Sinopsis Novel Jejak Monpus

Cikgu Muzz
By -
0
 


Zahar seorang penuntut jurusan Biologi, Fakuti Sains Hayat di Universiti Teknologi Malaysia. Dia begitu obses dengan dunia serangga sejak kecil lagi. Minat Zahar terhadap dunia serangga terutamanya ulat bulu dan rama-rama makin mendalam hingga dia membina sebuah makmal kecil di sebelah rumahnya. Ibu Zahar, Qistina seorang guru. Beliau sentiasa memberikan galakan kepada Zahar untuk mengembangkan minatnya. Zahar seorang penuntut yang sangat berdedikasi. Zahar telah menerima banyak anugerah atas penyelidikan dan inovasi yang dijalankan bersama dengan pihak universiti.
 
Terdapat pelbagai spesies ulat bulu yang dikumpulkan oleh Zahar di dalam makmalnya. Namun begitu, terdapat satu spesies yang paling disayangi oleh Zahar yang dinamakannya Pus Pus. Keadaan fizikal Pus Pus yang lemah membuat Zahar risau. Zahar mengambil keputusan untuk ke Pulau Pisang bersama dengan Fikri dan Malcom. Zahar mahu mencari spesies baharu untuk diklonkan dengan Pus Pus. Dia bernasib baik kerana telah menjumpai seekor ulat bulu yang cantik yang dinamakan Morgan. Sesuatu yang aneh telah berlaku. Morgan mengalami perubahan, iaitu ada sayap kecil di kiri dan di kanan abdomennya.
 
Selepas itu, berlaku sesuatu yang menggemparkan penduduk Kampung Maju Jaya apabila beribu-ribu ulat bulu menyerang kampung tersebut. Penduduk kampung terkena penyakit. Ripin dan beberapa orang pemuda kampung datang ke rumah Zahar. Mereka menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu. Ibu Zahar, Qistina berjanji akan memanggil pihak Jabatan Kesihatan untuk menyiasat kejadian yang berlaku. Dua hari selepas itu, Unit Kawalan Bawaan Vektor, beberapa orang pegawai kesihatan, dan pihak polis dari Unit Forensik datang ke Kampung Maju Jaya. Mereka menggeledah makmal Zahar tetapi tidak menjumpai apa-apa selain ulat bulu dan pelbagai jenis rama-rama.
 
Warung kopi Pak Mail kecoh. Berita tentang serangan ulat bulu di Kampung Maju Jaya tersiar dalam surat khabar. Pak Mail, Manaf, Jusuh, Ahmad, Usop, dan Ripin menyalahkan Zahar atas kejadian yang berlaku di kampung mereka. Perbualan mereka terhenti apabila melihat Zahar dan ibunya tiba dengan kereta pacuan empat roda. Ripin meluru keluar dari warung itu. Dia bertekak dengan Zahar. Qistina cuba meleraikan mereka. Kata-kata kesat Ripin terhadap Qistina membuat Zahar berasa amat marah. Pergaduhan antara Zahar dan Ripin berlaku. Ripin melibaskan pisau lipat ke badan Zahar. Pisau tersebut terkena pada bahu Zahar. Zahar dirawat di Hospital Pontian. Akhirnya, Zahar dibenarkan keluar dari hospital dan diberi cuti sakit selama seminggu.
 
Zahar melayari internet dan membaca buku tentang ulat bulu. Zahar menemui jawapan dan penyelesaian bagi masalah yang melanda. Zahar mengajak Fikri menemaninya ke Pulau Pisang. Di Pulau Pisang, Zahar dan Fikri telah menjumpai beberapa ekor ulat bulu yang mirip dengan spesies Morgan. Ulat-ulat bulu itu sedang makan daun hijau bersaiz lebar. Zahar yakin bahawa Morganlah penawar bagi serangan ulat bulu di kampungnya. Pada suatu malam, Zahar terpaksa mengorbankan Morgan. Keesokannya selepas kuliah tamat, Zahar segera pulang ke rumah. Sewaktu masuk ke dalam makmal, Zahar panik kerana
bahan uji kajinya, botol beracun, dan buku formulanya hilang.
 
Zahar dan Fikri melakukan siasatan dan mendapati Ripinlah yang bertanggungjawab. Zahar dan Fikri ke balai polis untuk membuat laporan. Seminggu kemudian, Ripin ditangkap polis untuk membantu siasatan berhubung dengan sindiket penjualan benih cambah sawit secara haram dan pemalsuan dokumen urus niaga menggunakan logo Sime Darby Plantation dan Felda Agriculture Services Sdn. Bhd. (FASSB). Kegiatan Ripin dan beberapa orang anak muda kampung terbongkar. Mereka didapati mengusahakan tapak benih cambah sawit secara haram. Semasa penggeledahan dibuat di stor Ripin, pihak polis menjumpai bahan penting yang hilang seminggu yang lalu.
 
Formula ciptaan Zahar akhirnya berjaya. Setelah dipatenkan,  formula Zahar menjadi produk yang dikomersialkan dan diberi  nama MONPUS. Nama MONPUS ialah gabungan antara ulat bulu Morgan dan Pus Pus yang telah dijejaki sekian lama. Akhirnya, melalui proses eksperimen yang rumit maka terhasillah racun serangga khusus untuk membunuh ulat bulu berintik hitam yang telah menyerang penduduk Kampung Maju Jaya. Pada akhir cerita, Zahar berjaya menerima Anugerah Biasiswa Kerusi Canselor daripada Universiti Oxford London. Majlis tersebut menjadi detik yang paling menggembirakan Zahar kerana anugerah tersebut disampaikan sendiri oleh ayahnya, Dr. Baharuddin yang kini menjadi tenaga pengajar di universiti tersebut. Kegembiraan Zahar semakin bertambah apabila bapa yang sangat dirinduinya telah melamar ibunya semula. Serangan ulat bulu berintik hitam mempunyai hikmah yang tersembunyi. MONPUS bukan sahaja telah menyelamatkan nyawa tetapi telah menyambung hubungan yang sekian lama terputus.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!