Air Hanya Kawan Ketika Kecil; Kanak-Kanak Lemas Salah Siapa?

Cikgu Muzz
oleh -
0
 

Air itu sama seperti api, ketika kecil menjadi kawal, apabila besar menjadi lawan. Air ketika kecil, sangat menenangkan. Bukan sahaja menghilangkan dahaga dan dibilas tubuh badan untuk disegarkan, bahkan mandi-manda di dalam kolam atau bergembira di gigi air tepian pantai mahupun bersuka ria di air terjun. Namun, awas! Air tidak selamanya menjadi kawan, ada masanya air akan bertukar menjadi lawan.

Salah satu contohnya adalah ketika banjir. Lihat sahaja bencana banjir yang melanda sama ada di dalam atau di luar negara. Banjir yang melanda di beberapa negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah terutamanya pada penghujung tahun 2024 menyaksikan lebih 150 ribu penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS). Pada bulan Oktober 2024, banjir besar melanda 12 daerah di negara Sri Lanka mengakibatkan lebih 100 ribu mangsa dipindahkan akibat bencana yang turut mengakibatkan tanah runtuh, pokok tumbang dan angin kencang. Begitu juga di negara jiran, Thailand yang mencatatkan angka korban mencecah 29 orang akibat banjir pada Disember 2024 dengan 155 ribu isi rumah terjejas angkara air.

(ads)

Begitulah antara tamsilan tentang air yang boleh bertukar menjadi lawan dalam sekelip mata. Walau bagaimanapun, bencana alam merupakan lumrah dan hakikat dalam kehidupan duniawi. Kenyataannya, kerosakan di alam ini berlaku angkara tangan-tangan manusia itu sendiri yang mengundang bencana. Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan bencana yang berlaku di dunia pada dewasa ini berpunca daripada sikap dan tindakan manusia yang kurang bertanggungjawab. Begitupun, tiada kudrat sebagai marhaen untuk kita yang menjadi manusia biasa-biasa menghalang air bah kerana hadirnya dia atas suratan Tuhan yang ditakdirkan.

Berbeza situasi apabila air menjadi lawan dalam konteks lemas. Lemas berlaku dalam keadaan yang tidak dipinta. Biasanya tragedi lemas bermula dengan suka ria sebelum berakhir dengan air mata. Saban tahun kita akan disajikan dengan khabar berita kejadian lemas di laut, sungai, air terjun, kolam hinggalah dalam kolah mandi di dalam rumah sendiri. Jumlah kehilangan nyawa akibat air di Malaysia semakin membimbangkan apabila statistik merekodkan 287 kes kematian akibat lemas sehingga Disember untuk tahun 2024. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, daripada jumlah kes ini, kes tertinggi direkodkan di sungai, tali air dan pantai.

Berbeza dengan bencana banjir, tragedi lemas membolehkan kita mengambil langkah berjaga-jaga. Saban tahun kita menyaksikan musim peralihan monsun menyebabkan suasana di pantai kurang selamat untuk aktiviti riadah. Namun, setiap tahun juga kita melihat ada ibu bapa membawa anak-anak mandi-manda di pantai. Begitu juga dengan golongan belia yang bersuka ria di kawasan air terjun atau pantai meskipun dalam faktor keadaan cuaca yang tidak baik atau di kawasan-kawasan yang sedia diwartakan amaran sebagai kawasan bahaya. Oleh itu, kita hendaklah membuat pilihan yang bijak dengan mengelakkan diri berada di kawasan yang mungkin mampu mengancam keselamatan diri kita. Jangan pernah memandang remeh tentang air yang tenang kerana hanya permukaannya sahaja begitu, di dasarnya kita tidak tahu.

(ads)

Tragedi yang lebih menyayat hati tentu sahaja apabila berlakunya kejadian lemas di dalam kolam. Kolam mandi yang dibina oleh manusia sendiri untuk bersuka ria dan berenang-renang persis ikan duyung ke sana ke sini, rupa-rupanya mampu meragut nyawa khususnya anak-anak kecil yang belum lagi mengerti makna kehidupan yang sejati. Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan lemas di sebuah kolam renang di salah sebuah hotel di Kemaman, Terengganu pada 30 Disember 2024. Mangsa ditemukan oleh bapanya di dasar kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman serta diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Terdahulu, pada 10 Ogos 2024 seorang kanak-kanak berumur 4 tahun ditemukan lemas dalam kolam renang sebuah resort di Kuala Nerus. Mangsa dikatakan mengikut abang dan kakaknya mandi di kolam renang dewasa tanpa disedari. Pengunjung lain yang menyedari mangsa lemas cuba memberikan bantuan, malangnya mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor di Klinik Seberang Takir. Siapa sangka air yang manusia sendiri himpunkan di dalam kolam renang boleh menjadi asbab hilangnya nyawa?

Kenapa tiba-tiba saya terpanggil untuk menulis tentang air, bencana alam dan tragedi lemas. Tidak lain dan tidak bukan, tentunya tanda tanya yang mengakhiri episod 34 drama Curang Tanpa Niat yang menyaksikan Abang Azriel lemas di dalam kolam yang ditinggalkan bersendiri oleh ayahnya, Eshaal. Meskipun ada pesanan yang ditinggalkan oleh Eshaal kepada Azriel supaya jangan pergi ke tengah kolam tetapi mana mungkin janji bersama seorang kanak-kanak itu boleh dipegang apatah lagi kalau soalnya adalah tentang nyawa? Ya, dalam kes Abang Azriel dalam drama Curang Tanpa Niat ini salahnya 100% terletak pada ayanya, Eshaal lakonan Shukri Yahaya. Berapa banyak kes kematian melibatkan kanak-kanak berlaku disebabkan oleh kealpaan dan kelekaan orang dewasa? Ya, mati itu pasti. Tidak terlewat sesaat tidak pula diawalkan sedetik. Sebagai orang Islam kita percaya akan qada dan qadar. Mana mungkin ada ibu bapa yang mahukan anaknya mati lemas akibat kecuaian diri sendiri. Namun, itulah kita. Manusia biasa yang sentiasa punya kekurangan diri. Oleh itu, sempena drama hangat yang sedang ditayangkan di Astro Ria itu, hendak pula musim cuti sekolah berbaki lebih kurang 16 hari ini, sama-samalah para ibu bapa dan ahli keluarga mengambil cakna akan keselamatan anak-anak ketika aktiviti di air, tidak kiralah sama ada di kolam renang, kolam mandi, tasik, laut, pantai, sungai, air terjun, mahupun tali air. Ingat, air tidak selamanya menjadi kawan kita, ada masanya air menjadi lawan!
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)