4 Jawapan Kitar Semula Berserta Peribahasa; Elak Membisu Dalam Ujian Bertutur Bahasa Melayu

Cikgu Muzz
oleh -
0
 

Rasa gementar dan gugup, tiba-tiba tiada idea; tidak tahu untuk berkata apa-apa, sudahnya geleng kepala tak tahu. Situasi sebegini bukanlah perkara baharu dalam pentaksiran Ujian Bertutur Bahasa Melayu sama ada dalam taksiran individu atau taksiran berkumpulan.

Biasanya, dalam taksiran individu calon akan berada dalam situasi di atas khususnya ketika menjawab soalan ketiga dan soalan keempat, iaitu soalan KBAT. Dalam taksiran kumpulan pula, ramai calon yang akan berhadapan dengan situasi tersebut sehingga hanya mampu mengeluarkan pendapat kurang 30 saat dengan hanya beberapa patah perkataan sebelum diserahkan kepada rakan kumpulan yang lain.

Menerusi entri kali ini, cikgu ingin berkongsi beberapa jawapan kitar semula yang boleh digunakan secara PASANG-UBAH-SUAI untuk menjawab pelbagai soalan yang KBAT dan soalan ujian bertutur berkumpulan.

Calon boleh menghafal atau mengingat jawapan-jawapan di bawah ini, kemudian pasangkan dengan soalan yang ditanya oleh pentaksir; seterusnya ubah suai mengikut kehendak soalan yang diajukan. Sebagai bonus, cikgu sedia memberikan satu peribahasa dalam setiap cadangan jawapan kitar semula ini. Semoga membantu dan bermanfaat!

(ads)

SOALAN
Nyatakan peranan / tugas / tanggungjawab sesebuah pihak untuk menyelesaikan sesuatu isu / masalah.

SOALAN
Nyatakan langkah / cara / kaedah / usaha yang boleh dilakukan oleh sesebuah pihak untuk menyelesaikan sesuatu isu / masalah.

JAWAPAN

Pihak ibu bapa hendaklah mengambil inisiatif awal dalam mendidik anak-anak bagi memahami isu ini sejak kecil. Tanggungjawab mendidik anak dari kecil sememangnya merupakan tugas utama ibu bapa dan perlu dimulakan ketika anak-anak masih kecil. Hal ini bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Pihak sekolah perlulah mengadakan variasi aktiviti yang bersesuaian dengan isu ini. Misalnya, aktiviti kokurikulum perlu dimanfaatkan agar murid dapat disemai dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran berkenaan isu ini. Hal ini persis peribahasa sambil menyelam minum air kerana dua objektif dapat direalisasikan menerusi satu aktiviti.

Pihak media massa tidak boleh memandang sepi akan isu yang sedang dibincangkan ini. Media massa menerusi platform media elektronik perlu digunakan sebaik mungkin dalam menyebarkan maklumat berkenaan isu ini kepada khalayak umum. Apabila maklumat tentang isu ini dapat dicapai oleh segenap lapisan masyarakat maka situasi katak di bawah tempurung dalam kalangan masyarakat sehingga tidak cakna akan isu ini dapat dielakkan.

Pihak kerajaan pula haruslah mengambil inisiatif dalam menganjurkan kempen mega berkenaan isu ini. Kempen yang direncanakan semestinya perlu mempunyai objektif yang boleh dicapai dan tidak dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Hal ini dikatakan demikian kerana kempen yang efektif mampu memberi impak besar kepada masyarakat untuk memahami akan isu ini.


Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)