Novel menceritakan kisah Kamarul seorang murid Tingkatan
Lima yang berbakat dalam bidang olahraga. Dia telah dipilih mewakili negara
dalam Sukan SEA di Brunei. Kejayaannya mewakili dan mengharumkan nama negara telah
menjadikannya sombong. Dia telah jarang-jarang berbual dengan rakan-rakan di
sekolah. Malah, dia juga telah bersikap dingin terhadap Saridah.
Ekoran perubahan sikapnya itu, Kamarul mula tidak hadir
atau datang lewat ke latihan pusat kem olahraga kebangsaan. Dia sombong dan
yakin akan latihannya sendiri. Bagaimanapun, Encik Kadir menasihatinya dengan mengatakan
bahawa tindakan dia berlatih sendiri melanggar disiplin. Namun begitu, dia tidak
menghiraukan nasihat Encik Kadir selaku jurulatihnya. Malah, dia bersikap
buruk, iaitu dia bersikap kasar terhadap Encik Kadir dengan melemparkan pingat
yang diberikan oleh jurulatihnya itu sebagai pembakar semangat.
Selepas Kamarul melemparkan pingat itu, dia berjalan pulang.
Oleh sebab tidak berhati-hati semasa melintas jalan, dia dilanggar oleh sebuah
kereta. Dia pengsan dan tidak mengetahui apa-apa yang berlaku seterusnya. Di
hospital, dia dikunjungi oleh Encik Kadir, tetapi ketika itu dia sedang tidur. Encik Kadir bertanyakan
khabarnya kepada ibunya. Ibunya memberitahu Encik Kadir bahawa Kamarul hanya
mengalami luka dan bengkak urat. Encik Kadir menyatakan bahawa dia akan datang
lagi pada waktu petang. Selepas 15 minit Encik Kadir pulang, Kamarul sedar dan
mendapati Saridah ada di sisinya. Dia tersenyum memandang Saridah dan Saridah
membalas senyumannya itu. Dia mengucapkan terima kasih kepada Saridah kerana sudi
mengunjunginya. Saridah memberitahunya bahawa Encik Kadir, Sures, dan Juriah
berkirim salam dan kemudiannya menyatakan bahawa Encik Kadir baru sahaja
pulang. Hatinya berdetik apabila mengetahui Encik Kadir mengunjunginya. Dia
terasa ingin benar keluar cepat-cepat dari hospital dan menemui Encik Kadir.
Di hospital, Kamarul menginsafi sikapnya yang sombong akan
kejayaan dan popularitinya sebagai pelari pecut negara. Dia sedar bahawa
kejayaannya sebagai pelari yang terkenal adalah atas bimbingan Encik Kadir. Dia
turut sedar bahawa dia tidak patut melupakan Cikgu Zainal yang juga banyak berjasa
terhadapnya. Oleh itu, dia berazam untuk turun ke padang untuk membuktikan
kepada Encik Kadir bahawa dia seorang ahli sukan yang berdisiplin. Sewaktu dia
dibenarkan pulang, Encik Kadir telah menjemputnya. Kamarul mohon maaf daripada
Encik Kadir.
Selepas keluar dari hospital, Kamarul telah turun
berlatih tetapi dia berasa kecewa kerana prestasinya merosot, namun dia diberi
semangat oleh Encik Kadir. Sewaktu dia berada di bilik di rumahnya, dia melihat
gambar jaguh-jaguh pelari pecut luar negara. Dia melihat catatan masa yang pernah
dibuatnya sebelum ini. Dia berazam untuk melakukan sesuatu supaya catatan
masanya bertambah baik.
Kamarul dan kawan-kawannya berlepas ke Bangkok. Sebelum
itu, dia resah menantikan kehadiran Saridah yang sampai lewat kerana
terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Selepas Saridah tiba, Kamarul dan
kawan-kawannya berlepas ke Bangkok untuk menyertai Sukan Sea.
Di Bangkok, Kamarul mengikuti latihan yang dikendalikan
Encik Kadir. Di sana juga dia telah berjumpa dan berbual-bual dengan De Wega,
iaitu pelari Filipina yang diminatinya. Dalam
perbualan itu, De Wega menasihatinya agar tidak
bersikap sombong, menghormati jurulatih, dan berdisiplin.
Masa pertandingan pun tiba. Dalam pertandingan tersebut,
Kamarul telah bersaing dengan De Wega dan rakannya, Sures, di samping pelumba
dari Brunei, Indonesia, dan lain-lain. Kamarul menjadi johan bagi acara 100 meter
dan 400 meter. Sewaktu dia masuk ke biliknya, Encik Kadir menemuinya dan mengucapkan tahniah. Encik Kadir
turut menyampaikan secebis kertas dari tanah air yang mengandungi ucapan
tahniah. Ucapan itu datang daripada rakan-rakannya, terutama Saridah. Kamarul
ingin mengembalikan pingat yang diberikan oleh Encik Kadir sewaktu dia hendak
berlumba tetapi Encik Kadir memintanya agar menyimpan pingat tersebut sebagai
kenangan. Encik Kadir memberitahu Kamarul bahawa dia sepatutnya bersara sebagai
jurulatih tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan untuk kejohanan Sukan Sea ini.
Encik Kadir juga menyatakan bahawa dia telah berjaya membawa Kamarul ke tahap
yang membanggakannya. Kamarul tidak menyangka bahawa Encik Kadir
akan bersara sebagai jurulatih.
Kejohanan Sukan Sea pun tamat. Sebelum pulang ke tanah
air, dia sempat bertemu dengan De Wega dan memberikan hadiah. De Wega juga
membalas pemberian Kamarul dengan pingat yang pernah dimenanginya. Setibanya di
tanah air, Kamarul telah disambut oleh keluarganya, Saridah, dan
kawan-kawannya.