Resensi Novel Suami Terbaik Buat Raissa Karya Sasasera

Cikgu Muzz
oleh -
0
 
 
Suami Terbaik Buat Raissa

Judul: Suami Terbaik Buat Raissa
Penulis: Sasasera
Penerbit: RMA Studio
Tahun: Oktober 2024
Bilangan Halaman: 353 muka surat
 
Intro:
Suami Terbaik Buat Raissa, novel ini saya tahu kewujudannya selepas cetakan pertama habis. Ketika itu saya terlihat satu hantaran sis Liza di Facebook tentang novel ini. Sis Liza merupakan seorang DS Novel otai, dah lama saya kenal menerusi platform media sosial tersebut. Antara ingat dan lupa, apa yang saya boleh ringkaskan tulisan sis Liza di sini adalah “Satu lagi karya Sasasera yang best, sama best dengan e-book beliau”. Lebih kuranglah ya, ayatnya. Ketika itu, nama Sasasera pun saya tak kenal, apatah lagi e-book, best macam mana sekalipun memang bukan pilihan saya yang bermata empat ini. Ketika itu juga, saya skodeng akaun RMA Studio, nampaknya buku ini juga akan ditampilkan dalam versi e-book, namun nasib baik cetakan kedua dalam versi fizikal akan berjalan juga; jadi saya terus preorder di Shopee. Fuh, panjang mukadimah tentang cara boleh kenal dan tahu novel Suami Terbaik Buat Raissa.
 
9 dan 10 Januari lalu saya ada ikut lawatan ke Kuala Lumpur, ikut sekali dengan budak-budak; 2 bas. Kembara Ilmu lawatan sambil belajar dua hari sebagai salah satu program selepas UASA bersama-sama murid Tingkatan 1 hingga 3 anjuran Unit Kokurikulum dan Pusat Sumber Sekolah; Di mana ada kaitan dengan buku, pastinya ada diriku di situ kan? Hahaha... Jadi, saya bawalah novel Suami Terbaik Buat Raissa ni sekali, masukkan dalam pouch bag lagi, takut terkemek bucu dan kulit, mahu menangis tak berlagu. Tapi itulah, dalam bas memang tak boleh baca sebab pening; dekat Bangi Guess House tu, belek dua muka surat saja mampu, letih amat; memang tidur terus malam tu.
 
Sudahnya bawa balik semula novel Suami Terbaik Buat Raissa ke Penang, tunggu cuti sekolah mula; barulah dapat buka dengan aman sedikit jiwa (amanlah sangat, bersepah kerja dok ada, fahaman manalah cakap sekolah cuti, cikgu pun cuti). Akhirnya, tanggal 18 Januari 2025, dalam tempoh 24 jam sahaja dapatlah dikhatam novel pertama untuk tahun 2025 yang mempunyai 353 halaman. Kalau anda tanya, puas tak baca novel berkulit hadapan dengan rona ungu gelap ini? Ya, puas! Jom, tinggalkan intro panjang lebar meleret ini, kita terus baca ulasan novel Suami Terbaik Buat Raissa.
 
Ulasan:
Novel ini antara sebilangan kecil novel yang menampilkan watak utama perempuannya sebagai tidak perfect. Raissa diberi gelaran berisi atau gemuk walaupun satu part dalam novel ini ada dinyatakan Raissa berketinggian 170 cm dan mempunyai berat 70 kg; tapi ada diperincikan mempunyai rangka besar. Terus rasa diri berat ya, sebab saya pun 70 kg dengan ketinggian 176 cm, jadi di sini saya agak terganggu dari aspek imaginasi, sebab jika nak bandingkan dengan diri saya, tak ada sesiapa gelar saya gemuk, mungkin kena study bahagian rangka besar untuk pastikan fakta which is saya malas nak Google, dan saya abaikan, dan saya rakamkan dalam minda ikut imgainasi saya tentang Raissa yang berisi, putih, gebu dan comel. Okay, stop setakat itu tentang fizikal Raissa.
 
