Info Semasa

6/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Resensi Novel Proposal Cinta Selamanya Karya Rose Harissa

 

Judul: Proposal Cinta Selamanya
Penerbit: Idea Kreatif Publication
Penulis: Rose Harissa
Tahun: Ogos 2023
Bilangan Halaman: 685 muka surat
 
Ulasan:
Cinta itu tak selamanya manis. Ada ketikanya cinta itu hadir bersalut duka. Diputuskan hubungan dengan alasan tidak sekufu merupakan suatu tamparan buat Amyra sekali gus membuatkan Amyra tidak mahu lagi suatu perhubungan main-main cinta tanpa ikatan yang sah. Berjumpa dengan Zaim di site menumbuhkan rama-rama yang berkepak dalam hati, meski Amyra cuba menafikan namun tarikan pesona Zaim mampu menembusi hati. Dalam suasana yang sama hadir pula Leo dengan sisi yang menarik bagi Amyra untuk diteroka. Sudahnya Amyra di persimpangan dilema apabila hadir dua lamaran serentak. Antara Leo yang menghantar proposal cinta selamanya atau Zaim yang menghantar rombongan meminang, mana satu agak-agaknya dipilih Amyra? Semuanya akan terjawab dalam naskhah Proposal Cinta Selamanya karya Rose Harissa.
 
Novel Proposal Cinta Selamanya merupakan reprint menggunakan penerbit baharu iaitu Idea Kreatif Publication. Rose Harissa bukan nama baharu dalam dunia penulisan. Banyak karya beliau dalam pasaran. Saya sendiri sudah membaca beberapa karya beliau terutamanya selepas beliau berkolaborasi bersama Idea Kreatif Publication. Justeru, tak hairanlah apabila saya terlepas novel Proposal Cinta Selamanya terbitan Kaki Novel pada tahun 2015 dahulu, apatah lagi tahun-tahun itu merupakan tahun awal dalam karier dan masih mencari rentak kerjaya menyebabkan saya meninggalkan terus dunia novel.
 
Membaca Proposal Cinta Selamanya ini ada suatu rasa macam air, yakni sifatnya mengalir. Makin dibaca makin laju rasa debar dalam hati. Makin dibaca makin banyak yang membuatkan minda tercari-cari akan kesudahannya. Ada bahagian dalam cerita ini membuatkan kita tersenyum. Ada bahagian pula membuatkan kita tersentuh. Tak kurang juga membuatkan kita geram. Sejujurnya saya tidak suka dengan pilihan Amyra. Saya cuba mencari komen pembaca di Goodreads sementelahan novel ini sudah lama. Ya, ada juga komen yang sependapat saya meski satu atau dua. Paling geram kenapakah perlu ‘dikotorkan’ Zaim dengan sebegitu rupa di hujung cerita. Kasihan juga Irina sebab wataknya juga tidaklah menjengkelkan tahap dewa sekadar mengungkapkan perwatakan seorang anak gadis kaya dan manja barangkali.
 
Makanya, hujung-hujung menuju peleraian ketika sudah tahu siapa pilihan hati Amyra terasa ‘lambat’ pula nak habiskan pembacaan, barangkali mungkin kecewa dengan pilihan Amyra. Bukan sebab apa hati ini sebenarnya terpaut dengan karakter Tan Sri Jai dan Puan Sri Zahara. Orang kaya yang hatinya persis orang biasa. Tapi nak buat macam mana dah begitu ending-nya, terima sajalah! 😂 Apa-apapun saya amat suka dengan latar kerjaya yang dibentangkan dalam keseluruhan novel ini. Dunia arkitek dan hiasan dalam diadun cantik, mungkin sebab saya minat hiasan dalaman maka saya mudah serasi larut dalam dunia kerjaya yang dibawa oleh penulis dalam novel ini.
 
Bagi yang belum pernah membaca novel ini atau sudah membaca dan mahu menjadikan Proposal Cinta Selamanya sebagai salah sebuah koleksi novel, maka inilah peluangnya untuk memiliki Proposal Cinta Selamanya terbitan Idea Kreatif Publication yang boleh didapati menerusi platform jual beli dalam talian langsung daripada penerbit atau mana-mana dropship novel dipercayai!
             
Kesimpulan:
★★★★★

Post a Comment

0 Comments