Contoh Karangan Langkah Penjagaan Alam Sekitar (Karangan Cemerlang SPM 2023)

Cikgu Muzz
oleh -
0


LANGKAH-LANGKAH PENJAGAAN ALAM SEKITAR

Pada zaman pascakemerdekaan ini, negara kita kian membangun umpama timbul sama hanyut tenggelam sama basah seiring dengan negara maju yang lain. Namun begitu, khazanah alam kita kian terhakis saban hari angkara tangan manusia. Flora dan fauna diancam kepupusan serta hidupan liar kehilangan habitat. Siapakah yang harus dipersalahkan atas kemusnahan ini jika bukan diri kita sendiri? Oleh hal yang demikian kita perlulah melakukan prakarsa yang sewajarnya bagi mempertahankan alam sekitar anugerah Tuhan ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah penjagaan alam sekitar?

Sebagai pembuka tirai perbincangan, usaha yang boleh dilakukan untuk menjaga alam sekitar adalah dengan menggunakan semula bahan-bahan terbuang. Hal ini dikatakan demikian kerana pembuangan sisa bahan-bahan gunaan yang tidak terkawal mengundang pelbagai implikasi buruk. Tamsilnya, plastik dan straw minuman yang dibuang di merata-rata tempat seperti di tepi pantai telah menjadi duri dalam daging sehinggakan menjadi ancaman kepada spesies fauna tertentu, umpamanya penyu. Tambahan pula, bahan plastik bukan sahaja mengundang pencemaran di dalam lautan tetapi juga di daratan kerana cawan dan botol plastik boleh mengambil masa selama 450 tahun untuk reput.  Oleh hal yang demikian, sisa buangan yang boleh digunakan semula seperti botol plastik seharusnya dioptimumkan jangka hayatnya seperti digunakan sebagai bahan hiasan. Tuntasnya, jelaslah kitar semula bahan buangan yang  boleh digunakan semula merupakan salah satu alternatif untuk penjagaan alam sekitar.

(ads)

Mauduk seterusnya ialah kita perlu menjaga kebersihan sungai pada setiap masa. Hal ini dikatakan demikian kerana sungai merupakan sumber air utama untuk manusia dan habitat untuk pelbagai hidupan akuatik. Bagi memastikan kebersihan sungai sentiasa terjamin, kita boleh mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan sungai bersama-sama penduduk di kawasan kejiranan. Apabila semua penduduk bekerjasama, kerja pembersihan sungai dapat dilakukan dengan lebih efektif kerana bersatu teguh, bercerai roboh. Selain itu, pihak kerajaan juga boleh mendidik rakyat melalui pelaksanaan kempen Cintailah Sungai Kita. Kempen ini dapat menimbulkan kesedaran masyarakat Malaysia tentang kepentingan memelihara sungai. Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa memelihara kebersihan sungai merupakan langkah penting untuk menjamin kelestarian alam sekitar.

Menerusi idea yang terakhir, langkah penjagaan alam sekitar adalah dengan memelihara kawasan bukit dan gunung di negara kita. Pada masa ini, bukit-bukau dan gunung-ganang sering diratakan bagi tujuan pembinaan bandar baharu serta perindustrian. Sekiranya senario ini dibiarkan berterusan, perbuatan ini akan mengakibatkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa manusia. Oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat dan mengenakan hukuman terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan kerosakan alam ini. Kerajaan juga mestilah mengisytiharkan kawasan bukit dan gunung sebagai kawasan larangan bagi menjamin habitat flora dan fauna. Kesimpulannya, alam sekitar dapat dipelihara dengan menjaga kawasan bukit dan gunung daripada kemusnahan.

Sebagai penghias bicara akhir, semua pihak perlulah berganding bahu umpama sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk dalam usaha menjaga alam sekitar. Kita hendaklah mempunyai kesedaran untuk mempertahankan alam sekitar kerana alam sekitar merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai dan tiada gantinya. Sekiranya semua pihak memberikan komitmen yang menyeluruh, kita dapat memelihara alam sekitar agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Ayuhlah generasi pemangkin masa hadapan menongkah segala rintangan agar kejayaan dapat digenggam erat.

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)