Sejak pulang dari Pulau Tawar, sikap Datuk Bahaman banyak
berubah. Beliau sering memencilkan diri. Rahman mengatakan bahawa dua tahun
dahulu, negeri mereka telah diambil oleh Inggeris. Inggeris telah mengikat
perjanjian dengan raja mereka. Raja mereka semacam dipaksa oleh Inggeris untuk
menandatangani perjanjian itu. Perkara itulah yang difikirkan oleh Datuk Bahaman.
Pada suatu hari, Datuk Bahaman diberitahu bahawa Inggeris telah mula masuk ke
Semantan. Mereka sedang menggali kubu panjang dan mata-mata Sikh berkawal. Pak
Long Abas hendak bertindak tetapi Datuk Bahaman menghalangnya. Persiapan yang rapi
perlu dilakukan lebih dahulu. Datuk Bahaman mengatakan bahawa peperangan itu membabitkan
sultan. Datuk Bahaman tidak mahu sultan menerima nasib yang sama seperti Sultan
Perak yang dibuang daerah ke sebuah pulau di Lautan Hindi. Datuk Bahaman memuji tindakan Zahid, Samad, Rahman,
dan Awang Muhammad yang membina kubu di Lubuk Sengarat. Pada suatu hari, Zahid,
Samad, dan Awang Muhammad ternampak dua buah perahu yang dikayuh oleh empat
orang Melayu. Dalam perahu pertama terdapat seorang lelaki Inggeris yang memakai
pakaian seragam berwarna kuning, bertopi keras, dan memegang senapang. Dia
diapit oleh mata-mata Inggeris. Samad hendak menyerang mereka tetapi dihalang
oleh Awang Muhammad. Dalam peristiwa yang lain pula, dua orang pemuda Melayu
datang ke kampung itu untuk melakukan bancian. Berlakulah pergaduhan antara Zahid
dan rakan-rakannya dengan dua pemuda Melayu itu. Pergaduhan tersebut berpunca
daripada tindakan dua orang pemuda Melayu itu yang mahu menceroboh isteri
Lajis. Datuk Bahaman tiba-tiba muncul lantas memberikan amaran kepada dua orang
pemuda tersebut. Datuk Bahaman mahu Inggeris sedar bahawa beliau masih berkuasa
di Semantan dan pihak Inggeris perlu menghormati beliau. Pada suatu hari, Mat
Kilau datang berjumpa dengan Datuk Bahaman dan membawa berita tentang mesyuarat
yang berlangsung antara Clifford dengan sultan. Syres telah mengadu kepada sultan
dengan mengatakan bahawa Datuk Bahaman tidak memberikan kerjasama kepadanya
untuk membina rumah pasung. Owen pula mengadu bahawa Datuk Bahaman telah
mengganggu orang-orangnya yang membuat bancian. Clifford pula meminta sultan
mengisytiharkan Datuk Bahaman sebagai penderhaka. Kini, Datuk Bahaman dan para pengikutnya telah
bersedia untuk memerangi Inggeris. Apabila bahagian tengah perahu yang dinaiki
Desborough sampai hampir ke setentang rantai besi yang tenggelam di dalam air,
Datuk Bahaman merentap rantai besi tersebut hingga tegang. Perahu Desborough terbalik.
Desborough dan konco-konconya tercampak ke dalam sungai. Berpuluh-puluh bambu
runcing menghujani musuh di dalam air itu. Musuh telah tewas. Suatu mesyuarat penting
diadakan di rumah Datuk Bahaman. Selesai mesyuarat, mereka mula bertindak untuk
menyelamatkan mayat Ismail. Ismail telah dibunuh oleh Inggeris. Rumah pasung
itu diserang dan semua mata-mata Inggeris dibunuh. Bagi menghadapi kedatangan
Desborough buat kali kedua, dua pasukan telah dibentuk. Satu pasukan diketuai
oleh Datuk Bahaman dan satu pasukan lagi diketuai oleh Datuk Panglima Raja.
Pasukan Datuk Panglima Raja meronda di luar kawasan Bandar Kuala Semantan.
