[Nota Komsas] Analisis Cerpen Hipertensi; Antologi Sejadah Rindu

Cikgu Muzz
oleh -
3 minute read
0


SINOPSIS CERPEN HIPERTENSI

Aiman berehat di rumah banglo keluarganya yang terletak di lereng bukit yang sudah gondol akibat kerjakerja penerokaan dan pembangunan tanah. Kemudian, cerita berkisar tentang peristiwa masa lalu yang ditempuhi sepanjang perjalanan hidup Aiman. Aiman teringat tentang Teori Graviti yang dicetuskan oleh Isaac Newton, saintis berbangsa Inggeris. Dalam sesi pengajaran subjek Sains pula, berlaku perdebatan idea antara Aiman dengan Cikgu Faridah sehingga suasana di dalam kelas itu menjadi riuh. Cikgu Faridah menggelarkan Aiman sebagai profesor disebabkan kepintarannya dan mempunyai daya berfikir yang tinggi. Dia juga lebih matang berbanding dengan rakannya yang lain.

Aiman teringat akan kisahnya sebagai anak sulung. Dia mempunyai dua orang adik perempuan, iaitu Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah. Ketika di rumah, Aiman selalu menyindir adik-adiknya yang kurang bijak menyelesaikan masalah matematik. Ketika menuntut di sekolah rendah, Aiman teringat perbuatannya yang selalu ponteng sekolah akibat berasa bosan dan jelak dengan silibus sekolah rendah yang dikatakan tidak setanding dengan daya pemikirannya yang cerdik pada waktu itu. Disebabkan Aiman dikurniakan daya berfikir yang tinggi, dia gemar menyakat kawan-kawannya yang agak lambat menyelesaikan latihan terutamanya mata pelajaran Matematik.

Perbuatannya yang suka menyakat kawan-kawannya dan merayau di dalam kelas itu menyebabkan Aiman selalu ditegur oleh guru kelasnya.  Beliau melaporkan perkara itu kepada ibu bapa Aiman. Bapa Aiman telah merotan Aiman pada bahagian pinggul sehingga lebam.Aiman ponteng kelas kerana lebam pada pinggulnya masih belum hilang. Kesempatan itu digunakan oleh Aiman untuk berhalusinasi tentang dunia penerokaan sains angkasa lepas. Dalam imaginasinya itu, usia sedia adanya waktu itu ditambah sepuluh tahun. Sebatang pohon nyiur dara di penjuru banglonya diandaikan sebagai tempat berlepas ke angkasa dan sebuah kapal angkasa Soyuz.

Sikap peliknya terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas dengan menjadikan pohon kelapa dara sebagai lokasi imaginasi telah diketahui oleh ibu bapanya. Kesudahannya, pinggul Aiman dirotan oleh bapanya lagi. Ibunya hanya mampu memprotes tindakan bapanya itu di dalam hati. Aiman semakin galak membayangkan dirinya sebagai angkasawan yang telah diberi peluang mengikuti latihan intensif di bawah program aeroangkasa bersama dengan pihak Rusia. Aiman membayangkan dirinya sebagai angkasawan yang akan mendarat di bulan dengan menaiki kapal angkasa Soyuz dari Stesen Angkasa Antarabangsa.

Aiman berpendapat bahawa dia perlu membuat kajian saintifik di Stesen Angkasa Antarabangsa itu terlebih dahulu sebelum dia meneroka bulan. Seterusnya, daya imaginasi Aiman semakin meluas apabila dia membayangkan dirinya  berada di ruang udarakasa bulan tanpa udara. Dengan berpakaian lengkap sebagai angkasawan, dia dapat melihat ciri-ciri fizikal dan keadaan bulan yang sebenarnya. Setelah Aiman meningkat remaja, daya imaginasinya terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas itu masih kuat. Keadaan tersebut menyebabkan bapanya yang tegas dan kasar itu sering kali menampar Aiman yang kuat berangan-angan sehingga menyebabkan dia menjadi gagap.

Bagi mengatasi masalah Aiman yang gagap dalam pertuturan, ibu bapa Aiman telah membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi. Aiman terdengar suara ghaib yang mengajaknya agar berpijak di bumi yang nyata, iaitu melihat dirinya sendiri dalam kehidupan yang realiti dan lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Aiman beranggapan bahawa ibu bapanya tidak perlu membawanya untuk mengikuti latihan intensif dan latihan terapi itu. Akhirnya, Aiman sedar akan kesilapannya yang terlalu jauh berimaginasi lalu memanjatkan doa dan harapannya ke hadrat Ilahi.

TEMA CERPEN HIPERTENSI

Cerpen “Hipertensi” bertemakan keinginan yang tinggi dalam bidang sains angkasa sehingga menyebabkan Aiman Aqil membayangkan dirinya berada dalam suasana di angkasa.

PERSOALAN CERPEN HIPERTENSI

  1. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya.
  2. Kebijaksanaan dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
  3. Rasional dalam membuat sebarang keputusan atau tindakan.

WATAK DAN PERWATAKAN CERPEN HIPERTENSI

  1. Aiman Aqil - Berwajah agak cengkung dan memiliki jari-jemari tangan  yang kurus runcing. Anak sulung dan mempunyai dua orang adik perempuan. Gagap, iaitu mulutnya ternganga lebar dahulu sebelum keluar kata-kata. Menyimpan angan-angan untuk menjadi angkasawan seperti Neil Armstrong. Gemar menyakat orang lain. Suka memberontak dan marah-marah.
  2. Bapa Aiman - Bapa kepada Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah. Bertugas sebagai jurutera mekanikal. Dipanggil dengan gelaran “babah” oleh Aiman dan anak-anaknya. Bertanggungjawab membesarkan tiga orang anaknya di sebuah rumah. Pembengis dan garang. Bapa yang penyayang.Berusaha merawat masalah kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan terapi.
  3. Ibu Aiman - Ibu kepada tiga orang anak, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah. Saintis dalam bidang geologi. Bersifat penyayang. Isteri yang taat dan patuh akan suami. Tetap bersabar dengan sikap garang suaminya dalam  mendidik anak-anak.

LATAR CERPEN HIPERTENSI

  1. Latar tempat – sekolah, rumah banglo Aiman, pohon kelapa dara penjuru banglo.
  2. Latar masa – waktu pagi, zaman sekolah rendah, zaman remaja.
  3. Latar masyarakat – masyarakat yang bercita-cita tinggi, masyarakat yang bijak dalam pelajaran,  masyarakat yang bekerja sebagai pendidik.

GAYA BAHASA CERPEN HIPERTENSI

  1. Metafaora – dedaun kemaafan , tasik hati.
  2. Personifikasi – Sang suri memuncaki ubun-ubun, keriangan sudah tercantas.

NILAI CERPEN HIPERTENSI

  1. Kebijaksanaan
  2. Kasih-sayang
  3. Kesabaran

PENGAJARAN CERPEN HIPERTENSI

  1. Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga kita.
  2. Kita haruslah bertindak bijak dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
  3. Kita perlulah rasional dalam melakukan sesuatu tindakan.
Kredit: Sasbadi

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)