Strategi 13 Minit Perbincangan Kumpulan Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM

Cikgu Muzz
oleh -
0



Kalau anda merupakan calon SPM 2024 dari negeri Pulau Pinang, pasti anda ada mendengar pesanan guru di sekolah bahawa Ujian Bertutur Bahasa Melayu (UBBM) berkumpulan nanti bercakap hanya gunakan satu fokus sahaja. Maksudnya, jika soalan bertanyakan punca-punca kemalangan jalan raya, maka calon hanya perlu membincangkan tentang punca sahaja; pentaksir tak mahu mendengar anda bercakap tentang kesan kemalangan jalan raya atau langkah untuk menangani kemalangan jalan raya.

Persoalannya, jika benar kaedah pentaksiran yang akan digunakan dalam UBBM berkumpulan tahun 2024 seperti yang dinyatakan di atas, bagaimanakah anda mampu memastikan perbincangan kumpulan tersebut bertahan selama 12 hingga 15 minit hanya bersandarkan satu fokus sahaja?

Jawapannya, mudah! Anda harus bercakap seolah-olah sedang menulis sebuah perenggan isi karangan yang lengkap.

Mari kita buat pembahagian masa sebuah perbincangan kumpulan dengan durasi masa 13 minit. Sebuah kumpulan UBBM biasanya dianggotai oleh 4 orang calon. Sesi pengenalan diri boleh dihitung 15 saat seorang; keseluruhannya 1 minit untuk sesi pengenalan diri semua ahli kumpulan. Bagi kesimpulan pula, seorang 30 saat menjadikan sesi kesimpulan bagi sebuah kumpulan ialah 2 minit.

Nah, sekarang berbaki 10 minit sahaja lagi. 10 minit ini apabila dibahagikan kepada 4 calon, maka seorang calon hanya perlu bercakap sekitar 2 minit 30 saat sahaja dalam UBBM berkumpulan. Masa yang cukup pendek sebenarnya.

Mari kita atur lagi strategi.
  1. Ayat Isi (30 saat)
  2. Ayat Huraian (30 saat)
  3. Ayat Contoh (30 saat)
  4. Ayat Kesan (30 saat)
  5. Ayat Penegasan (30 saat)
Salah satu tip untuk memanjangkan perbincangan ialah dengan menambahkan contoh. Jika anda berasa huraian anda tidak cukup mantap, maka ambil peluang untuk tambahkan contoh, supaya jumlah masa 2.5 minit itu dapat dicapai. Oleh yang demikian, sesi perbincangan kumpulan dapat berlangsung dalam satu pusingan sahaja dengan lancar.

Semoga panduan dan cadangan yang dikongsikan menerusi entri ini dapat membantu calon SPM yang bakal menduduki UJIAN BERTUTUR BAHASA MELAYU.

Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)