Waheeda berkeinginan tinggi untuk melakukan pembedahan plastik pada wajahnya bagi membaiki, memulih, dan menjaga kekemasan diri. Sebagai pengurus Chalet Tajau Emas, Waheeda bertanggungjawab mengurus segala keperluan dan kemudahan yang diperlukan oleh tetamu. Fadhil, iaitu ayah Waheeda teringat akan bantahannya terhadap hasrat Waheeda untuk melakukan pembedahan kosmetik pada hidungnya kerana bertentangan dengan hukum syarak dan konvensi agama. Kehadiran monyet Belanda yang menyerang secara tiba-tiba di chalet itu mengejutkan Waheeda dan pengunjung yang lain. Waheeda dikejarkan ke hospital kerana wajahnya telah dicederakan oleh monyet Belanda tersebut.
Waheeda menaiki pesawat ke Singapura untuk menjalani pembedahan mata dan hidungnya. Bazilah, iaitu rakan lama Waheeda menyambut ketibaan Waheeda di rumahnya di Yishun Street. Selepas itu, Waheeda menyerahkan dokumen sejarah kesihatan dan pemeriksaan amnya kepada Dr. Alma Hollis Chen. Ibu Waheeda, Raidah kembali ke Sarawak setelah dia selamat menjalani pembedahan.
Waheeda memilih untuk tinggal lebih lama dan mencari kerja di Singapura kerana kesan pembedahan hidungnya belum stabil. Waheeda bersyukur kerana mendapat tawaran bekerja di Flamingo Resort sebagai Pegawai Perhubungan Awam. Halloway, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Hotel Flamingo de La Rossa mengarahkan Waheeda menyiapkan brosur kempen suku kedua tahun ini dan dia akan mewakili Flamingo dalam Pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa di Four Season Hotel. Kehadiran Waheeda di situ menarik minat Zahid. Maka, bermulalah detik-detik percintaan mereka berdua.
Zahid memperkenalkan Waheeda kepada bapanya, Datuk Yasser Arief di Restoran de La Rossa. Waheeda dan Datuk Yasser Arief banyak bercerita tentang perkembangan industri pelancongan di Sarawak. Kemudian, Zahid menghantar rombongan merisik Waheeda. Zahid memujuk Waheeda agar memberikan notis berhenti kerja di Hotel Flamingo de La Rossa. Waheeda enggan berbuat demikian kerana kontraknya yang masih terikat dengan pihak hotel tersebut. Waheeda menghubungi Dr. Rushdi untuk memaklumkan tulang rawan hidungnya yang dirasakan runtuh akibat demam selesema. Dr. Rushdi meminta Waheeda datang ke SMC dengan segera untuk menjalani pembedahan pada bahagian hidungnya.
Setelah gagal menghubungi Waheeda, Zahid tekad untuk ke Singapura. Majlis pertunangan antara Waheeda dengan Zahid dibatalkan dan digantikan dengan majlis pertunangan ringkas antara Ghazi dengan Fatimah. Anati memberitahu Zahid bahawa Waheeda sedang menerima rawatan di Silicon Medical Center (SMC), di Jalan Orchard. Kedatangan Zahid secara mengejut di SMC itu menyebabkan Waheeda terkesima. Majlis perkahwinan Zahid dan Waheeda berlangsung dengan penuh adat dan budaya Melayu Sarawak. Majlis persandingan kali kedua bagi Waheeda dan Zahid pula diadakan di Hotel Seri Gading. Zahid teringat akan janji temunya dengan Waheeda untuk makan tengah hari di Restoran Seri Gading. Zahid berasa cemburu dan ragu akan kesetiaan Waheeda apabila menemui Waheeda di bilik penginapan Dawood di Chalet Tajau Emas.
Waheeda tidak bersetuju dengan idea bapa mentuanya untuk menggabungkan Hotel Seri Gading dan Chalet Tajau Emas menjadi satu syarikat perniagaan. Disebabkan rasa marah dan cemburu butanya itu, Zahid tidak pulang bermalam di bilik tidurnya. Raidah menasihati Waheeda agar menjaga batas pergaulannya dengan pelanggan lelaki bagi mengelakkan Zahid cemburu dan buruk sangka. Waheeda selamat melahirkan bayi perempuan dan menerima rawatan di bilik wad eksklusif, Hospital Pakar Normah. Datin Hazirah memberikan alasan bahawa Zahid tidak dapat datang kerana sibuk menguruskan konvensyen antarabangsa di hotelnya. Zahid mempertikaikan status anak kandungnya setelah meneliti ciri-ciri fizikal yang terdapat pada bayi perempuannya itu. Waheeda menyerahkan sampel rambutnya, rambut Zahid, dan rambut anak mereka, Izzati untuk ujian DNA. Waheeda merayu Zahid agar melihat hasil laporan DNA tetapi dipertikaikan oleh Zahid. Zahid menceraikan Waheeda dengan talak satu disebabkan cemburu dan sikap curiganya yang terlampau itu. Kesannya, Waheeda mengalami masalah kemurungan dan migrain meroyan.
Waheeda mendapatkan rawatan dan khidmat kaunseling di Pusat Rawatan Islam, Kuala Lumpur. Di pusat rawatan itu, Waheeda terjumpa dengan Lais. Pak Cik Lais, iaitu Pak Cik Aziz berhasrat untuk menjual Chalet Iwana-Iwani miliknya yang terletak di Cameron Highlands. Akhirnya, chalet tersebut dibeli oleh Waheeda dan Ghazi. Nama chalet itu ditukarkan kepada Aya-Sajinah. Waheeda cekal membangunkan chalet itu walaupun terpaksa berjauhan dengan Izzati yang bersekolah di Sarawak.
Izzati berbual dengan ibunya, Waheeda. Perbualan mereka berkisarkan kertas laporan DNA, gambar majlis konvokesyennya, dan wajah ibunya yang berbeza dengan wajahnya. Izzati kini membesar sebagai gadis sunti yang bijak, berdikari, serta mampu membantu Lais menyelia Cafe Iwani dan Restoran Iwana. Zahid yang kebetulan menginap di Chalet Aya-Sajinah berehat di Cafe Iwani. Lais dapat mengesan bahawa Zahid ialah bekas suami majikannya, iaitu Waheeda.
Zahid melahirkan kekesalannya terhadap sikapnya yang enggan melihat laporan DNA. Zahid menangis apabila Izzati disahkan anak kandungnya. Waheeda meninggalkan Cafe Iwani apabila dia terpandang akan Zahid yang sedang berbual dengan Lais dan Izzati. Izzati memberitahu ibunya tentang penyesalan Zahid. Perkara itu sukar diterima oleh Waheeda lantaran kekecewaan hatinya akibat tindakan kejam Zahid. Lais cuba menenangkan perasaan Zahid dan Waheeda. Izzati pula memujuk ibunya agar memaafkan kesalahan bapanya.
Kredit: Sasbadi