SINOPSIS CERPEN GERHANA MANUSIA
Profesor Doktor Juaidi cuba mempengaruhi kakitangannya agar memastikan semua pek darah yang ada di hospital diberikan kepada Tuan Besar Musa. Nusia, iaitu jururawat di wad Unit Rawatan Rapi ditugaskan untuk memberikan rawatan kepada Tuan Besar Musa yang sedang koma dan semakin tenat akibat pengambilan minuman keras selama bertahun-tahun. Nusia memberitahu Doktor Murni bahawa bank darah sudah kehabisan stok tabung darah. Doktor Murni mengarahkan Nusia agar menghebahkan masalah itu kepada pihak media dengan harapan ada insan yang mahu menderma darahnya kepada Tuan Besar Musa.
Nusia merasakan bahawa Tuan Besar Musa tidak mampu diselamatkan lagi kerana beliau cuma bergantung pada alat sokongan hayat. Bagi Nusia, dalam keadaan kritikal tersebut, bacaan surah Yasin dan pengucapan Syahadah lebih diperlukan. Nusia turut mempersoalkan waris Tuan Besar Musa yang tidak menjenguknya di hospital. Doktor Murni menyatakan bahawa Profesor Doktor Juaidi mahu Tuan Besar Musa hidup. Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi kerana harapan Tuan Besar Musa untuk hidup adalah terlalu nipis.
Nusia beranggapan bahawa arahan Profesor Doktor Juaidi supaya dia memasukkan darah ke dalam tubuh Tuan Besar Musa itu suatu pembaziran. Doktor Murni meminta Nusia agar tidak terlalu beremosi dan menurut sahaja arahan itu. Di wad Unit Rawatan Rapi terdapat pesakit-pesakit lain yang sedang koma dan menunggu bantuan darah untuk membolehkan mereka kembali sihat. Antaranya, Solehah yang tenat dan koma akibat pundi janinnya yang pecah di ovari. Al-Hafiz pula ditimpa kemalangan kereta. Di wad Unit Rawatan Rapi itu juga terdapat bayi buangan yang hampir kekeringan darah, gadis malang yang koma dan tenat akibat didera, serta mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia. Nusia mengatakan selagi riwayat hidup pesakit di wad itu ditentukan oleh Profesor Doktor Juaidi, maka selama itulah akan berlaku ketidakadilan dalam proses rawatan di situ.
Profesor Doktor Juaidi mengarahkan Doktor Murni mendapatkan sepuluh pek darah di hospital lain dengan segera setelah diberitahu bahawa bank darah di hospital sudah kehabisan. Profesor Doktor Juaidi memberitahu Nusia bahawa Tuan Besar Musa merupakan tokoh korporat dan teknokrat yang banyak menyumbangkan dana kepada kelab elit hospital itu. Sifat dermawannya yang telah menaja majlis makan malam tahunan yang bernilai beratus-ratus ribu menyebabkan Profesor Doktor Juaidi berasa amat terhutang budi dan mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawanya.
Nusia memberitahu Profesor Doktor Juaidi bahawa tekanan darah Solehah semakin rendah. Profesor Doktor Juaidi menyuruh Nusia memberikan gelafundin bagi menggantikan darah disebabkan bekalan darah tidak mencukupi. Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi yang enggan memberikan darah tulen kepada Solehah. Profesor Doktor Juaidi menyoal Nusia tentang status perempuan yang sedang koma itu jika dibandingkan dengan Tuan Besar Musa. Akhirnya Nusia akur akan arahan Profesor Doktor Juaidi. Dia mengambil sebotol gelafundin lalu dimasukkan ke dalam tubuh Solehah yang sedang koma untuk menggantikan darah.
Nusia meluahkan rasa kesalnya kepada Doktor Murni mengenai pek-pek darah dalam bank darah di hospital itu adalah kepunyaan kelab yang boleh dijual. Doktor Murni memujuk Nusia supaya tidak terlalu emosional kerana mereka ialah golongan minoriti di hospital itu.
Nusia mengatakan bahawa berlakunya pembaziran darah apabila seratus pek darah diperlukan selama dua hari untuk menyelamatkan Tuan Besar Musa. Walhal, hanya empat pek darah diperlukan untuk menyelamatkan mahasiswa yang berpenyakit leukemia itu dan setengah pek darah diperlukan untuk menghidupkan bayi buangan yang sedang koma. Nusia memberitahu juruteknik makmal darah bahawa hanya lima pek darah diperlukan untuk memberikan peluang kepada empat orang yang sedang koma pulih kembali. Nusia mengatakan bahawa juruteknik makmal itu akan menjadi pembunuh jika dia enggan melepaskan pek-pek darah tersebut. Juruteknik makmal darah itu menegaskan bahawa darah itu adalah untuk kegunaan Tuan Besar Musa.
