SOALAN PERCUBAAN SPM 2020 (KELANTAN)
Malaysia memerlukan pekerja yang cemerlang dalam usaha menjadi sebuah negara yang mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Huraikan ciri-ciri pekerja cemerlang yang diperlukan oleh negara.
Meskipun impian negara mencapai sasaran dalam Wawasan 2020 tidak kesampaian, namun ini tidak bermakna hasrata untuk menjadi sebuah negara maju perlu dikuburkan begitu sahaja. Sebagai sebuah negara yang membangun, Malaysia mempunyai pelbagai kelebihan daripada segenap aspek dan mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Salah satu indikator utama dalam mentafsirkan definisi negara maju ialah mempunyai pekerja yang cemerlang dalam pelbagai sektor. Dalam usaha duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju seperti Korea Selatan dan Jepun di rantau Asia, keperluan memeiliki pekerja yang berkualiti dan cemerlang dalam pelbagai sudut amat diperlukan oleh Malaysia. Justeru, persoalannya apakah ciri-ciri pekerja cemerlang yang diperlukan oleh negara?
Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci mempunyai kemahiran komunikasi. Secara umumnya kemahiran komunikasi dapat diterjemahkan sebagai kemahiran yang digunakan untuk berhubung dengan orang lain. Kemahiran komunikasi merupakan salah satu elemen penting dalam konteks pekerjaan sama ada kepada pekerja biasa mahupun kepada mereka yang bergelar ketua di tempat kerja. Komunikasi yang berkesan akan mempengaruhi hubungan sesama pekerja dan hubungan dengan pelanggan. Sebagai contoh dalam usaha menjadi seorang pekerja yang cemerlang seseorang individu mesti menguasai kemahiran komunikasi yang betul sama ada secara lisan mahupun bukan lisan. Dalam konteks perbualan lisan, bahasa, perkataan, ayat, sebutan, dan nada suara yang sesuai perlu digunakan mengikut situasi dan individu yang terlibat dalam komunikasi tersebut. Begitu juga dengan komunikasi bukan lisan, seseorang pekerja wajib mengetahui tatacara betul untuk membalas e-mel, mesej pesanan ringkas, mahupun surat dalam sesuatu urusan pekerjaan. Justeru, sudah terang lagi bersuluh kemahiran komunikasi merupakan antara wadah yang amat penting yang perlu dimiliki oleh seseorang individu dalam usaha menjadi seorang pekerja yang cemerlang.
Cadangan Isi-Isi:
- Mampu bekerja secara berpasukan.
- Berdisiplin.
- Bijak menyelesaikan masalah.
- Mahir menggunakan teknologi terkini.
- Mempunyai ilmu pengetahuan.