Penyediaan item pentaksiran perlu menjalani proses JSU dan JSI agar soalan-soalan yang disediakan mencakupi pelbagai aras kemahiran berfikir dan seimbang antara tahap kesukaran soalan sama ada tahap rendah, tahap sederhana atau tahap tinggi.
Selepas pentaksiran, kertas jawaban murid yang telah disemak perlu disemak sekali lagi mengikut item yang terdapat dalam kertas soalan. Analisis kali ini ialah untuk melihat beberapa aspek:
- Bilangan murid yang mendapat markah penuh.
- Bilangan murid yang mendapat markah sebahagian.
- Bilangan murid yang mendapat markah sifar.
- Bilangan murid yang tidak menjawab langsung.
- Bilangan murid yang tidak hadir.
Hasil analisis di atas, guru boleh membuat kesimpulan tentang soalan-soalan yang sukar dan merancang pelan intervensi untuk membantu murid. Sebagai contoh, pelan intervensi untuk membantu murid yang langsung tidak menjawab soalan-soalan tertentu boleh dimulakan dengan mengetahui sebab utama murid tidak menjawab. Kemudian, latihan khusus atau teknik menjawab berbentuk bimbingan boleh disediakan kepada murid ini untuk membina keyakinan dalam diri mereka dalam menjawab soalan. Biasanya pada peringkat menengah rendah dan menengah atas, kebanyakan murid tidak menjawab soalan peribahasa, soalan rangkai kata bersinonim, dan soalan-soalan berkaitan aspek KOMSAS.
Justeru, saya kongsikan ilmu analisis item yang diperoleh daripada pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang beberapa tahun dahulu di sini, agar kita dapat memanfaatkannya bersama-sama. Format ringkas menggunakan Microsoft Word digunakan untuk memudahkan guru-guru, mengedit mengikut keperluaan masing-masing.
Semoga
membantu, dan jangan lupa kongsi, serta sebar luas informasi tentang kewujudan
blog ini kepada guru-guru Bahasa Melayu di luar sana. Sama-sama kita jaga kita
dalam memartabatkan mata pelajaran Bahasa Melayu di negara kita!