Nusia menjelaskan bahawa Tuan Besar Musa sebenarnya sudah mati. Denyutan jantungnya ketika itu hanya dirangsangkan oleh adrenalina, dopamin, dan atropina. Juruteknik makmal darah itu akhirnya termakan pujukan Nusia dan menyerahkan lima pek darah sejuk itu
kepadanya. Nusia menjelaskan kepada juruteknik makmal darah itu bahawa dia sanggup menanggung segala risiko dan herdikan atas tindakannya itu. Nusia berasa bahawa bantuan darah-darah itu mampu menyelamatkan Solehah, mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia, dan menyembuhkan al-Hafiz yang boleh mengajar beratus-ratus tahfiz kecil. Bagi Nusia, sekiranya lima pek darah itu dimasukkan ke dalam tubuh Tuan Besar Musa, nilai pembaziran yang amat besar dilakukan oleh Profesor Doktor Juaidi. Profesor Doktor Juaidi pula berusaha menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa dengan meningkatkan kadar penggunaan adrenalina, dopamin, dan atropina. Namun begitu, Tuan Besar Musa gagal diselamatkan dan meninggal dunia.
Profesor Doktor Juaidi berasa tertekan kerana kematiannya menyebabkan kelab elit mereka akan kehilangan tajaan sebanyak RM100 ribu. Doktor Murni menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai doktor perubatan di hospital itu yang mengetepikan nilai-nilai kemanusiaan terhadap pesakit. Keadaan tersebut menyebabkan Profesor Doktor Juaidi tercengang dengan keputusan Doktor Murni. Kemudian, Doktor Murni menggapai tangan Nusia dan mengajaknya ke bank darah supaya mereka dapat menderma darah untuk disalurkan kepada semua pesakit yang sedang koma di wad Unit Rawatan Rapi itu.
TEMA CERPEN GERHANA MANUSIA
Cerpen “Gerhana Manusia” bertemakan sikap mementingkan ganjaran material ketika merawat pesakit sehingga membatasi nilai kemanusiaan.
PERSOALAN CERPEN CERPEN GERHANA MANUSIA
- Pengabaian nilai kemanusiaan akibat ganjaran material.
- Ketabahan pesakit melawan penyakit yang dihadapi.
- Perasaan belas simpati sesama manusia.
- Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah.
WATAK DAN PERWATAKAN CERPEN GERHANA MANUSIA
- Nusia - Jururawat yang bertugas di wad Unit Rawatan Rapi di
- sebuah hospital. Akur akan perintah ketua. Bersifat penyayang Mengambil berat terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya. Jururawat yang bertanggungjawab. Mudah bersimpati dan berhati mulia. Pandai memujuk.
- Doktor Murni - Pegawai perubatan muda di sebuah hospital. Merawat pesakit di wad Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital. Mementingkan aspek kemanusiaan pesakit. Prihatin dan bertanggungjawab.
- Profesor Doktor Juaidi - Pegawai perubatan senior di sebuah hospital. Ketua jabatan kepada Doktor Murni dan Nusia. Sudah berumur, bermata bulat, dan berkening lebat. Lebih mengutamakan ganjaran material daripada nilai-nilai kemanusiaan.
- Tuan Besar Musa - Ahli korporat dan teknokrat yang memiliki gedung perniagaan yang besar. Bersifat dermawan. Suami kepada wanita jelita yang tidak setia. Berperut buncit. Mengambil minuman keras selama bertahun-tahun.
LATAR CERPEN GERHANA MANUSIA
- Latar Tempat - Wad Unit Rawatan Rapi, bank darah, hospital.
- Latar Masa - Dua hari, h ari ini, hari semalam/kelmarin.
- Latar Masyarakat - Masyarakat yang amat bersimpati atau prihatin terhadap pesakit, masyarakat yang tidak berperikemanusiaan terhadap kesihatan pesakit, masyarakat yang hanya mementingkan ganjaran material semata-mata.
GAYA BAHASA CERPEN GERHANA MANUSIA
- Personifikasi - Renungan mata Doktor Murni menikam anak mataku; Tajam mata liar garangnyamenangkap wajah lembut Doktor Murni.
- Simile - Firasat itu umpama mimpi barangkali; memancut bagai paip bocor.
- Simpulan bahasa - Nyawa-nyawa ikan; kurangajar; lintah darat.
NILAI CERPEN GERHANA MANUSIA
- Bertanggungjawab
- Kasih sayang
- Kebijaksanaan
PENGAJARAN CERPEN GERHANA MANUSIA
- Kita mestilah bersifat penyayang sesama insan tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.
- Kita hendaklah bersimpati terhadap orang yang bernasib malang.
- Kita perlu bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberi.