Ketua Jabatan boleh menetapkan tatacara pemakaian pakaian dan penampilan yang dilarang mengikut kesesuaian tugas dan aktiviti yang hendak dilaksanakan. Walau apa-apapun ketetapan oleh Ketua Jabatan, pegawai awam adalah dilarang daripada pemakaian pakaian dan penampilan seperti yang berikut:
- Pakaian mencolok mata seperti pakaian yang ketat, terdedah dan jarang sehingga menampakkan bentuk badan dan pakaian dalam.
- Pakaian tidak berlengan.
- Menutup muka (kecuali pemakaian pelitup muka atas sebab kesihatan).
- Pakaian dan aksesori dengan cetakan yang tidak sesuai seperti logo, gambar atau slogan yang bercirikan unsur politik, ganas, seram, lucah dan yang seumpamanya.
- Pakaian dari jenis denim (seperti jeans atau jaket), khakis, corduroy, kulit atau yang seumpamanya.
- Selipar, sandal, capal dan kasut sukan (kecuali atas sebab kesihatan atau terdapat keperluan mengikut kesesuaian tugas dan dibenarkan oleh Ketua Jabatan).
- Dipadankan dengan aksesori, barang kemas atau perhiasan yang berlebihan.
- Dipadankan dengan aksesori yang tidak bersesuaian seperti pegawai lelaki memakai subang.
- Dandanan rambut dengan warna yang tidak sesuai bagi pegawai lelaki dan wanita seperti dandanan rambut berwarna merah, biru dan ungu.
- Tren rambut punk, qaza’, skinhead atau yang seumpamanya.
- Panjang janggut melebihi 2 inci, jambang tidak dirapikan dan misai melebihi bahagian atas bibir.
- Mencacah tatu atau menindik secara berlebihan di bahagian badan yang jelas kelihatan (kecuali yang berkaitan dengan adat resam kaum).
- Berkuku panjang, berwarna atau dihias secara berlebihan.