[Nota Komsas] Analisis Seloka Santap Istiadat; Antologi Bintang Hati

Cikgu Muzz
By -
0

 


MAKSUD SELOKA SANTAP ISTIADAT

Santap beradat, santap istiadat,
Santap raja di majlis kebesaran,
Santap merai, hormat-menghormat;
Bukan santap hendakkan kenyang,
Santap santun dengan aturan.

 

Santap beradat merupakan istiadat santap raja di majlis kebesaran. Santap tersebut bertujuan untuk meraikan dan menghormati tetamu. Majlis santapan ini bukanlah sekadar untuk mengenyangkan perut tetapi merupakan majlis santapan yang mengajar si penjamu selera agar makan secara sopan dan mengikut tatacara yang tepat.


Nasi disuap di tangan kanan,
Lauk dibinjat sopan siuman,
Sampai ke mulut mamah perlahan,
Tanda tidak gelojoh makan.
Selesai santap nasi,
Diiringkan seteguk minuman, Isyarat menghormat, mulia-memuliakan

 

Berdasarkan tatacara dan ketertiban sewaktu makan, nasi hendaklah disuap menggunakan tangan kanan manakala lauk perlulah diangkat secara sopan. Ketika nasi sampai ke mulut hendaklah dikunyah dengan perlahan-lahan sebagai tanda tertib dan tidak gelojoh sewaktu makan. Setelah selesai makan nasi barulah diambil seteguk air minuman sebagai isyarat hormat dan beradab sopan ketika berada dalam majlis santapan itu.

 

Santap nasi suap pertama,
Berturut dengan suap kedua;
Dua suap, ketiga sudah,
Keempatnya basuh tangan;
Kelima halwa juadah,
Keenam mengiring buah-buahan.

 

Dalam aturan dan cara-cara makan dan minum, suapan nasinya bermula daripada suapan pertama hingga ketiga sahaja. Selepas itu, si penjamu selera perlu membasuh tangan, sebelum diikuti dengan menjamah juadah halwa dan memakan buah-buahan.

 

Ketujuh berkumur-kumur,
Ke delapan makan sirih;
Kelat jatuh ke rengkungan,
Seri naik ke peroman.

 

Cara-cara makan dan minum yang berikutnya ialah ketujuhnya, orang yang menjamu selera perlu berkumur-kumur untuk membersihkan mulut dan diakhiri dengan memakan sirih. Air sirih kelat yang masuk ke kerongkong si penjamu selera akan menambahkan seri pada wajah mereka.


Itulah santap beradat kebesaran,
Di dalam riwayat zaman yang silam.

 

Tatacara dan peraturan santapan ini merupakan majlis santap beradat kebesaran yang diajarkan oleh generasi terdahulu.


TEMA SELOKA SANTAP ISTIADAT
Ajaran adab sopan dan tatacara ketika makan dan minum ketika majlis mengikut adab dan didikan generasi terdahulu.
 
PERSOALAN SELOKA SANTAP ISTIADAT
  1. Adab sopan dan ketertiban ketika menjamu selera.
  2. Kesopanan yang diutamakan ketika makan dan minum.
  3. Tatacara ketika menjamu selera dalam sesuatu majlis.
BENTUK SELOKA SANTAP ISTIADAT
  1. Terdiri daripada lima rangkap.
  2. Seloka ini berbentuk bebas.
GAYA BAHASA SELOKA SANTAP ISTIADAT
  1. Repitisi – Santap beradat, santap istiadat.
  2. Bahasa klasik – peroman
  3. Personifikasi – Kelat jatuh ke rengkungan.
NILAI SELOKA SANTAP ISTIADAT
  1. Kesopanan.
  2. Kepatuhan.
  3. Keserhanaan.
PENGAJARAN SELOKA SANTAP ISTIADAT
  1. Kita hendaklah bersikap sopan ketika sedang menjamu selera.
  2. Kita hendaklah bersederhana ketika menjamu selera.
Kredit: Sabadi

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!