Sinopsis Novel Sejambak Bakti

Cikgu Muzz
By -
0
 
 


Novel ini mengisahkan usaha murid dan guru Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan untuk membangunkan koperasi sekolah mereka. Harun, Swee Lan dan Saridevi sedang bertugas di koperasi sekolah sebelum loceng untuk sesi pembelajaran berlangsung. Semasa sedang sibuk melayan pelanggan , seorang daripada murid yang berasak-asak di situ cuba mengambil sebatang pen tanpa membayarnya. Kehadiran Cikgu Zulkifli menamatkan perbualan mereka. Cikgu Zulkifli datang membawa surat panggil Mesyuarat Lembaga Pengarah untuk kali pertama pada tahun tersebut.
 
Dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah kali pertama pada petang itu, sebanyak sebelas orang murid dan empat orang guru telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Cikgu Syamsudin, iaitu pengetua sekolah  sebagai pengerusinya. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh pegawai daripada Jabatan Pembangunan Koperasi. Razali telah terpilih sebagai penolong setiausaha.
 
Konflik bermula apabila Munir berasa cemburu dengan pelantikan Razali sebagai penolong setiausaha. Mulai saat itu Munir, Leong, dan Selvam sering tidak hadir bertugas. Munir sentiasa cuba untuk rapat dengan Ramlah. Namun begitu, cubaan untuk memberi surat dan mengajak Ramlah menonton wayang gagal. Hal ini demikian, kerana Ramlah sangat rapat dengan Razali. Sikap Munir yang sering menganggu pelajar perempuan dan tidak hadir bertugas telah dirujuk kepada guru kaunseling sekolah. Akibat daripada peristiwa tersebut, Munir telah menumbuk Razali sehingga berdarah. Perbuatan tersebut menyebabkan Munir dihukum rotan oleh pengetua. Razali juga terpilih untuk menghadiri kursus  koperasi bersama-sama dengan wakil koperasikoperasi sekolah seluruh Malaysia. Hal ini menambahkan lagi rasa cemburu Munir terhadap Razali.
 
Dua minggu sebelum hakim pertandingan koperasi terbaik sekolah-sekolah datang mengadili pertandingan tersebut, seluruh warga Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan dikejutkan dengan berita koperasi sekolah mereka telah diceroboh.  Barang-barang dalam koperasi telah dipunggah, barangan yang ada berselerakan dan wang koperasi sebanyak RM 200.00 turut dicuri. Pihak polis telah dipanggil untuk melakukan siasatan. Razali dan Cikgu Zulkifli telah dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan. Hal ini demikian kerana tiada sebarang tanda-tanda bilik tersebut dipecahkan dan hanya Razali seorang sahaja yang memiliki kunci tersebut, manakala kunci di bilik pengetua tidak terusik. Kejadian tersebut menyebabkan ayah tiri Razali berasa malu sehingga sanggup menghalaunya keluar dari rumah.
 
Penjenayah tersebut berjaya dikesan setelah pencerobohan dilakukan untuk kali yang kedua. Munir terperangkap kerana memiliki sekeping wang kertas RM10.00 yang bertanda ‘K’. Dia dihukum tiga kali sebatan di hadapan tapak perhimpunan dan digantung sekolah selama seminggu. Suasana menjadi bertambah pilu apabila Munir sendiri meminta maaf kepada Razali dan mereka berpelukan sambil diiringi air mata yang berderaian. Razali dan Munir, akhirnya menjadi sahabat baik.   Masa terus berlalu, tiga orang hakim Pertandingan Koperasi Sekolah-Sekolah dari ANGKASA telah datang untuk menghakimi koperasi sekolah mereka. Berdasarkan penilaian ketiga-tiga hakim tersebut koperasi sekolah mereka telah diumumkan sebagai johan dalam pertandingan yang dianjurkan oleh pihak ANGKASA. Persoalan tentang ayah Razali yang sebenar turut terungkai semasa majlis penerimaan piala kemenangan tersebut.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!