Novel Destinasi Impian mengisahkan Johari, Azlina dan Firdaus melakukan
eskpedisi berbasikal dari Klang ke Morib. Ekspedisi ini merupakan usaha
menyahut cabaran yang dilontarkan oleh datuk mereka yang mengatakan bahawa generasi
sekarang lemah dan tidak mempunyai semangat yang tinggi. Bagi pihak Johari dan
Azlina, ekspedisi berbasikal tersebut juga adalah untuk meningkatkan imej dan
semangat Firdaus sebagai seorang lelaki yang bersifat keperempuanan akibat
terlalu dimanjakan oleh ibu bapanya. Ekspedisi berbasikal itu telah membolehkan
mereka, terutama Azlina mengenali kehidupan di sekelilingnya. Sebaliknya, Firdaus
menganggap ekspedisi berbasikal itu sebagai perjalanan gila.
Dalam ekspedisi berbasikal itu, Firdaus sering
merungut kerana terlalu lelah. Sikap Firdaus yang tidak sabar itu menimbulkan
konflik antara dia dengan adiknya, Azlina. Konflik antara mereka berdua telah
menimbulkan perasaan marah serta suasana sindir-menyindir dan
tengkingmenengking. Bagaimanapun, Johari sebagai sepupunya yang lebih matang
sentiasa sabar dan bijak menghadapi kerenah adik sepupunya itu. Akhirnya,
ekspedisi tersebut berjaya tiba di destinasinya, iaitu di Pantai Morib Baru.
Firdaus berbangga akan dirinya kerana telah berjaya mengayuh basikal sejauh 50
kilometer.
Di Pantai Morib Baru itu, Firdaus yang tiba lebih
dahulu telah disambut oleh rakan-rakannya, iaitu Sazali, Moksin, Salim, Erma,
Azrina, dan Mazlinda. Firdaus terkejut kerana kawankawannya datang menyambut
ketibaannya. Dalam perjalanan tadi, disangkakan kawan-kawannya sedang
bergembira menonton wayang dan meraikan majlis sambutan hari lahir Mazlinda, iaitu gadis idamannya. Kawan-kawan
Firdaus mengucapkan tahniah kepadanya. Firdaus membohongi kawan-kawannya dengan
mengatakan perjalanannya lewat kerana adiknya yang banyak berehat dalam perjalanan.
Firdaus juga telah meninggalkan Johari dan Azlina.
Johari dan Azlina sedang duduk-duduk sambil bergembira
dengan kawan-kawan Johari yang sama-sama belajar di Universiti Putra Malaysia.
Tiba-Tiba Azlina didatangi oleh Moksin dan Sazali yang bertanyakan sama ada
betul atau tidak tentang kenyataan Firdaus, iaitu mereka sampai lewat kerana
Azlina banyak berehat. Akhirnya, Moksin dan Sazali mengetahui bahawa Firdaus
berbohong. Mereka bertekad untuk memaksa Firdaus supaya mengaku bahawa dia
berbohong. Sebenarnya, Firdaus berasa sombong akan kejayaannya berbasikal dari
Klang ke Morib. Dia juga turut memberitahu Mazlinda bahawa dia pandai berenang
juga. Namun begitu, Firdaus sedar bahawa dia tidak sehebat seperti yang dia
ceritakan. Oleh itu, perasaan itu terbawa-bawa dalam mimpinya. Pada keesokan hari, Johari
dan Azlina ingin bertolak pulang. Walau bagaimanapun, Firdaus memberitahu mereka
bahawa dia ingin pulang sendiri. Azlina berasa tidak sampai hati meninggalkan
abangnya, Firdaus untuk pulang berseorangan. Namun setelah dipujuk oleh Johari,
akhirnya mereka berbasikal pulang berdua sahaja. Sementara itu, Firdaus dan
rakan-rakannya pergi mandi di laut walaupun air laut sedang surut dan airnya
berada di tengah-tengah. Firdaus mandi sambil bergembira dengan rakan-rakannya.
Mereka turut berlumba menyelam. Dalam kegembiraan itu, Mazlinda telah dipukul
ombak dan terkapai-kapai. Firdaus yang bercakap besar itu terpaksa memberanikan
diri untuk menyelamatkan Mazlinda tetapi akhirnya, dia yang lemas.
Sebaik-baik sahaja sedar, Firdaus berada di katil
hospital. Di sisinya Johari dan Azlina bertanyakan khabarnya. Firdaus juga
mengetahui bahawa dia lemas dan telah diselamatkan oleh Mazlinda yang berpura-pura tidak tahu berenang. Firdaus
berasa malu tetapi Johari menasihatinya bahawa setiap tindakan berani hendaklah
disertai dengan fikiran yang waras. Dia juga dinasihati agar tidak perlu
menundukkan muka terhadap cabaran. Sewaktu Mazlinda datang bersamasama dengan
kawan-kawannya yang lain, Firdaus berasa malu dan ingin menundukkan mukanya.
Namun, dia teringat akan nasihat Johari dan Azlina, lantas dia memberanikan
dirinya untuk memandang kawan-kawannya itu.