Dunia pendidikan
semalam digemparkan dengan berita Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mungkin
akan dimansuhkan sehingga bila-bila. Timbalan Menteri Pendidikan I, memaklumkan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam fasa akhir sebelum memuktamadkan keputusan
sama ada UPSR akan terus dimansuhkan. Untuk rekod, UPSR untuk tahun 2020
dibatalkan dek pandemik Covid-19.
Sebelum ini,
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), mahu UPSR dimansuhkan dalam
usaha transformasi sistem pendidikan berteraskan peperiksaan. Menurut Setiausaha
Agung NUTP, cadangan itu menyaksikan bakal mengurangkan tekanan dan bebanan
kepada murid sekali gus mengubah persepsi masyarakat bahawa gred A merupakan satu-satunya
kayu ukur kecemerlangan.
Dalam pada itu
KPM memaklumkan tidak ada kajian untuk menggantikan UPSR dengan pentaksiran
yang lain. Sebaliknya murid Tahun 6 akan dinilai menerusi penilaian
berterusan, ujian esei dan temu duga
penempatan bagi penempatan di lima jenis sekolah khusus.
Persoalannya,
bagaimanakah penerimaan ibu bapa dan guru-guru terhadap keputusan ini? Ibu bapa
khususnya sudah sekian lama terbiasa dengan sistem pendidikan berteraskan
peperiksaan. Begitu juga halnya dengan guru-guru. Kita melihat senario biasa,
ada sesetengah murid hanya betul-betul fokus ketika tahun peperiksaan, jika
bukan tahun peperiksaan penting ada dalam kalangan murid belajar secara
sambalewa sahaja. Bukan sahaja murid, malah ibu bapa juga ada sebilangan yang
betul-betul ambil kisah tentang pelajaran anak-anak ketika tahun peperiksaan
awam sahaja, jika tidak urusan pendidikan anak sekadar hantar dan ambil anak
dari sekolah semata-mata.
Itu belum lagi
sekolah. Bukankah sekolah juga pilih kasih antara kelas tahun peperiksaan
dengan kelas-kelas lain? Pelbagai program akademik, motivasi, sahsiah dan
lain-lain seringkali diadakan melibatkan murid yang bakal menghadapi peperiksaan awam. Apakah
dengan pemansuhan UPSR semua murid mendapat hak sama rata yang adil? Atau lebih
teruk tidak ada lagi usaha luar biasa dalam kalangan komuniti sekolah
sementelahan tiada lagi peperiksaan awam penting pada peringkat sekolah rendah?
Mentransformasikan
dunia pendidikan tanah air supaya tidak berorientasikan peperiksaan adalah
suatu usaha yang baik. Ini merupakan suatu pendekatan yang lebih mesra kepada
ilmu. Mencabut tekanan dan bebanan dalam minda murid sebaliknya menanamkan
kecintaan kepada ilmu pengetahuan dalam kalangan anak-anak. Namun, sedarkah
kita, layang-layang yang dibiar bebas terlalu lama mengikut angin di udara, akhirnya akan
tersangkut di ranting dan dahan. Boleh sahaja layang-layang itu koyak dan terus
rebah ke bumi dan sukar untuk kembali terbang?
Mengubah minda
masyarakat bukanlah suatu proses yang mudah. Apatah lagi dalam masa yang sama
untuk mengubah persepsi seluruh warga pendidikan dalam pemansuhan sesuatu
penilaian akhir yang dianggap penting yang sudah sekian lama ditadbir di negara
ini. Hakikatnya, sistem pendidikan di Malaysia tetap berorientasikan
peperiksaan apabila pada akhirnya masih ada Sijil Pelajaran Malaysia yang
dianggap peperiksaan maha penting dalam menentukan masa hadapan seseorang murid.
Jika pengurusan tekanan dalam kalangan murid dan tanggapan gred A dalam
peperiksaan adalah segala-galanya dalam kalangan masyarakat merupakan indikator
utama untuk mengubah hala tuju penilaian dan pentaksiran, apakah dengan
pemansuhan UPSR dapat menjamin bahawa dua aspek ini turut akan berubah?
Tekanan dalam
kalangan murid sebenarnya berpunca daripada pengurusan institusi keluarga itu
sendiri. Cara ibu bapa membesarkan anak-anak menjadi punca utama berlakunya
tekanan dalam kalangan anak-anak. Begitu juga dengan perlumbaan antara sekolah
mengejar ranking akan berbolak-balik tekanannya kepada guru-guru dan
murid. Justeru, selagi ada ukuran dan
perbandingan dalam nilai Gred Purata Sekolah, Gred Purata Mata Pelajaran, Band
Sekolah, kasta sekolah (sekolah harian
biasa, sekolah rancangan khas, sekolah berasrama penuh, sekolah berprestasi
tinggi dll) tekanan tidak akan dapat dipisahkan dalam kalangan semua pihak yang
terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan Malaysia.
Semoga
keputusan yang bakal dimuktamadkan dalam hal pemansuhan UPSR merupakan
keputusan yang terbaik untuk murid, guru, sekolah, ibu bapa dan pendidikan
tanah air. Apakah pandangan anda tentang isu terkini dunia pendidikan ini?