MAKSUD SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU
Baginda menitahkan orang besar empat,
Membuat istana puri berkota;
Lalu dipanggil Pawang Raja.
Pawang mengerah orang bekerja,
Empat puluh empat tukang dan utas,
Siang malam tidak berhenti.
|
Rangkap 1
Raja menitahkan orang besar berempat supaya membina
sebuah istana yang dikelilingi parit dan tembok. Keempat-empat orang besar
yang setia dan taat terhadap perintah raja itu pun memanggil Pawang Raja.
Kemudian, Pawang Raja telah mengerahkan empat puluh empat orang tukang yang
mahir bekerja siang dan malam untuk menyiapkan sebuah istana.
|
Tujuh bulan tujuh purnama,
Istana siap dengan alatnya;
Besar tersergam sembilan ruang,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.
|
Rangkap 2
Setelah mengambil masa selama tujuh bulan dan tujuh
purnama, akhirnya istana yang dilengkapi dengan segala kemudahan itu siap
dibina. Istana yang besar tersergam itu mempunyai sembilan ruang utama,
sepuluh rembat guntung, sebelas pancung serong, dan dua belas anjung tinggi.
|
Tiga sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharaja lela,
Tiang tengah syukur menanti;
Galang-galangnya ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Kasau lentik helang berbega.
|
Rangkap 3
Istana yang dibina itu juga mempunyai tiga sudut
yang menempatkan lapan orang menteri. Sudut itu mempunyai reka
bentuk dan seni ukiran yang amat unik buatannya, iaitu bertiang panjang
maharaja lela dan bertiang tengah syukur menanti. Selain itu, galang-galang
istana bermotifkan ular berang, kasau kecil bermotifkan puteri menyembah, dan
kasau lentik bermotifkan helang terbang.
|
Berbunga sawa mengelempai,
Bertakuk bersedelinggam,
Berjenang berbatu kawi,
Berselimpat ukir Jawa,
Lilit-melilit akar Cina;
Garam sebuku sisa jeragan,
Bunga kenanga dimakan ular,
Layang-layang di pintu Raja.
|
Rangkap 4
Keunikan seni ukiran dinding istana itu terletak
pada corak hiasan dindingnya yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan berbunga dan
unsur semula jadi. Ukiran seni bina Jawa dan Cina turut digunakan di samping
motif haiwan dan tumbuh-tumbuhan seperti ular, layang-layang, dan sebuku
garam.
|
Istana siap tukang pun mati,
Tiada orang dapat meniru:
Dipersembahkan kepada baginda suami isteri.
|
Rangkap 5
Setelah istana itu siap dibina, semua tukang yang
ditugaskan membina istana itu telah dibunuh agar tiada seorang pun tukang
yang lain dapat meniru kehalusan corak dan keunikan seni bina istana
tersebut. Istana baharu yang tersergam indah itupun dipersembahkan kepada
raja dan permaisuri.
|
TEMA SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU
Seloka "Berbuat Istana Zaman Dahulu"
bertemakan sindiran terhadap pemerintah yang mengutamakan kepentingan diri
untuk kegemilangan peribadi sehingga sanggup mengorbankan nyawa rakyat bagi
memenuhi kehendak dan cita-cita.
PERSOALAN SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU
- Kesetiaan tidak berbelah bahagi oleh rakyat kepada pemerintah
- Kegigihan dalam melakukan tugas
- Kehalusan seni ukiran dan keunikan seni bina
BENTUK SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU
- Terdiri daripada lima rangkap.
- Bilangan baris dalam rangkap tidak sama.
- Setiap baris mengandungi dua hingga enam patah perkataan.
GAYA BAHASA SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU
- Metafora: Anjung Tinggi
- Personifikasi: Tiang tengah syukur menanti; Lilit-melilit akar Cina
- Responsi: Sepuluh dengan rembat guntung, Sebelas dengan pancung serong, Dua belas dengan anjung tinggi.
NILAI SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU
- Kebijaksanaan
- Kerajinan
- ketaatan
PENGAJARAN SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU
- Kita seharusnya taat akan perintah pemimpin atau ketua negara demi kesejahteraan negara.
- Kita haruslah mengamalkan sikap kerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
- Kita hendaklah rajin bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan pekerjaan yang dilakukan membuahkan hasil.