Spesifikasi Tanda Nama Guru Dan Penjawat Awam Mulai 2025

Cikgu Muzz
oleh -
0
 

Semua kakitangan awam atau pegawai awam persekutuan perlu memakai tanda nama mengikut spesifikasi baharu yang mempunyai Jata Persekutuan bermula tahun 2025 seperti dalam surat siaran bertarikh 6 Januari 2025, PEKELILING PERKHIDMATAN SUMBER MANUSIA (MyPPSM) CERAIAN U.P.7.2.3: ETIKET PAKAIAN DAN PENAMPILAN PEGAWAI AWAM. 

Setiap pegawai awam hendaklah sentiasa memakai tanda nama ketika bertugas berdasarkan ketetapan seperti yang berikut:
  • Semua tanda nama hendaklah dibuat daripada plastik dengan huruf berwarna putih berlatarbelakangkan hitam dan berukuran 7.5 cm x 2.5 cm berserta Jata Persekutuan.
  • Penggunaan nama yang konsisten di tanda nama hendaklah digunakan sepanjang perkhidmatan seperti bagi pegawai yang bernama Raja Nur Amani Aminah, jika pegawai memilih ‘Aminah’ untuk digunakan sebagai tanda nama, maka pegawai tersebut hendaklah menggunakan nama yang sama sepanjang perkhidmatan pegawai.
  • Tidak ada had huruf dan saiz yang dikenakan dan sekiranya berlebihan ia hendaklah dipendekkan atau dikecilkan dalam ukuran tanda nama yang telah ditetapkan.
  • Apa-apa gelaran darjah kebesaran, profesion, nama bapa dan inisial (initial) tidak boleh dituliskan.
  • Nama jawatan dan logo Jabatan tidak boleh dimasukkan dalam tanda nama berkenaan.
  • Tanda nama hendaklah disematkan di pakaian di bahagian dada sebelah kiri (kecuali bagi pasukan beruniform tertentu).
  • Tanda nama hendaklah diasingkan daripada pas keselamatan.
Perolehan tanda nama bagi pegawai lantikan kali pertama dan bagi Jabatan yang terpaksa menukar tanda nama bagi mengikut ketetapan di bawah Ceraian ini boleh menggunakan peruntukan Jabatan masing-masing. Kos penggantian tanda nama yang rosak atau hilang hendaklah ditanggung oleh pegawai.

Memandangkan Jata Persekutuan adalah hak Kerajaan Persekutuan, pemakaian tanda nama yang ditetapkan bersama Jata Persekutuan adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan dan penggunaannya dihadkan kepada Kementerian, Jabatan dan pegawai-pegawai Persekutuan apabila bertindak atas urusan rasmi masing-masing. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan atau Pertubuhan-Pertubuhan Kebangsaan tidak boleh menggunakan Jata Persekutuan.
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)