Dahlia sedang berlatih bola jaring bersama-sama dengan rakan-rakannya di padang sekolah. Ketika itu, Dahlia teringat akan emaknya, Saleha yang bersikap pelik sejak akhir-akhir ini. Beliau bercakap sendirian di bawah pokok getah dan merayau tidak tentu arah apabila menjelangnya waktu senja.
Azhari menemui Dahlia di kantin sekolah. Dia bertanyakan khabar Dahlia, persediaan Dahlia untuk menghadapi peperiksaan STPM, dan menyatakan hajatnya untuk membawa keluarganya ke rumah Dahlia untuk membincangkan hubungan mereka secara serius. Dahlia menyatakan pendiriannya kepada Azhari bahawa keutamaannya adalah untuk memberikan perhatian terhadap pelajaran dan membantu keluarganya terlebih dahulu berbanding dengan memikirkan soal perkahwinan.
Azhari menghantar Dahlia pulang ke rumahnya. Kepulangan Dahlia disambut dengan sindiran daripada jirannya, Aton dan tangisan adik bongsunya, Anggerik. Tindakan Dahlia yang berusaha memujuk dan membawa emaknya yang mengalami masalah kemurungan dengan bercakap sendirian dan sesekali ketawa di kebun getah balik ke rumah menemukan kegagalan.
Sementara itu, Nek Kiah meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap menantunya, Embong yang dikatakan menjadi punca nasib malang Saleha sejak mereka berkahwin hingga mempunyai enam orang anak. Saleha yang mengalami penyakit kemurungan terpaksa dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk men- jalani rawatan pemulihan. Embong meluahkan masalahnya kepada Dahlia tentang kesukarannya untuk memetik buah kelapa sawit di kebun Haji Sulaiman di kampong sebelah kerana tiada orang untuk menjaga Anggerik. Embong memarahi anaknya, Abu Bakar kerana menjadi gelandangan selama tiga hari. Oleh sebab berasa takut Abu Bakar kembali melarikan diri dalam kepekatan malam.
Dahlia tiba di Hospital Batu Pahat untuk melawat emaknya. Namun begitu, Haji Sulaiman memaklumkan bahawa emaknya telah dipindahkan ke Hospital Permai di Johor Bahru, Johor. Dahlia memutuskan untuk tidak hadir ke sekolah kerana Anggerik demam panas. Dahlia juga berusaha untuk menyelamatkan Said yang tenggelam di dasar sungai tetapi menemukan kegagalan. Sebaliknya, Aton menuduh Embong sebagai perancang kematian anak tunggalnya, Said. Dahlia pula dikatakan pembunuh anaknya sehingga sesetengah penduduk kampung yang tidak tahu akan cerita sebenar turut terpengaruh oleh cerita palsu Aton.
Dahlia membawa Anggerik ke klinik dengan bantuan Najib dan Kavita. Sementara itu, Seman memfitnah adik iparnya, iaitu Embong kepada ibunya, Nek Kiah yang dikatakan menjadi punca Saleha menjadi gila. Seman memujuk emaknya agar menjual tanah pusaka termasuk tapak rumah Embong. Dahlia melawat emaknya di Hospital Permai, Johor Bahru. Secara tidak sengaja, dia berjumpa dengan Najib yang bertugas di hospital itu sebagai pekerja sementara. Embong pula mendapati dua ekor kambingnya telah dicuri.
Pelbagai peristiwa berlaku kepada Dahlia sekeluarga. Antaranya,
keluarga Azhari ke rumah Dahlia untuk merisiknya. Embong dipatuk oleh seekor
ular tedung sewaktu berada di bilik mandi dan terpaksa ditahan di wad lelaki,
Hospital Batu Pahat selama seminggu. Nek
Kiah pula memberitahu Dahlia bahawa tanah tapak rumahnya akan dijual. Kedatangan Najib dan Azhari secara kebetulan ke rumah Dahlia telah menyebabkan neneknya beranggapan bahawa dia ialah perempuan yang tidak baik. Akibat dendam yang membara, Aton semakin galak menyindir dan memfitnah Dahlia sebagai perempuan yang rendah akhlak semasa mereka bersama-sama menyediakan hidangan untuk Majlis Maulidur Rasul peringkat Kampung Parit Haji Rais. Kata-kata fitnah Aton itu telah mengundang rasa marah Abu Bakar. Abu Bakar cuba menyerang Aton tetapi berjaya dihalang oleh Haji Sulaiman. Ketika di rumah, Abu Bakar memujuk kakaknya yang sedang menangis dan bersedih atas tohmahan dan fitnah Aton itu. Abu Bakar juga mengakui kesalahannya yang mencuri dan menjual kambing milik ayahnya.
Ketika mengemas bawah rumah, Abu Bakar telah menemukan dua biji telur ayam berwarna hitam dan berbau busuk. Telur itu mengandungi pelbagai bahan untuk tujuan sihir dan khianat kepada keluarganya. Dahlia meminta Abu Bakar membuang telur-telur ayam itu ke dalam sungai. Dahlia ke rumah Nek Kiah dan mendapati neneknya terbaring kesakitan. Dahlia cuba membantu neneknya tetapi dihalau dengan alasan tidak mahu rumahnya didatangi sial.
Rakan-rakan Dahlia dan Cikgu Hisyam gembira apabila Dahlia hadir ke sekolah semula. Sekembalinya dari sekolah, Dahlia mendapati emaknya telah dibenarkan pulang ke rumah. Nek Kiah dimasukkan ke wad wanita, Hospital Batu Pahat kerana sakit. Embong sekeluarga bergilir-gilir menjaga Nek Kiah selama dia berada di hospital itu. Nek Kiah berasa bersalah atas sikap prejudisnya terhadap Embong sekeluarga. Nek Kiah tinggal di rumah Embong setelah dibenarkan pulang dari HospitalBatu Pahat.
Banjir besar telah melanda Kampung Parit Haji Rais. Penduduk kampung terpaksa dipindahkan ke surau dan balai raya. Menurut Haji Sulaiman, banjir yang berlaku di kampung mereka adalah untuk mencuci segala kekotoran yang ada di kampung itu. Nek Kiah meminta Embong sekeluarga menetap di rumahnya selepas banjir berakhir dan air surut kerana rumah Embong telah musnah. Penduduk kampung kembali mengamalkan budaya muafakat. Kaum lelaki bergotong-royong membina rumah Embong, manakala kaum wanita bekerjasama menyediakan hidangan.
Dahlia tekun belajar dan berjaya menghadapi peperiksaan STPM dengan jayanya. Cikgu Daim membawa khabar berita buat Dahlia, iaitu dia terpilih untuk mengikuti Kursus Pengurusan Perniagaan peringkat ijazah pertama selama empat tahun di Jepun. Sebelum itu, Dahlia diwajibkan mengikuti kursus bahasa Jepun selama enam bulan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Majlis pertunangan antara Dahlia dengan Azhari selamat
dijalankan pada 30 Disember walaupun tanpa upacara menyarungkan cincin. Azhari
menemui Dahlia di stesen bas sebelum bas ekspres bertolak ke Kuala Lumpur dan mengucapkan
Koi-bito kepada Dahlia. Azhari menghadiahi Dahlia sehelai
songket merah berbenangkan emas sebagai simbol bahawa mereka ialah orang Melayu
yang kaya dengan adat dan budi bahasa.
Kredit: Sasbadi