Datuk Panglima Raja mengarahkan Zahid dan yang lain-lainnya untuk menyediakan
bahan-bahan untuk dibuat bubur. Bubur itu diisikan di dalam mangkuk dan
dihidangkan di atas tikar yang terbentang di tempat lapang. Datuk Panglima Raja
dan pengikut-pengikutnya bersembunyi. Tidak lama kemudian, datang empat puluh
orang mata-mata Inggeris dengan diketuai dua orang Inggeris. Mata-mata Inggeris itu
berebut-rebut untuk makan bubur itu sebaliknya dua orang Inggeris itu hanya memerhatikan
mereka. Salah seorang daripada orang Inggeris itu ialah Desborough. Mata-mata Inggeris itu mulai
kesakitan. Seorang demi seorang terjun ke dalam sungai. Akhirnya, semua mata-mata
Inggeris itu hanyut dibawa arus. Selepas lima hari berlalu, dua pasukan itu bertemu
semula di Lubuk Terua. Rahman dan Hassan Tahmid mendapatkan nama beratus-ratus
orang kampung bagi menyertai perjuangan. Dalam dua tiga minggu keadaan di
Semantan tenang. Mereka menyusun jadual latihan menembak. Datuk Bahaman
mengadakan mesyuarat lagi dan meminta semua orang bersedia. Batu Hampar
diletakkan di bawah jagaan Datuk Panglima Raja sementara Imam Perang Weh
menjaga Pasir Tuk Anjang. Tuk Muda Bidin, Datuk Bahaman, Mat Lela, dan Tuk
Selampit pula di Lubuk Sengarat. Desborough ditugaskan Inggeris untuk mengetuai
lima puluh orang mata-mata Inggeris yang akan tiba bersama dengan tiga ratus
orang askar sultan. Datuk Bahaman berpesan kepada pengikut-pengikutnya
supaya berundur jika mereka terlihat askar-askar sultan bercampur dengan
mata-mata Inggeris. Hampir waktu senja, Desborough tiba di Lubuk Terua. Di dalam
perahunya tidak kelihatan askaraskar sultan. Sebaik-baik sahaja haluan perahu
Desborough bertentangan dengan rantai yang merentang Sungai Semantan, Datuk Bahaman
pun menarik rantai itu. Perahu Desborough terbalik. Desborough dan orang-orangnya
tercampak ke dalam air. Bambu runcing menghujani orang-orang Desborough.
Perahu-perahu lain tidak jadi mudik. Askar-askar sultan terpinga-pinga lalu
hilir mudik ke Batu Hampar dan ke Kuala Semantan. Akhirnya, keadaan di Semantan
kembali tenang. Mat Kilau tiba dari Pulau Tawar membawa berita bahawa Clifford
tidak berpuas hati dengan askar-askar sultan yang mudik pada hari itu kerana
tidak ada seorang pun yang tercedera. Inggeris menganggap bahawa askar-askar
sultan telah membuat perjanjian dengan Datuk Bahaman. Clifford mengugut sultan
akan dibuang negeri ke mana-mana pulau di Lautan Hindi. Perancangan dilakukan
Inggeris apabila Rodger mudik seperahu dengan sultan dan Tengku Ali. Melihatkan
kedatangan rombongan tersebut, Tuk Selampit mahu menyumpit tetapi dihalang oleh
Datuk Bahaman. Pada malam itu, Datuk Bahaman membuat perancangan dan berjumpa
dengan sultan secara sembunyi-sembunyi. Perjanjian dibuat. Askar-askar sultan
dan orang-orang Datuk Bahaman akan berpura-pura berlawan dan hanya akan menembak
ke udara dalam pertempuran keesokan harinya. Baginda mahu perjuangan itu
perjuangan yang penghabisan. Keesokan harinya, askar-askar sultan naik ke
darat. Tembakmenembak pun berlaku tetapi semua tembakan menghala ke udara.
Tiba-tiba keadaan menjadi kelam-kabut. Paha Mat Lela terkena tembakan
askar-askar sultan. Awang Muhammad pula terkena tembakan di dada. Dia tidak
dapat diselamatkan. Askar-askar sultan telah mungkir janji. Datuk Panglima Raja
menyuruh para pengikutnya mengamuk namun dihalang oleh Datuk Bahaman. Tidak
semena-mena Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh berlari ke arah askar-askar
sultan untuk menyerah diri. Namun begitu, kedua-duanya telah ditikam oleh askar-askar
sultan. Menjelang waktu Zuhur sudah tidak ada tembakan lagi. Perajurit-perajurit
Semantan berundur ke Darat Kelubi. Askar-askar sultan bersorak kemenangan. Pada suatu petang, Mat Kilau datang ke Darat Kelubi untuk
menemui Datuk Bahaman. Dia membawa surat yang ditandatangani oleh Sultan Ahmad.
Semua pengikut Datuk Bahaman telah diampunkan oleh sultan kecuali Datuk
Bahaman. Datuk Bahaman kecewa kerana sultan telah mungkir janji. Namun begitu, Datuk Bahaman tetap
berpegang pada janjinya. Datuk Bahaman mudik ke Sungai Tembeling dan bersatu
dengan Tuk Gajah dan Mat Kilau.
Bagus, berguna sangat
BalasPadam