Sinopsis Novel Jendela Menghadap Jalan

Cikgu Muzz
By -
0
 


Novel Jendela Menghadap Jalan diceritakanberdasarkan catatan Lili yang berlaku pada bulan Ogos 2008. Novel ini mengisahkan sifat cekal dan keberanian Lili semasa menempuh berbagai-bagai permasalahan sosial dan kemasyarakatan yang berlaku sepanjang cuti persekolahannya di Kampung Sentosa. Cerita bermula apabila Lili dihantar pulang bercuti ke kampung kelahiran ibunya di Dungun, Terengganu dengan menaiki bas ekspres. Ibunya berpesan kepada Lili tentang perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa dia berada  di kampung kelak. Semasa di dalam bas ekspres, seorang gadis berketurunan India, Geetha duduk di sebelah Lili.
 
Lili menyukai panorama keaslian hutan di kampung itu. Lili berasa hairan apabila melihat kebanyakan rumah di kampung itu dibina dengan kedudukan jendelanya yang rata-ratanya menghadap jalan. Dalam pertemuan itu, nenek mengatakan bahawa Lili semakin besar. Lili menghulurkan wang kiriman ibunya kepada nenek. Lili tekun menunggu dan berharap agar datuknya bercerita tentang kepentingan susunan rumah dan jendela menghadap jalan kepadanya. Namun begitu, datuknya bercerita tentang kelebihan dan bagaimana akar-akar kayu berupaya untuk merawat pesakit melalui kaedah rawatan tradisional. Nenek mengajak Lili pergi ke kedai runcit Letchumi selepas hujan berhenti. Lecthumi yang berbadan gempal menyambut kedatangan nenek  dan Lili dengan mesranya. Lili telah bertemu dengan Geetha semula yang merupakan anak gadis Letchumi.
 
Lili terkejut dengan kehadiran tetamu di rumah datuknya beberapa minit setelah mereka selesai bersarapan. Danel memberitahu Lili tentang isu kubah surau yang hangat diperkatakan oleh penduduk kampung ekoran tiadanya pemuafakatan. Danel berterus terang tentang kunjungannya ke rumah datuk untuk menghentikan pengambilan ubatubatan Herba tradisional oleh bapanya menyebabkan datuk berasa kecil hati. Datuk teguh dengan pendiriannya bahawa kaedah rawatan tradisional lebih baik berbanding dengan rawatan moden.
 
Penduduk kampung bertelagah dan tidak bersepakat tentang isu pemasangan kubah di bumbung surau usang. Nenek bercerita tentang nasib datuk Lili yang akan kehilangan lima lagi pesakitnya yang datang dari Kuala Lumpur apabila mereka menggunakan ubat ajaib untuk menyembuhkan penyakit. Datuk memberitahu Lili bahawa semua pesakitnya telah lari. Rashid terlupa untuk menghantar Lili ke rumah Geetha. Sebagai menebus kesalahannya, Rashid membawa Lili berjalan-jalan di pasar malam di pekan.
 
Lili mengunjungi Geetha yang diserang demam. Geetha tidak seronok bercuti di kampung kerana dia berasa bosan. Geetha mendapatkan keizinan ibunya untuk bermalam  di rumah datuk Lili. Lili dan Geetha telah mendaki bukit untuk menikmati pemandangan matahari terbenam dari puncak bukit. Geetha dan Lili ke kedai runcit yang berhampiran untuk membeli barangan runcit. Mereka menyaksikan peristiwa anak-anak Che Jah yang dikejar oleh sekumpulan pemuda kerana mencuri harta benda ibunya sendiri.  Che Jah menjerit dan sambil menangis mengenangkan sikap anak-anaknya yang tidak mengenang budi itu.
 
Nenek memberikan keizinan kepada Danel untuk mengajak Lili ke pekan. Mereka singgah di restoran makanan segera. Mereka balik ke Kampung Sentosa dengan menaiki bas. Setibanya di kawasan kampung, Lili melihat Rafiq  yang memegang senjata tajam dikejar oleh beberapa orang lelaki di belakangnya. Secara tiba-tiba, Rafiq menjadikan Lili sebagai orang tahanan dengan mengacukan pisau tajam berkilat di lehernya. Rafiq mengugut untuk mencederakan
Lili jika ada antara lelaki itu yang mendekatinya. Lili pengsan. Apabila Lili sedar, dia mendapati kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang dan disembunyikan di sebuah pondok buruk.
 
Lili mendengar suara Danel yang datang menyelamatkannya. Sebagai tanda kesyukuran kerana Lili selamat, datuk sempat mengajak beberapa orang jemaah yang ada di rumahnya untuk mengerjakan solat hajat. Nenek menasihati Lili agar tidak menyibuk pasal keluarga Che Jah terutama yang melibatkan perihal Haziq dan Rafiq. Ketika berada di rumah Che Jah, Lili memberitahu Che Jah bahawa dia memaafkan kesalahan Rafiq dan Haziq atas kejadian yang berlaku semalam. Che Jah terharu dan menangis apabila mendengar kata-kata ikhlas Lili itu.
 
Lili melihat sebuah lori membawa kubah surau. Dia juga buat kali pertamanya mendengar orang bertengkar tentang kubah surau. Nenek keberatan untuk melepaskan Lili pergi kerana memikirkan aspek keselamatan dirinya. Danel dan Lili berbincang tentang isu pemasangan kubah di surau atau di bumbung masjid baharu yang bakal terbina pada suatu hari nanti. Berlaku suasana yang getir apabila Seman memukul sambil memaki hamun anaknya, Haziq. Orang ramai yang datang termasuk Lili dan Danel berasa takut untuk meleraikan perbuatan kejam Seman itu. Dari dalam rumah, kedengaran suara jeritan Che Jah yang meminta Seman
agar menceraikannya.
 