Dunia ini kadang kala rasa kejam juga. Apabila fizikal ini tidak sempurna, ada kurang di mana-mana satu perkara yang sering menghantui empunya diri adalah pasangan hidup. Orang akan mula bertanya tentang umur dan perkahwinan. Sudahnya diri sendiri yang akan hidup dalam situasi yang tertekan. Saya rasa sebab itu jugalah apabila Afzal mula memberikan signal, Raissa terus menyambut. Perkenalan mereka sangat singkat, namun keputusan untuk berkahwin juga sangat pantas. Bagi saya Afzal ini bukanlah suami yang teruk sangat, cuma dia terikat dengan kesilapan masa lalu. Janji Afzal yang tidak boleh dirungkaikan menjadikan perkahwinan yang dibina bersama-sama Raissa umpama memijak bara api, sentiasa panas dan berbahang. Sudahnya tak sampai setahun berkahwin, bercerai kedua-duanya.
 
Raissa terluka. Raissa sakit. Mujur ada Rafi. Jiran sebelah rumah merangkap sahabat sejati yang terluka teruk seawal naskhah novel ini disingkap lantaran lambat mengungkap perasaan hinggakan Raissa memilih Afzal. Rafi kembali menyinari hidup Raissa. Rafi ada bersama-sama Raissa. Rafi berusaha sedayanya untuk memulihkan semangat Raissa. Bukan mudah bercerai hidup, apatah lagi selepas keguguran kerana ditinggalkan suami berseorangan di rumah lantaran terlalu asyiknya Afzal dengan teman diikat mati, iaitu Jiha. Akhirnya, apabila Raissa kembali mahu bergelar isteri, tetapi kali ini bersama Rafi; Afzal datang merayu dengan suatu hakikat yang tersembunyi. Suatu rahsia antara dirinya dan Jiha.
 
Plot twist tentang rahsia ini memang agak menarik. Tak boleh nak teka dan jangka langsung. Bravo kepada penulis, iaitu Sasasera yang dapat mengadun jalan cerita dengan cantik. Ketika membaca novel ini, bilamana ada bahagian tentang berita kes bunuh di kaca televisyen diungkap, pada awalnya saya rasa, babak itu hanya untuk menunjukkan Afzal malas mahu keluar bersama-sama Jiha yang ketika itu sudah bergelar isterinya. Namun, siapa sangka berita bunuh individu yang dikenali Azal dan Jiha itu menyingkap pelbagai lagi rahsia.

Abang sungguh-sungguh minta maaf pasal Jiha. Abang akan jauhkan diri dari dia dan kalau Rainak, abang sanggup putuskan persahabatan abang dengan dia demi Rai. Dia tak penting pun dalam hidup abang. Rai yang penting dalam hidup abang."

 
Tentang rahsia yang mengungkap akan hakikat kenapa Jiha terikat sampai mati dengan Afzal ni, pembaca perlu cari sendiri dalam novel Suami Terbaik Buat Raissa. Tapi, itulah... Kalau Jiha terikat dengan Afzal, bagaimana mungkin Raissa dapat kembali bersatu dengan Afzal, lelaki yang dicintainya. Rafi, walaupun Raisa setuju untuk kahwin semula namun dalam hatinya belum ada rasa cinta kepada lelaki yang merupakan sahabat baiknya sejak kecil itu.
 
Banyak persoalannya kan? Kalau nak tahu semua anda patut cari novel Suami Terbaik Buat Raissa karya Sasasera terbitan RMA Studio ini. Memang anda takkan menyesal.  Apa yang best dalam novel ini, semua dapat balasan dan bahagian masing-masing. Orang kata, buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Cuma dalam kejahatan seseorang akan ada seseorang yang baik dijadikan mangsa keadaan. Namun, itulah takdir dan ketentuan. Siapalah, kita sebagai manusia untuk menolak setiap sesuatu yang sudah dituliskan. Cumanya, kita hanya mampu berdoa supaya dipertemukan dengan insan yang baik-baik dalam apa-apa juga situasi kehidupan di dunia ini.
 
Kesimpulan:
★★★★
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)