati kehidupan yang harmoni.
Kredit: Sasbadi