MORFOLOGI
PERCUBAAN SPM 2023 (KELANTAN)
Baca
petikan di bawah dengan teliti. Kenal pasti dan senaraikan empat kata akronim. Kemudian anda
dikehendaki membina satu ayat anda sendiri daripada setiap perkataan yang
dipilih untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda
tidak boleh menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
Industri
perfileman tempatan dalam pelbagai genre cukup meriah sepanjang 2018. Purata
kutipan tayangan filem-filem itu melebihi RM150 juta. Industri ini dijangka
semakin meriah dengan kemunculan filem adaptasi bukan sahaja daripada novel
tetapi juga daripada cerpen. Contohnya karya penulis Jepun, Haruki Murakami
telah membuktikan filem adaptasi dari genre ini berjaya memenangi lima Anugerah
Oskar. Filem tersebut ditayangkan di seluruh pawagam negaranya. Cerpen Bagai
Sarang Burung di Ranting karya Sasterawan Negara Arena Wati yang bertemakan
hidup bermuafakat telah diiktiraf oleh Gabungan Penulis Nasional (GAPENA)
sebagai antara nukilan terbaik. Kita yakin, matlamat Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) dalam memperjuangkan hak asasi manusia akan tercapai jika karya
ini diadaptasi kepada filem. Oleh itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
(FINAS) perlu bertanggungjawab dalam mengangkat karya penulis tempatan ke
peringkat global.
[8 markah]
Akronim ialah kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama
atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai satu perkataan.
Akronim dikategorikan sebagai kata tunggal.
Berikut merupakan lima jenis akronim:
- Gabungan beberapa huruf awal – JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam)
- Gabungan suka kata dengan suku kata daripada beberapa perkataan –
Motel (Motoris Hotel)
- Gabungan beberapa suku kata dan huruf awal perkataan – INTAN (Institut Tadbiran Awam Negara)
- Gabungan suku kata dengan perkataan penuh – purata (pukul rata)
- Gabungan bahagian kata secara bebas – Petronas (Petroleum Nasional)
Dalam soalan morfologi di atas, terdapat enam akronim yang dapat dikenal pasti
seperti berikut:
- purata
- cerpen
- pawagam
- GAPENA
- PBB
- FINAS
Contoh ayat menggunakan akronim:
- Penyanyi lelaki dari Singapura yang menyertai pertandingan nyanyian Gegar Vaganza tersingkir semalam apabila memperoleh purata markah terendah berbanding peserta lain.
- Zaqir Irfan gemar membaca cerpen bertemakan misteri ketika waktu lapang.
- Suziana sekeluarga akan meluangkan masa menonton filem terkini di pawagam pada setiap hujung bulan.
- GAPENA akan menganjurkan pertandingan menulis puisi sempena sambutan bulan kebangsaan pada bulan hadapan.
- Suatu sidang tergempar PBB telah diadakan semalam bagi membincangkan konflik antara Israel dan Palestin yang semakin meruncing.
- FINAS akan mengadakan bengkel menulis skrip drama bertempat di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

