Buat kesimpulan dalam UBBM tak ada markah? Perlukah berpantun semasa pengenalan diri? Berapa pusingan sebenarnya dalam Ujian Bertutur Bahasa Melayu taksiran kumpulan? Berapa minit saya perlu bercakap? Berapa banyak isi yang perlu saya beri? Dan banyak sungguh persoalan lain...
Kadang-kadang sehari dua sebelum UBBM SPM bermula macam-macam soalan yang sebelum ini tak timbul, tiba-tiba akan ada; sama ada bersemuka atau dalam WhatsApp. Biasalah, dunia tanpa sempadan dan zaman sains teknologi ini seseorang murid itu mempunyai pelbagai akses untuk menerima maklumat.
Contohnya, salah seorang murid baru-baru ini memberitahu tak perlu beri peribahasa ketika bertutur, tak ada markah. Hari ini pula ada seorang murid bertanya, betulkah kesimpulan tak ada markah?
Secara peribadinya, cikgu tak gemar langsung guna istilah ‘tak ada markah’ dalam UBBM. Sudah namanya pun ujian bertutur, kalau awak bertutur yang ada kaitan dengan soalan, takkanlah tak menyumbang langsung markah kepada awak?
Misal kata awak dapat tajuk langkah-langkah menangani kemalangan jalan raya. Kemudian, awak selitkan peribahasa dan ungkapan seperti pandu cermat jiwa selamat; sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna dan lain-lain. Relevan tak? Ada kaitan dengan tajuk tak? Ada kan? Tentu sahaja boleh menaikkan tanggapan pentaksir.
Begitu juga dengan kesimpulan. Sudah menjadi lumrah setiap yang bermula pasti akan berakhir. Jika pada awal awak ungkapkan seringkas ‘Terdapat beberapa punca kemalangan jalan raya yang boleh dibincangkan’ sebagai mukadimah, takkanlah awak tak mampu nak akhiri perbincangan dengan kesimpulan ringkas ‘Konklusinya, kita hendaklah berhati-hati di jalan raya’?
Ringkasnya, pemberian markah UBBM taksiran kumpulan ini bersifat holistik, mengambil kira beberapa faktor. Ya, tentu sahaja aspek paling dominan ialah awak menjawab kehendak soalan. Isi-isi yang awak kemukakan itu seperti adunan sebiji kek. Maka, kek itu perlu lembut dan sedap terlebih dahulu. Selebihnya seperti pantun pembukaan, madah penggiliran calon, pendahuluan ringkas, kesimpulan ringkas, ungkapan, peribahasa, variasi penanda wacana dan lain-lain yang awak dengar dari luar sana itu seperti hiasan kek yang telah dibakar tadi. Kalau ada maka sempurnalah kejadian kek, sudahlah lembut dan sedap; cantik dan menarik pula kejadiannya pada pandangan mata.
Oleh itu, persediaan isi-isi itu jauh lebih penting; kerana hiasan kek sahaja cantik, tetapi keknya bantat, keras, dan tawar tiada rasa tidak berguna sama sekali.
Akhir kata, buat calon SPM di luar sana, tenangkan diri, tarik nafas dalam-dalam. Lepas perlahan-lahan. Dapat sahaja tajuk perbincangan kumpulan. Atur strategi, agihkan isi. Pilih isi yang dekat dengan diri. Beri banyak contoh yang berkaitan. Bertuturlah ikut kemampuan masing-masing. Yang penting, anda buka mulut dan bercakap.
Cikgu doakan yang terbaik buat semua calon SPM 2024 di luar sana.