Nenek pulang lewat dengan membawa khabar bahawa Che Jah belum diceraikan suaminya. Ketika berbual dengan Lili, Kak Mimah memberitahu Lili bahawa dia bertugas sebagai penolong pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Warga Tua dan Keluarga. Lili sempat memberitahu Kak Mimah tentang kes keganasan rumah tangga yang berlaku di kampungnya itu. Kak Mimah menyatakan kesanggupannya untuk  membantu menangani kes keganasan rumah tangga yang  melibatkan Che Jah dan Seman itu setelah diceritakan dengan panjang lebar oleh Lili. Geetha bersetuju untuk mengikut Lili dan akan bermalam di rumah datuk Lili. Nenek berasa gembira ketika menyambut kedatangan Geetha ke rumahnya. Nenek membenarkan Lili dan Geetha menziarahi Che Jah.
 
Datuk memberitahu Lili bahawa Kak Mimah telah menghubunginya. Datuk bertekad hendak mengheret Seman ke penjara. Menurut datuk, Seman telah melakukan banyak kerosakan kepada hati orang lain, selain hati isteri dan hati anak-anaknya. Lili mengagak bahawa Geetha dan Danel mula jatuh cinta. Datuk berasa kesal kerana lambat bertindak untuk memperbetul segala masalah yang berlaku di kampungnya itu. Lili terdengar suara kecoh di halaman rumah datuknya. Mereka datang untuk melaporkan kubah telah dilarikan dan mengesyaki anak-anak Che Jah yang melakukan perbuatan mencuri itu. Lili melihat datuknya mengheret masuk Haziq dan Rafiq di halaman rumah sambil dibantu oleh dua orang pemuda lain. Haziq dan Rafiq kelihatan lemah dan ada kesan dibelasah. Wajah Haziq lebam manakala hidung Rafiq berdarah. Mereka masuk ke dalam rumah dan merebahkan diri di lantai ruang tamu tanpa disuruh. Lili tidak berminat menyentuh isu kubah kerana kubah itu sudah pun dilarikan orang. Geetha membawakan Danel minuman panas. Akibat kebimbangan Haziq akan bertindak ganas, nenek berkawal di muka pintu dapur dengan batang penyapu manakala Danel pula berdiri mencuba melindungi Lili. Keadaan itu menyebabkan Geetha berasa cemburu dan beredar dari ruang tamu itu. Kak Mimah dan Nadia, dua orang pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tiba di rumah datuk. Che Jah menemui Kak Mimah di rumah datuk. Dia menceritakan kejadian malangnya dengan panjang lebar kepada Kak Mimah dan Nadia. Che Jah sangat bersetuju jika suaminya dibawa ke muka pengadilan kerana kubah yang dilarikan semalam ialah perbuatan jahat suaminya tetapi suaminya itu telah menghalakan segala perbuatan jahatnya kepada anak-anaknya yang sedang belajar untuk menjadi baik. Lili dan Geetha disuruh menjaga Rafiq dan Haziq di rumah dengan ditemani oleh Kak Bibah dan dua orang pak cik yang belum dikenali. Menurut Rashid, Sugi tidak terlibat dengan kemasukan dua orang wakil pemaju perumahan yang datang memujuk orang kampung untuk menjual tanah mereka. Che Jah berjaya membuat laporan polis berhubung kes jenayah suaminya dan laporan akan disediakan untuk tindakan lanjut dari Jabatan Kebajikan Masyarakat pada minggu depan. Datuk tidak melatah dengan semua tuduhan penduduk kampung itu.
 
Ibu menghubungi Lili. Dia berasa pelik dengan perubahan sikap anaknya yang tidak merungut sepanjang tempoh percutiannya di kampung. Sewaktu azan subuh berkumandang, Geetha dan Danel telah mengetuk dinding bilik Lili untuk mengejutkannya sekali gus mengajaknya melihat matahari terbit. Lili, Geetha, dan Danel duduk di jeti nelayan sambil memerhatikan keindahan matahari terbit. Ketika Lili tiba  di rumah, dia melihat ibunya sedang berbual mesra dengan datuk dan neneknya. Menurut Lili, kebahagiaan yang paling bermakna kepadanya adalah apabila dia melihat ibunya berbual mesra dengan datuknya. Datuk Lili yang bernama Haji Abdul Rahman telah mengisahkan perjalanan hidupnya dari Kalimantan yang  berpindah-randah hingga akhirnya membuka petempatan  di Kampung Sentosa. Datuk Lili tabah menempuh berbagai-bagai rintangan dalam hidupnya hinggalah dia bertemu dengan neneknya di sebuah tempat ajaib pada 42 tahun dahulu. Nenek Lili bercerita bahawa dirinya bernama Hajah Aisyah Tan Abdullah dan berasal dari Tanah Besar China. Dia mengikut bapanya berhijrah ke Tanah Melayu ketika berusia sebelas tahun bersama-sama adik-beradiknya yang lain. Dia menetap di Tanah Melayu hingga bertemu jodoh dengan Haji Abdul Rahman.
 
Lili menerima sepucuk surat yang ditulis dan dihantar oleh Danel yang mengisahkan berbagai-bagai perkara. Lili mencatat segala peristiwa dan kejadian yang berlaku. Cerita diakhiri dengan Lili menyambung catatannya semula pada bulan Disember 2008. Dalam catatannya itu, Lili berasa lega dan gembira apabila semua ujian serta permasalahan sosial dan kemasyarakatan yang berlaku  di Kampung Sentosa berjaya ditangani. Lili tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa bagi mendengar cerita datuknya tentang jendela menghadap jalan.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!