Semenjak negara kita dihambat dengan kemajuan teknologi dan perindustrian yang hampir setaraf dengan negara maju yang lain, kita acap kali tidak sedar bahawa segala perkara ini tidak akan tercapai tanpa kehadiran insan yang bergelar ibu bapa. Hal ini tidak wajar dipandang enteng kerana merekalah yang telah menjaga kita sejak usia muda lagi tanpa sebarang perasaan lelah seperti menatang minyak yang penuh. Seorang tokoh Islam Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada anak-anaknya agar berbuat baik kepada ibu bapa. Oleh itu, sebagai seorang anak kita perlulah melakukan variasi cara untuk menghargai jasa ibu bapa. Persoalannya, apakah cara-cara tersebut?
Sebagai pembuka tirai perbincangan, cara signifikan yang mampu kita lakukan ialah dengan menzahirkan sokongan emosi yang efektif kepada ibu bapa. Hal ini harus dipertimbangkan kerana mereka juga mempunyai perasaan dan akan terasa hati jikalau berlaku sesuatu perkara yang negatif terhadap mereka. Selain itu, sokongan seorang anak pasti dapat mengelakkan mereka berasa sunyi ataupun terpinggir. Tamsilnya, kita boleh menziarahi ibu bapa sewaktu mempunyai waktu lapang dan menghubungi mereka bagi mengetahui keberadaan mereka biarpun kita berada jauh. Natijahnya, ikatan kekeluargaan dapat diperkukuhkan di samping dapat berkongsi cerita bersama-sama. Jelaslah bahawa anak-anak perlu menjaga emosi ibu bapa bagi mewujudkan keluarga yang harmoni.
Selain itu, cara lain yang tidak dapat disangkal ialah kita boleh membawa ibu dan bapa melancong ke destinasi idaman mereka. Perkara ini penting kerana sewaktu kita masih kecil, merekalah yang sering membawa kita bercuti ke merata-rata tempat. Kini, kita pula yang perlu membalas segala pengorbanan dari segi wang ringgit, masa dan tenaga yang telah disumbangkan oleh mereka kepada kita dahulu. Contohnya, kawasan tarikan pelancong di Malaysia yang menarik seperti Tanah Tinggi Cameron wajar dijadikan pilihan buat ibu bapa. Impaknya, bukan sahaja kita dapat mempersembahkan pengalaman berharga yang baru untuk dirasai oleh mereka malahan sektor pelancongan dan ekonomi negara juga dapat disokong, bak kata pepatah Melayu yang berbunyi sambil menyelam minum air bertepatan dengan manfaat yang diperoleh daripada situasi tersebut.
Sebagai penutup tirai perbincangan, sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa memainkan peranan besar dalam memastikan anak-anak hidup selesa dan mempunyai jati diri yang terbilang. Maka, hargailah dan kasihilah ibu bapa persis mereka yang pernah berbuat perkara yang sama kepada kita. Namun begitu, janganlah kita mengamalkan sikap sesetengah pihak yang membuang ibu bapa mereka tanpa sedikitpun rasa kesal. Insan yang berani derhaka kepada ibu bapa mereka pasti akan menanggung akibatnya. Konklusinya, amalkanlah apa-apa cara yang termampu bagi menghargai ibu bapa agar institusi kekeluargaan kita dapat kekal dengan aman dan harmoni.