Resensi Novel Jahan Karya Emy Roberto

Cikgu Muzz
oleh -
0
 

Judul: Jahan
Penulis: Emy Roberto
Penerbit: Idea Kreatif Publications
Tahun: Julai 2023
Bilangan Halaman: 278 muka surat
 
Ulasan:
Membaca naskhah tulisan Emy Roberto bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, semua tulisan beliau yang dibukukan tersimpan kemas dalam simpanan, ada yang sudah dibaca dan ada juga yang masih belum terusik meski sudah lama diterbitkan. Ya, mencari masa dan mood yang sesuai untuk membaca sangat penting agar sesebuah karya itu tidak terhukum dek rasa kendiri yang menjunam ke laut dalam.
 
Berbicara tentang Jahan, aura seorang Emy Roberto sangat kuat meski seawal helaian yang disingkap. Boleh kata plot ceritanya ada roller-coaster. Ada ketika lucu menjentik hati. Ada masa geram juga membekas dalam jiwa. Walau apapun rasa yang menjengah, pendek kata Jahan mendapat adunan yang sebati dalam membuai rasa dan emosi pembaca.
 
Kahwin paksa mungkin terasa biasa, tetapi jika diteliti dan dibaca dengan hati, kahwin paksa yang dialami Alia, iaitu watak utama dalam novel ini memang lain daripada lain. Seketika terasa seperti menonton satu babak dalam filem Bollywood atau Kollywood, biasalah bab gangsterisme bukankah filem-filem di sana tapau habis dengan heroin akan menjadi mangsa? Eh, melalut pula!
 
Jahan ialah lelaki yang dipilih oleh Tuan Ramli untuk menyelamatkan Alia yang menjadi sasaran Zoey. Namun salah faham demi salah faham menjadikan Alia menjadi sosok isteri yang gagal memahami isi hati seorang suami yang sedari awal mencintainya. Ya, Jahan sudah jatuh cinta pandang pertama lama dahulu dengan Alia ketika bersua tanpa sengaja di luar negara. Maka tidak hairanlah lelaki itu bersetuju untuk menikahi Alia yang sangatlah ‘brutal’ sebab sanggup menyamar jadi pontianak untuk melarikan diri daripada bertemu dengan bakal suami!
 
Nak cerita banya-banyak tak best lah pula kan? Cumanya kalau nak tambah, saya agak suka dengan watak-watak tambahan dalam naskhah ini. Azwan, Tiara, Brandon; kehadiran watak-watak ini jadi penyeri, nak lagi si Azwan! Hahahah...
 
Kalaupun ada yang kurang dalam hati sebagai pembaca ialah pada bahagian peleraian. Jauh di sudut hati terasa alangkah lebih lengkap jika momen Tuan Ramli dan Alia yang kembali jernih, hubungan anak dan bapa yang mesra dan penuh kasih sayang diungkapkan secara nyata tanpa perlu pembaca membuat kesimpulan sendiri dalam minda.
 
Apa-apaun, JAHAN, terbaik! Sebagai peminat ,naskhah tulisan doktor perubatan yang baharu menjadi ibu ini pasti akan menghuni rak buku. Bagi yang belum pernah membaca tulisan Emy Roberto, Jahan terbitan Idea Kreatif Publication ini boleh jadi langkah pertama kepada anda untuk ‘mencintai’ hasil tulisan penulis ini.
 
Kesimpulan:
★★★★
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)