Latihan Karangan Surat Tidak Rasmi; Sambutan Bulan Kebangsaan

Cikgu Muzz
By -
0
 

Sahabat pena anda yang tinggal di luar negara ingin tahu tentang sambutan Bulan Kebangsaan yang diraikan oleh rakyat negara Malaysia pada setiap tahun. Tulis sepucuk surat kepada sahabat pena anda untuk menceritakan sambutan tersebut. Panjangnya surat anda hendaklah tidak kurang daripada 180 patah perkataan.

08, Astana Idaman,
Taman Astaloka Perdana,
13800, Bandar Puteri Jaya,
Sungai Petani,
Kedah Darul Aman.
 
2 September 2021.


            Menemui sahabatku, Andre yang berada di Madrid, Sepanyol; diharapkan semoga saudara berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. Saya di sini sihat-sihat sahaja. Baru-baru ini saya telah berpeluang mengunjungi Perth, Australia kerana mengikut bapa saya yang mempunyai tugas di sana. Suantu hari nanti, saya berharap mempunyai peluang untuk mengunjungi Madrid dan menjenguk awak di sana.
 
Saudara,
 
            Menerusi surat kiriman saudara tempoh hari, saudara berminat untuk mengetahui sambutan Bulan Kebangsaan yang diraikan oleh masyarakat Malaysia. Saya berasa cukup teruja untuk menulis kepada saudara tentang kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan di negara saya. Apatahlah lagi, sudah dua tahun sambutan penuh bermakna ini agak suram lantaran pandemik Covid-19.
 
            Sambutan Bulan Kebangsaan saban tahun secara rasminya bermula dari tanggal 17 Ogos hingga 16 September. Sebagai makluman saudara, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957 manakala Malaysia dibentuk pada tarikh 16 September 1963. Dalam tempoh waktu sebulan sambutan ini, rakyat Malaysia akan mengibarkan Jalur Gemilang. Jalur Gemilang merupakan bendera rasmi Malaysia yang terdiri daripada empat warna, iaitu merah, putih, kuning serta biru. Pada masa Bulan Kebangsaan ini, Jalur Gemilang akan berkibar megah di semua premis kerajaan, bangunan perniagaan, rumah kediaman serta tidak ketinggalan pada kenderaan yang lalu-lalang di atas jalan raya.
 
            Aura Bulan Kebangsaan juga dirasai di institusi pendidikan. Misalnya, di sekolah saya sendiri pelbagai aktiviti sempena Bulan Kebangsaan diadakan. Antaranya pertandingan melukis poster tokoh kemerdekaan, deklamasi puisi patriotik, pertandingan koir lagu kenegaraan dan kuiz kemerdekaan. Semua aktiviti ini biasanya dikendalikan oleh guru dan ahli Kelab Sejarah dan Kelab Rukun Negara. Pada tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan diadakan ekoran wabak Covid-19, kebanyakan pertandingan ini diadakan secara dalam talian. Menariknya, semua aktiviti ini disediakan hadiah yang lumayan. Saya sendiri tidak ketinggalan menyertai kuiz kemerdekaan dan pernah mendapat tempat kedua pada tahun lalu.
 
            Pada peringkat kebangsaan pula, hari kemuncak disambut pada tanggal 31 Ogos. Sambutan pada peringkat kebangsaan biasanya akan didakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Sambutan ini akan dihadiri oleh ribuan pelancong. Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuklah perbarisan dan perarakan oleh pelbagai organisasi dan agensi sama ada melibatkan badan kerajaan serta badan bukan kerajaan. Selain itu, pertunjukan udara oleh Angkatan Tentera Udara Malaysia merupakan antara acara yang ditunggu-tunggu ramai. Tidak ketinggalan persembahan muzik turut menyerikan majlis dengan suntikan pelbagai tradisi dan budaya yang terdapat di Malaysia.
 
Saudara,
 
            Serasanya cukup dahulu wadah yang saya kongsikan tentang nuansa sambutan Bulan Kebangsaan di Malaysia. Bersama-sama surat ini, saya sertakan beberapa keping foto saya semasa menyambut Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka beberapa tahun lepas. Semoga perkongsian saya ini dapat memenuhi keinginan awak untuk mengetahui suasana sambutan Bulan Kebangsaan di Malaysia. Saya menantikan respons daripada awak. Sekian dahulu di sini, salam mesra bersulam kasih.
 
Sahabatmu,
Adriana As-Saffah
 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!