Perlukah Huraian Untuk Soalan KBAT Taksiran Individu UBBM SPM?

Cikgu Muzz
oleh -
0
 


UJIAN BERTUTUR BAHASA MELAYU SPM 2024 akan bermula pada 2 Disember 2024. Pastinya debaran mula menghantui para calon SPM tahun ini. Jom, kita imbas kembali persediaan UBBM untuk taksiran individu.

Pertama sekali, calon akan diberikan petikan kefahaman di Bilik Menunggu. Di sini, calon akan membaca secara senyap sambil diawasi oleh pengawas bertugas. Setelah cukup masa, calon akan membawa petikan kefahaman tersebut ke Bilik Pentaksiran. Di dalam Bilik Pentaksiran, masa selama 5 minit diperuntukkan merangkumi tempoh masa untuk membaca petikan secara kuat dan menjawab empat soalan.

Soalan pertama dan kedua, jawapannya ada dalam petikan. Cara paling mudah untuk menjawab kedua-dua soalan ini, dengar betul-betul semua perkataan yang keluar daripada mulut pentaksir ketika mengajukan soalan. Gunakan mata untuk analisis perkataan-perkataan dalam petikan kefahaman yang sama dengan  soalan yang diajukan oleh pentaksir. Di situlah akan ada jawapan.

(ads)

Bagi soalan ke-3 dan soalan ke-4 jawapan yang diperlukan ialah jawapan sendiri yang perlu difikirkan oleh calon. Kedua-dua soalan KBAT ini mesti dijawab dengan betul sekiranya calon ingin memperoleh markah dalam kategori cemerlang atas untuk taksiran individu UBBM.

Meskipun satu isi memadai untuk kedua-dua soalan KBAT, namun dinasihatkan supaya calon mengemukakan lebih daripada satu isi. Hal ini bertujuan sebagai isi tambahan sekiranya isi pertama sipi tepat, kurang tepat atau tidak tepat; setidak-tidaknya masih punya satu lagi isi yang boleh dipertimbangkan oleh pentaksir untuk diberi markah.

Berkenaan huraian pula; calon juga digalakkan untuk memberikan sedikit huraian bagi memantapkan kejelasan isi. Hal ini bertujuan demi memastikan calon boleh diberi markah dalam kategori cemerlang atas tanpa dipersoalkan oleh mana-mana antara kedua-dua pentaksir. Almaklumlah, ada dalam kalangan pentaksir yang cerewet dan ada juga yang lebih mudah untuk memberi markah. Oleh itu, dengan isi yang tepat serta sokongan huraian yang mantap, sekiranya ditakdirkan bertemu dengan pentaksir yang cerewet; setidak-tidaknya calon sudah bersedia lebih awal.

Semoga berjaya dengan cemerlang dalam UBBM SPM untuk semua calon SPM 2024!

Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)