Sekolah Berasrama; Pilihan Anak Atau Ibu Bapa Paksa?

Cikgu Muzz
oleh -
0
 


Bermula 31 Januari 2025, semakan ke sekolah khusus untuk sesi akademik 2025 boleh mula dibuat menerusi dalam talian. Semakan sekolah khusus ini meliputi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

Menerusi media sosial ramai pemilik akaun media sosial sama ada ibu bapa atau murid itu sendiri berkongsi momen gembira mendapat tawaran menyambung pengajian khususnya ke SBP. Umum mengetahui SBP merupakan sekolah-sekolah terbaik di Malaysia yang menghimpun murid-murid pintar dari seluruh pelosok negara.

Tahniah diucapkan kepada anda yang berjaya diterima melanjutkan pelajaran di sekolah khusus seperti yang anda idamkan. Bagi yang tidak berjaya, usahlah kecewa; anda mampu membina kecemerlangan diri walau di mana-mana sekalipun anda bersekolah. Lokasi sekolah itu hanyalah sebagai perantara sahaja, pokok pangkalnya adalah diri anda sendiri.

Begitu juga dengan para ibu bapa dan waris. Sebagai orang dewasa kita perlu tanya diri sendiri; menghantar anak untuk belajar di sekolah berasrama atau mana-mana sekolah khusus ini adakah impian dan keinginan anak-anak sendiri atau lebih kepada kemahuan dan kehendak diri kita? Jika betul anak-anak inginkan, maka alhamdulillah; sekiranya sebaliknya, fikirkanlah kembali, bermusyawarah, berbincang bersama-sama dengan anak-anak dari hati ke hati. Anak-anak ini mungkin kecil tetapi janganlah dikesampingkan sama sekali apa-apa yang tersirat dalam hati dan sanubari mereka.

Boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan buruk bagi dirimu; boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan itulah yang terbaik bagimu. Justeru, jika berada dalam dilema, solat dan doa serta sujudlah memohon bimbingan daripada Allah, kita sendiri tidak tahu apakah yang sedang menanti di hadapan sana? Oleh itu, tidak salah untuk menolak tawaran ke SBP atau sekolah khusus yang lain sekiranya anak-anak lebih terdorong untuk bersekolah di sekolah menengah harian.

Ingatlah, kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)